Tidak Kuduga Cintamu: Prolog

“…BERSAKSIKAN Ajwad, pada waktu ini, detik ini, aku lepaskan kau. Mulai sekarang, kau bukan lagi isteri aku!”

“Afiq…”

Kakinya yang dipegang erat oleh Syafiella direntap sekuat hati menyebabkan gadis itu jatuh terjelopok. Air mata semakin laju mengalir. Dia mematungkan dirinya di situ. Terasa separuh jiwanya bagai disedut keluar daripada jasad.

Ajwad hanya melihat sambil tersenyum menang. Dia cuba untuk mendekat tetapi dimarahi oleh Syafiella.

Afiq pula laju masuk ke dalam kamar tidur. Beg baju diambil lalu dengan pantas dia menarik baju-bajunya masuk ke dalam beg. Marahnya meluap-luap. Ternyata perbuatan isterinya itu tidak boleh dimaafkan. Hatinya sakit. Terlalu sakit.

“Ya Allah! Apa semua ni, Fiella?!” Terjerit Fairuz jadinya sebaik sahaja menapak masuk ke dalam rumah tersebut. Dia terus mendapatkan Syafiella yang sedang menangis teruk itu.

Pada ketika itu Afiq sudah pun keluar dari kamar tidur dengan membawa beg baju. Sekilas dia memandang isterinya yang sedang ditenangkan oleh Fairuz. Perasaan benci mula menjalar di dalam tubuhnya. Kemudian, dia alihkan pula pandangan pada Ajwad yang kelihatan sedang mengesat hujung bibirnya yang berdarah itu.

“Apa dah jadi ni?” soal Fairuz sebaik sahaja dia melihat Afiq mula mengatur langkah menuju muka pintu. Dia pantas berdiri dan mendekati jejaka lampai itu.

Afiq menghembus nafas dengan kasar. “Kau tanya adik kau sendiri apa yang dia dah buat dengan jantan tu dalam rumah aku,” jawabnya dengan nada yang tertahan-tahan. Sebelah tangannya sudah menggengam penumbuk.

“Aku rasa kau dah salah faham. Aku…”

“Aku tak perlu penjelasan daripada kau, Yuz! Semuanya dah jelas depan mata aku!”

“Tolonglah dengar, Fiq. Semua ni salah faha…”

“Suruh adik kau tu keluar dari sini secepat mungkin. Aku bagi masa tiga hari sepanjang aku tak ada kat rumah ni untuk dia keluar. Bila aku dah balik nanti aku tak nak tengok muka jijik dia tu ada kat dalam rumah ni. Faham?!”

Afiq tidak mahu menunggu lebih lama. Dia terus berlalu pergi.

Posts created 3

Leave a Reply

Related Posts

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top