Wicet Darul Barah

WeChat, atau lebih dikenali oleh warga maya tempatan sebagai “Wicet” kadangkala mendapat perhatian apabila tersebarnya tangkap layar (screenshot) yang menunjukkan “moment” pengguna WeChat yang agak “lucu”.

Saya gunakan tanda petik (“…”) untuk perkataan lucu kerana ada makna tersirat di sebaliknya. “Lawak” yang sering dikaitkan dengan tangkap layar yang tersebar adalah, maafkan penulis kerana menggunakan istilah kasar, kebodohan. Ya, kebodohan digunakan sebagai bahan jenaka.

Sebelum warga WeChat menyerang penulis, biar saya jelaskan bahawa terdapat ramai juga yang sependapat dengan saya. Benar, bukan semua pengguna WeChat “bodoh”, kawan – kawan penulis juga ada yang mengguna WeChat, tetapi, “moment – moment” pengguna yang kurang pandai itulah yang sering ditangkap layar dan disebar sehingga WeChat selalu dikaitkan dengan budaya dan pengguna yang, sekali lagi saya meminta maaf, tidak bertamadun.

Apakah kebodohan yang sering tersebar itu? Terdapat beberapa “kebodohan” yang disebar termasuklah penggunaan bahasa yang aneh dan perkongsian gambar – gambar yang… Kurang sedap dilihat.

Pertama sekali, penggunaan bahasa yang aneh. Saya beri contoh:

Tuck salehmaen wic3t t4pey j4ng4n jaD1 b0d0h d35sperate 5ANgat nuckcarik c0upl3. M3malukAn kAumtitew je.

Terjemahan: Tak salah main wechat tapi jangan jadi bodoh desperate sangat nak cari couple. Memalukan kaum kita je.

Ini adalah teks yang diberi kepada Tan Sri Rafidah Aziz untuk ditafsir olehnya semasa beliau menjadi tetamu untuk bicarawara “Obviously Harith Iskander”. Apa yang beliau katakan?

“No,no,no. Its not because dia suka text macam ni, dia tak paham bahasa. No person in their right mind will confuse words with (numbers), (and) take the trouble to put “memalukan” (as) m-“3 terbalik”-malukan, WHY?”

Pendapat beliau dikongsi warga maya yang lain termasuklah saya. Apakah motif menulis sebegitu? Apa salahnya menggunakan huruf “e” dan “a”? Adakah perlu digantikan huruf tersebut dengan nombor “3” atau “4”? Saya bukan seorang pemurni bahasa, saya menggunakan bahasa pasar dalam percakapan dan tulisan harian saya, tetapi bukan seteruk itu.

“Moment – moment” seperti inilah yang sering tersebar luas di dunia maya dari Facebook hingga Twitter dan dijadikan bahan jenaka seluruh warga maya.

Penggunaan bahasa “aneh” tidak terhad kepada penukaran huruf ke nombor sahaja. Ia juga termasuk penggunaan Bahasa Inggeris yang kurang tepat. “Future husband” ditulis sebagai “Picture husband”, “shocked” diganti dengan “shorted” dan sebagainya. Warga maya hanya mampu menggeleng kepala dan tertawa sahaja.

Seterusnya, perkongsian gambar – gambar yang kurang sedap dilihat. Kita hanya perlu ke akaun Instagram/Twitter seperti “Rempitlogic” untuk lihat gambar – gambar yang kurang menyenangkan yang penulis katakan.

Gambar – gambar tersebut ditangkap layar dan di sebar atas dasar untuk menunjukkan bahawa ada manusia yang langsung tidak mengambil kisah tentang budaya dan hukum agama di negara ini. Untuk memerikan gambar – gambar tersebut secara umum, ia adalah gambar lelaki dan perempuan saling sentuh – menyentuh. Setakat itu sahaja pemerian tentang gambar – gambar tersebut, penulis segan untuk memberi penghuraian yang lebih lanjut.

Mesti anda tertanya, tulisan ini bertajuk “Wicet Darul Barah” yang mungkin bermaksud “WeChat Negeri Barah”. Setakat ini, penulis hanya menulis tentang apa yang sering tersebar di media sosial tentang WeChat, bukan kenapa ia sebuah “negeri barah”.

Sebenarnya, ada kaitan antara tajuk dan apa yang telah ditulis setakat ini. Anggapkan internet ini sebagai “alam” atau “dunia maya”. “Negeri – negeri” yang terdapat di “dunia” ini adalah platform media sosial seperti Facebook, Twitter, WeChat dan sebagainya. WeChat adalah negeri barah kerana apa sahaja perkara aneh yang berlaku disitu tersebar dengan cepat ke negeri – negeri lain dalam bentuk tangkap layar umpama sel – sel barah yang tersebar dengan cepat dalam tubuh manusia. Diharapkan penjelasan ini cukup bagi anda.

Pesanan daripada penulis kepada pengguna media sosial, janganlah kita menjadikan pengguna WeChat sebagai bahan jenaka (ehem, warga Twitter) yang tujuannya hanya untuk membuat kita ketawa. Mereka saudara dan saudari kita, se”bebal” mana pun mereka, marilah kita sama – sama menegur dan menasihati mereka. Bersabar dan jadikan diri kita penawar kepada penyakit ini, bukannya bergaduh.

Terima kasih.

I love to write. Saya cinta menulis.
Posts created 4

One thought on “Wicet Darul Barah

Leave a Reply

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top
%d bloggers like this: