Tuah si Malang

Setelah melalui beberapa minggu yang amat sibuk, akhirnya Tuah mempunyai masa untuk merehatkan dirinya. Rakan-rakannya, Tan, Tarvin dan Thinesh, bercadang untuk menjalankan aktiviti ‘jungle trekking’ pada hari minggu di Hutan Tanjung Tuan, Melaka. Walau bagaimanapun, Tan menelefon Tuah dan memberitahunya bahawa mereka akan berkelah di sebuah pantai di Melaka kerana dia mengetahui sifat rakannya yang penakut dan kurang menyenangi hutan dan tempat asing. 

“Helo, Tuah! Kau kat mana? Sabtu petang kau free tak?” Tan menyapa. 

“Eh, Tan! Aku kat rumah je, baru nak call kau tadi. Free je, kenapa?” 

Tan pun menjawab, “Aku ingat nak ajak kau dengan yang lain pergi pantai hujung minggu ni. Kita pun dah lama tak lepak kan?” 

Tuah menjawab, “Oh, boleh juga. Aku pun perlukan waktu untuk tenangkan fikiran, banyak sangat assignment.” Dua sekawan tersebut tertawa lalu mengucapkan selamat tinggal sebelum meletakkan telefon.

 

Terbitnya mentari di pagi Sabtu, Tuah mengemaskan pakaian ganti serta sehelai tuala ke dalam begnya, cukup sekadar untuk bermandi-manda di pantai yang dibualkan olehnya bersama Tan pada Rabu lepas. Selesai sahaja Tuah menyiapkan diri dan barang-barangnya, rakan-rakannya pun tiba dan memberhentikan kereta di hadapan rumahnya lalu membunyikan hon untuk menyeru Tuah.

“Tunggu sekejap!” jerit Tuah dari dalam rumahnya sambil berlari ke luar rumah.

 

Tuah mengunci pagar rumahnya dan bergegas ke arah Proton Iriz berwarna biru yang dipandu Thinesh. Masuk sahaja Tuah ke dalam kereta tersebut, Thinesh terus memecut kenderaannya keluar dari kawasan perumahan. Mereka semua bergelak ketawa sambil menanti ketibaan mereka di destinasi yang Tuah sangkakan pantai.

 

Setelah sejam setengah berlalu, Tuah dan kawan-kawannya tiba di laluan masuk ke sebuah hutan. Mata Tuah terbeliak apabila hari tenang di pantai yang diimpikannya selama seminggu bertukar menjadi realiti yang ngeri baginya. Belukar liar yang menyapa disaat ketibaan mereka membuat bulu roma Tuah meremang. Dengan sekilas pandang, Tuah membayangkan pelbagai haiwan liar yang sedang menanti mereka disebalik pohon-pohon tinggi yang mencecah langit biru nan terang.

“Weh… kenapa kau bawa aku ke sini???” Tuah merengek sambil menepuk bahu Tan yang berada di hadapan. 

“Ala Tuah… rilekslah! Sekali-sekala masuk hutan apa salahnya? Jangan nak jadi putera lilin sangatlah!” Tan membalas dengan ejekan yang membuat Tuah berubah ekspresi.

“Tak lawaklah korang…” Tuah bergumam sambil melihat ke luar tingkap. 

“Tengok Tan, kau dah buat putera kita merajuk!” usik Tarvin sambil tertawa terkekeh-kekeh.

“Diamlah korang, aku nak drive pun pening!” Thinesh merungut sambil menggelengkan kepala. 

 

Pejam celik, pejam celik, akhirnya kereta mereka berhenti di sebuah kawasan lapang. “Tabahkan diri sikit, Tuah,” ujar Tan, “Kita kena berjalan sikit ni.” Dengan itu, Tan menyerahkan beg Tuah kepada empunya beg. “Dahlah paksa aku join, lepas tu suka-suka hati je bagi aku arahan,” gumam si Tuah lagi. Lantas, mereka berempat memulakan pengembaraan mereka di dalam Hutan Tanjung Tuan. 

