surat dari Jauhar

Salam dari kejauhan. (dari pandangan mata, tapi tak pernah di hati).

Moga warkah ini menemui tuan dalam keadaan yang baik-baik sahaja. Moga tuan berada di dalam peliharaan Tuhan walau di mana kaki tuan menjejak, ke mana pun langkah tuan menapak.

Tuan, entah apalah isi dari warkah ini, saya pun keliru. Mungkin hanya mahu bercerita kepada tuan, seperti dulu-dulu.

Seorang teman yang terkenal dari baik hatinya pernah meyakinkan tekad saya yang hampir remuk dipukul ombak kuat, bahawa hari sukar itu akan berlalu baik-baik saja. Meski tidak dapat melihat kejernihan hatinya tapi kata-kata mudah yang tersusun kemas dari lisannya buat hati saya bulat untuk menghabiskan hari itu. Dan sekilas, saya terlihat cahaya di terowong gelap  tempat saya berdiri ketika itu, menitip berani kepada saya untuk berharap kepada dia.

Tuan, dari kejauhan, saya mengagumi keramahan hatinya. Tak berani memasang harap yang tinggi bak Gunung Ijen kerana kehilangan yang setia itu lebih pula akan mematahkan hati. Sekurangnya, saya melihat sosok yang tulus dari seorang pria melalui dia. Saya lagi tidak punya kemampuan untuk menganyam mimpi-mimpi indah berlatarkan bintang malam Ranau Kumbolo yang sering saya angankan bersama tuan. Maka, mendekatinya hanyalah ketamakan saya. Mana mungkin dunia menjadi terlalu adil untuk gadis seperti saya? Benarkah tuan?

Besar hati saya kerana pria yang saya sebut-sebutkan adalah tuan orangnya. Teruntuk tuan yang memahamiku, moga tuan kelak bertemu bintang hati yang melukis senyum di hari-hari mendung sebagaimana tuan melakarkannya pada wajah saya. Moga tuan memahami maksud dari kata-kata saya ini sekadar berkongsi cerita dan tidak pula saya menuntut apa-apa. Maka, jangan pula tuan merasa terbeban, sedangkan kehadiran warkah-warkah dari tuan melapangkan hati saya.

Doa saya moga tuan sentiasa dilindungi-Nya. Moga saya juga berada dalam iringan doa tuan.
Salam rindu dari kejauhan.
Salam rindu dari Johor.

by f.h (PKP day 9)

Posts created 35

Leave a Reply

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top