Surat #6

Ke hadapan Kuntum,

Terima kasih itu adalah untuk kau, kerana aku yang telah diselamatkan. Aku harap semuanya baik saja. Jujur, aku dan Orkid sudah cuak apabila hampir seminggu tiada balasan langsung dari kau. Kami sudah terbayang-bayang andai ada perkara buruk yang terjadi kepada kau. Atau mungkin buku itu telah hilang hikmatnya. Syukur Kuntum semuanya selamat saja. Ada beberapa perkara yang aku tak dapat beritahu kau kerana ia mungkin akan mengganggu arus peredaran masa. Jadi sabar dengan aku ya sewaktu kau membaca surat ini.

Ayah aku sudah tiada. Jangan risau, bukan aku penyebabnya. Pada pagi Subuh beberapa hari yang lepas, dia telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dia pergi sewaktu tidur, dan lebih baik lagi pada hari Jumaat. Malam aku mendapat surat kau dari Orkid, aku menangis di hadapannya dan ceritakan segala-galanya. Segala apa yang aku pendamkan selama ini. Segala kesumat yang sudah busuk aku simpan terlalu lama. Kau tahu apa dia kata? Tak mengapa, Malik. Abah faham. Malam itu, Orkid temankan aku untuk menjaga Abah. Aku rasa lebih lega setelah aku ceritakan semuanya. Terima kasih Kuntum, terima kasih.

Mungkin benar apa yang kau kata, ada yang tersirat dalam setiap yang tersurat. Masa beberapa bulan aku menjaga Abah telah memberi ruang untuk aku lebih rapat dengan Ibu. Aku lebih menghargai dia. Oh, dan aku juga sempat siapkan sebuah novel untuk satu pertandingan. Benarlah ada hikmahnya. Aku tak rasa yang aku mampu mengejar impian aku sekiranya aku tidak punya masa lapang yang begitu lama sekali. Baik atau tidak tulisan aku, itu cerita belakang. Yang penting aku telah berjaya siapkannya. Setiap yang berubah, berhikmah.

Aku akui yang aku sedih. Bukan mudah kehilangan seorang ayah. Tapi kerana aku telah menyediakan diri dengan kemungkinan itu sepanjang beberapa bulan lepas, lebih mudah untuk aku melepaskan. Aku bersyukur sebenarnya Abah tidak direntap pergi secara tiba-tiba. Aku diberikan peluang yang amat besar sekali kerana apa? Kerana Tuhan sayangkan aku. Maaf aku tidak dapat kotakan janji dengan kau yang di masa hadapan. Orkid menangis juga akhirnya. Aku tak mampu nak halang dari dia mengalirkan air mata. Tapi tak mengapa bukan? Air mata bukan satu tanda kelemahan. Dengan membenarkan diri lemah, kita kuat. Untuk mengakui yang diri kita lemah bukanlah perkara yang mudah.

Aku dapat rasakan ini bakal menjadi surat-surat kita yang terakhir. Berkemungkinan besar, hikmat buku ini akan hilang akhirnya. Jadi, aku mahu ucapkan terima kasih Kuntum. Terima kasih kerana mendengar luahan aku di kala semuanya gila. Terima kasih kerana berusaha keras untuk membantu aku walaupun kita tidak tidak pernah bersua. Terima kasih kerana percaya.

Terima kasih kerana ada.

Sampai masa nanti, ceritakan tentang aku kepada cucu kau. Aku ada kepilkan sekeping gambar aku untuk tatapan. Nanti-nanti kau berikan kepada Orkid. Surat-surat ini akan menjadi kisah yang hanya kita tahu.

Sekian,
Malik.

Posts created 11

Leave a Reply

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top