 

    Hari kian gelap, namun kumpulan pemuda tersebut masih cekal mengharungi semak samun dan anak-anak sungai yang menjadi halangan dalam perjalanan mereka. Seperti yang dijangkakan Tan dan Tarvin, Tuah akhirnya mengalah dan meminta sesaat untuk merehatkan diri. “Alahai budak bandar ni,” usik Tan sambil menoleh ke belakang untuk memandang Tuah, “Takpelah, kau duduk situ. Kita jalan slow-slow je supaya kau tak menangis.” Dengan tawa yang sinis, Tan dan Tarvin menyambung perjalanan mereka. 

    “Jangan lama sangat,” ujar Thinesh yang mengekori dua sekawan tadi. 

“Kecoh ah diorang ni!” Tuah mengeluh kepada diri sendiri sambil mengipas dirinya dengan sehelai daun kering. 

 

Tiga minit berlalu, namun Tuah masih melengah-lengahkan masa. Apabila dia memandang ke hadapan untuk mencari kelibat rakan-rakannya, dia terus bangun dari tempat duduknya dan bergegas menuju ke arah laluan mereka setelah mendapati mereka tidak lagi kelihatan. Tidak lama kemudian, mata kasarnya merakam imej susuk tubuh tiga individu yang terus mara ke hadapan. Tanpa befikiran panjang, Tuah memanggil sahabat-sahabatnya dengan sekuat hati.

“TAN! TARVIN! THINESH!” Tiada sahutan. “TAN! TARVIN! THINESH! JANGAN TINGGALKAN AKU!”

 

Tuah mula bergerak dengan lebih pantas demi mengejar makhluk-makhluk yang disangkakan kawan-kawannya itu. “TAN!” Tuah menjerit sebaik sahaja dia menghampiri tiga individu tersebut. Tiba-tiba, Tan, Thinesh dan Tarvin berpaling ke belakang, seolah-olah mendengar nama-nama mereka dipanggil. Dengan penuh rasa lega, Tuah berlari anak ke arah mereka. Namun, kelegaannya lenyap apabila mereka hanya meneruskan perjalanan tanpa berkata apa-apa kepadanya. Bulu romanya meremang akibat seram sejuk yang dirasainya; perasaannya tidak keruan seolah-olah dirinya diperhati oleh mata-mata yang bersembunyi dicelah-celah belukar yang mengelilingi dirinya. 

 

Walaupun demikian, Tuah tidak mengalah untuk mendapatkan perhatian rakan-rakannya. Setelah mengerah seluruh tenaga zahirnya sebaik mungkin, akhirnya Tuah ditinggalkan berseorangan. Angin dingin meniup ke arah dirinya, menusuk kulitnya yang dikotori tanah. Langit di atas semakin dilitupi awan yang tebal, sejurus menggelapkan hari yang malang. Tuah hampir menitiskan air mata disebabkan ketakutan yang terbuku di dalam hatinya. Mindanya memainkan pelbagai senario yang cukup mengerikan, manakala mainan bayangannya memperlihatkan wajah makhluk yang hodoh dan jijik yang mempunyai niat untuk mencederakannya. 

 

Oleh kerana tidak mempunyai pilihan lain, Tuah terpaksa memberanikan diri untuk mencari jalan keluar. Tanpa melengahkan masa, Tuah berjalan dengan pantas tanpa hala tuju yang jelas. “T-Takpe…” bisik hati kecilnya, “Kejap lagi aku jumpa lah jalan keluar.” Ketakutannya semakin pudar apabila dia meneruskan perjalanannya tanpa sebarang gangguan. Mungkin kata-kata Tarvin benar selama ini, mungkin hantu tidak wujud.

 

Setelah berjalan kira-kira selama dua puluh minit, Tuah terjumpa sebuah pondok usang yang diterangi cahaya lilin yang malap. Sebelum dia membenarkan fikirannya melayang, Tuah cepat-cepat mengeluarkan telefon bimbitnya yang berada di dalam koceknya selama ini. “Haih Tuah,” keluhnya pada diri sendiri, “Boleh tahan bodoh ye kau ni.” Melihat alat peranti kecil di dalam genggamannya itu, Tuah segera memicit butang untuk mengaktifkan skrin yang gelap. Namun, harapannya patah apabila skrin yang dihidupkan itu memaparkan simbol ‘tiada isyarat’. Hatinya tenggelam. Sekali lagi, punah harapannya untuk keluar daripada hutan itu. “Buat hal betul lah UMobile ni!” 

 

Memandangkan dirinya tidak mempunyai banyak pilihan yang lain, dia terus menghampiri pondok tersebut tanpa mengharapkan apa-apa. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat kelibat seorang kanak-kanak lelaki yang terlantar di tengah-tengah struktur usang tersebut. Lantas, Tuah bergegas ke sisi kanak-kanak tersebut. “Dik! Bangun dik!” serunya sambil menggoncang tubuh kecil anak tersebut. “Di-!” serunya lagi, tetapi dikejutkan dengan gelagat kanak-kanak tersebut yang bangun secara mengejut. “Allahuakhbar!” Tuah melaung. “Kurang ajar punya budak! Nasib baik aku tak mati terkejut!” Kanak-kanak tersebut hanya tertawa melihat reaksi pemuda itu. “Ampun, kanda,” ujar kanak-kanak itu, “Hamba hanya berjenaka. Lama hamba melihat kanda seorang diri… mengapa?” 

 

Pertuturan anak kecil itu mengelirukan Tuah yang terlalu biasa menggunakan Bahasa Malaysia moden. 

“Nama kau siapa, dik?” soalnya, “Kenapa kau sorang-sorang dalam hutan ni?” 

    “Indera namaku, kanda,” jawab kanak-kanak tersebut. “Hamba menetap di kampung seberang sungai. Hamba dalam perjalanan pulang, hatta hamba beradu disini.”

 

Dengan pernyataan Indera itu, Tuah terus berfikir bahawa Indera sudah pasti mengetahui jalan keluar dari hutan tersebut. Oleh itu, tanpa berfikir panjang, Tuah meminta pertolongan daripada Indera untuk menunjukkan jalan keluar dari hutan tersebut kepadanya. Indera pun bersetuju untuk menunjukkan jalan keluar kepada Tuah. 

 

Dalam perjalanan mereka untuk keluar dari hutan tersebut, Tuah berasa penat dan ingin berehat buat seketika. Perutnya pula bergendang-gendang kerana begitu lapar. Indera mengajak Tuah untuk mengikutnya pulang ke rumahnya untuk berehat serta menikmati juadah yang dikatakan sedia ada di rumahnya. “Marilah kanda, kita beristirehat di rumah hamba. Bonda pasti menyediakan juadah.” Pada mulanya, Tuah tidak mahu mengikuti Indera pulang ke rumahnya, tetapi selepas dipujuk oleh Indera yang mengatakan bahawa kampung tersebut hanya beberapa langkah sahaja lagi jauhnya, dia terus bersetuju untuk mengikut Indera. 

 

Apabila mereka tiba di kampung yang dimaksudkan Indera, hari pun sudah bertukar menjadi senja. Tuah terpegun melihat sebuah kawasan perkampungan yang begitu klasik. Dia mengekori Indera sambil meneliti keindahan dan keharmonian suasana kampung klasik itu, seolah-olah dia berada di dalam set penggambaraan filem tradisional. 

 

Sebaik sahaja mereka tiba di rumah Indera, Tuah meminta izin untuk meminjam telefon untuk menghubungi rakan-rakannya. Namun, Indera mengerut dahi dalam kekeliruan lalu bertanya, “Apakah itu telefon?” giliran Tuah pula untuk berkerut dahi. Biar betul budak ni, tahun 2018 pun tak tahu telefon tu apa? fikirnya. 

 

Sedang Tuah berfikir, seorang wanita muncul secara tiba-tiba dari kain langsir yang berada di hujung halaman rumah tersebut. Wanita tersebut tersipu-sipu malu lalu menyembunyikan sebahagian daripada mukanya dengan kain sarung yang diselempangkan pada tubuhnya. Wajahnya yang halus mulus dan putih berseri membuatkan Tuah terpesona dan tertarik kepadanya.

“Siapakah tuan hamba ini, anakku?” tanya wanita tersebut kepada Indera.

Belum sempat Indera membuka mulut, Tuah menyampuk dengan menjawab, “Nama saya Tuah. Saya tersesat di hutan, lepas tu saya terserempak dengan Indera. Dia bawa saya datang sini.”

Air muka wanita tersebut berubah apabila mendengar nama Tuah, seolah-olah mengenalinya. Senyumannya semakin lebar, bererti dia menyenangi kedatangan pemuda asing itu. “Tuan hamba dialu-alukan bersantap di belakang.” 

Tuah membalas senyumannya lalu bertanya, “Boleh saya pinjam telefon? Saya kena call kawan-kawan saya.” Namun, wanita itu hanya berdiam diri dan mengerut dahi. Indera menghampiri Tuah lalu menarik tangannya untuk membawa Tuah ke belakang.

 

Selesai menjamu selera, Tuah kembali mencari telefon. Sekali lagi dia bertanya wanita tersebut, “Ada telefon tak?” dan buat kali kedua, Tuah dihampakan dengan jawapan negatif. Dia berasa aneh kerana mereka tidak tahu apa itu telefon sedangkan zaman sudah semakin moden. Dengan segelintir harapan yang masih berpaut pada hatinya, Tuah bercadang untuk mengunjungi jiran-jiran Indera untuk meminjam telefon. 

 

Sebaik sahaja Tuah mencecah kakinya ke luar rumah, bunyi bedug dipukul kedengaran dari arah barat. Kemudian, kelihatan pula Indera dan wanita tadi berjalan menghala ke pintu keluar. Tuah bertanya kepada Indera dan wanita itu ke mana hendak mereka pergi. Wanita itu mempelawa Tuah untuk menyertai mesyuarat kampung di balai raya. 

Korang nak pergi mana?” tanya Tuah kepada Indera dan wanita itu.

“Tuan hamba, marilah sama-sama ke balai raya dengan hamba. Hadirkan diri tuan hamba ke musyawarah kampung bersama-sama kami,” ujar wanita itu.

 

Dengan pujukan wanita tersebut, Tuah bersetuju untuk mengikuti mereka ke balai raya kerana menyangka bahawa dia boleh meminjam telefon sesiapa di sana. Setibanya mereka di balai raya, Indera membawa Tuah ke tempat duduk yang sedia ada, manakala wanita itu pergi mencari ketua kampung. Tuah menatap wanita itu ketika wanita itu berjalan melepasi sisinya.

“Indera, apa hubungan korang dua?” tanya Tuah kepada Indera mengenai hubungannya dengan wanita itu.

“Itulah bonda hamba, kanda,” jawab Indera.

 

Riak wajah Tuah terus berubah. Dia keliru dengan penampilan Indera dan wanita tersebut yang tidak kelihatan jauh berbeza dari segi jurang usia. Lantas, terlintas pula di fikiran Tuah tentang kewujudan suami wanita itu. Tuah berfikir kepada diri sendiri tentang kemungkinan tersebut hingga dia lupa untuk meminjam telefon sepertimana yang telah dirancang pada awalnya.

 

Selepas sepuluh minit berlalu, ibu Indera datang kembali bersama ketua kampung yang dicarinya. Tuah berasa aneh kerana ibu Indera kelihatan begitu gembira, seakan-akan telah memenangi loteri. Ibu Indera terus duduk di sebelah kiri Tuah. Tuah berasa kurang selesa kerana tahu bahawa wanita itu sudah berkahwin. 

 

Setelah selesai mesyuarat kampung, ketua kampung meminta semua penduduk yang hadir untuk tunggu sebentar. Mereka semua tertanya-tanya mengapa ketua kampung menahan mereka daripada pulang ke rumah. Rupa-rupanya, ketua kampung mengumumkan bahawa ibu Indera hendak berkahwin lagi.

“Terbit mentari esok hari, si manis Seri bakal bersuami lagi. Tuan-tuan hamba, ibunda, kekanda, adinda sekalian, kehadiran dialu-alu,” ucap ketua kampung itu.

 

Semua penduduk kampung yang hadir mengucapkan tahniah kepada Seri dan juga anaknya, Indera. Tuah semakin bingung. Tuah tertanya-tanya siapakah yang akan berkahwin dengan Seri? Bagaimana pula dengan bapa kandung Indera? Sebelum Tuah sempat berkata apa-apa, Seri dan Indera mengajaknya pulang ke rumah mereka. Dia merancang untuk meneruskan perjalanannya untuk mencari jalan keluar dari hutan tersebut, tetapi hari sudah gelap; Tuah membuat keputusan untuk bermalam di rumah mereka dan meneruskan perjalanannya pada keesokan harinya.

 

Pada keesokan harinya, Tuah bersiap-siap untuk meneruskan perjalanannya. Namun, sebelum dia dapat meninggalkan rumah tersebut, Tuah ditarik oleh Indera untuk ke bahagian depan rumahnya. Apabila mereka tiba di sana, seluruh penduduk kampung mengucapkan tahniah kepada Tuah. Tuah keliru kerana setahu dia, dia tidak memenangi apa-apa.

“Selamat,” ucap salah seorang daripada penduduk kampung kepada Tuah.

“Selamat untuk apa?” tanya Tuah kepada orang itu.

“Selamat bersatu,” jawab orang tersebut.

 

Tuah semakin keliru dengan kelakuan penduduk kampung yang semakin aneh. Akibat terlalu rimas dengan desakan ucapan tahniah daripada warga kampung tersebut, Tuah pantas berpaling ke belakang untuk mengambil begnya di dalam rumah. Walau bagaimanapun, sebaik sahaja Tuah membelakangi orang kampung, dia dikejutkan dengan kemunculan Seri yang terpacak di hadapan pintu yang berpakaian serba putih. 

“Ke mana ingin tuan hamba pergi? Seri tunggu kanda Tuah bersiap untuk akad nikah kita,” kata Seri dengan nada lembut dan manja.

 

Tuah mengelak daripada bersemuka dengan Seri lalu terus masuk ke dalam rumah untuk mengambil begnya. Ketika dia mencari begnya di ruang tamu, matanya terpaku pada sekeping gambar yang dipagari kaca malap sebuah bingkai. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat wajahnya terpapar di hadapannya. Bulu romanya meremang apabila mendengar suara lembut Seri memanggil-manggil namanya.

“Kanda jangan risau, Seri akan tanggalkan gambar itu. Kanda Hang Tuah sudah tiada, Kanda Tuah sahaja yang Seri ada.” 

 

Sebaik sahaja Tuah mendengar kata-kata Seri yang menyeramkan, dia terus beredar dari sisi Seri dan menuju ke luar rumah, tetapi sewaktu menjejakkan kakinya ke luar rumah, orang kampung mengelilingi laluannya, seolah-olah tidak membenarkannya pergi. Tuah bingung menghadapi situasi sebegini. Tiba-tiba, kedengaran tangisan yang berdayu-dayu dari ruang tamu. Tuah menoleh ke belakang untuk menyiasat sumber bunyi tersebut. 

Seri terduduk di atas lantai dalam keadaan bersimpuh. Pipinya dibasahi air mata kemerah-merahan, seperti darah yang mengalir dalam uratnya. Air mata darah menitis dari dagu halus Seri ke dalam tapak tangannya. Terngiang-ngiang di dalam kepala wanita tersebut, pesanan arwah ibunya kepadanya semasa kematian suaminya, “Seri tangisi air mata darah sekalipun, tidakkan kembali kandamu ke sisi mu, nak. Usahlah menangis.” Seri mendongak dan memandang tepat ke wajah Tuah yang penuh persoalan.

 

Tuah hanya berdiamkan diri sambil menyaksikan kepiluan seorang balu beranak satu, manakala si kecil sang bunian berusaha untuk memujuk ibunya yang khusyuk meratapi pemergian suaminya. 

“Ampunkan Indera, bonda. Indera ingin bonda tersenyum lagi, tetapi Indera derhaka! Bonda menitiskan air mata! Indera derhaka!” 

Seri menatap wajah Indera lalu mendakap tubuh kecil anaknya itu sambil mengusap rambutnya. “Tiada penderhakaan, tidak sama sekali. Indera anakku, ampunkan bonda, sesungguhnya bonda telah abaikan anak kesayangan bonda. Bonda sayangkan Indera,” jawab Seri sambil mengesat air matanya. 

 

Seri mengalih pandangannya ke arah Tuah yang masih tercegat di pintu ruang tamu rumah mereka. “Kanda Tuah, pulanglah ke pangkuan keluarga tersayang. Seri relakan pemergian kanda Tuah kali ini,” ujar Seri dalam nada yang sayu. Wanita tersebut bangkit dari lantai papan rumahnya lalu mara ke hadapan menuju ke Tuah. Dia menarik sebuah klip rambut antik daripada rambutnya yang ikal mayang dan menyerahkannya kepada Tuah. Tanpa berfikir panjang, Tuah menerima pemberian Seri dan menyimpan hadiah tersebut di dalam begnya. 

“Terima kasih untuk hadiah ni, Seri, saya akan simpan sampai bila-bila. Sorry kalau saya ada buat salah atau menyusahkan korang sepanjang saya ada kat sini.” 

 

Tuah berpaling ke belakang untuk keluar. Namun, dia terkejut apabila mendapati seluruh penduduk kampung yang telah mengepung jalan keluarnya telah lenyap tanpa sebarang jejak. Apabila Tuah menoleh ke belakang pula, Seri dan Indera juga turut lenyap dari pemandangannya. Dalam keadaan panik, Tuah mendapati dirinya berseorangan di dalam sebuah rumah usang. Tuah mengambil sebuah langkah ke belakang dan terus menundukkan kepalanya apabila mendengar bunyi retakan kaca di bawah kakinya. Setelah mengalih kakinya, dia terperanjat melihat gambar Seri dan seisi keluarga di sebalik bingkai yang telah musnah. Pemandangan Tuah menjadi gelap.

 

Tuah membuka matanya dan melihat sekelilingnya. Di sisinya, terpacak Tan, Thinesh dan Tarvin yang menelitinya dengan penuh kerisauan. 

“Weh! Tuah dah sedar! Empat hari kau hilang, kitorang risau kot!” Tan bising.

“Seri…” Tuah bergumam seperti orang mamai yang baru sedar dari mimpi.

“Seri mana pula ni? Yang ada seri muka je lah,” ujar Tarvin sambil menyerahkan sebungkus kuih seri muka kepada sahabatnya.

“Mana beg aku?!” jerit Tuah sambil mencari begnya itu.

“Nah,” ujar Thinesh pula sambil menyerahkan beg kepada Tuah.

 

Tuah menyelongkar begnya untuk mencari harta pemberian Seri. Namun, usahanya tidak mendatangkan hasil apabila dia hanya mengemukakan beberapa helai daun kering. 

“Seri…”

Posts created 2

Leave a Reply

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top