Surat #5

Ke hadapan Kuntum,

Ada perkara merapu yang aku perlu beritahu kepada kau. Aku dan kau datang dari dua ruang waktu yang berbeza. Selama ini kita telah berutus surat, melalui sebuah buku, dan surat-surat itu telah merentasi ruang dan masa. Okay, bila aku baca balik memang aku tak jangka yang aku akan tulis benda macam ini. Tapi ya, aku ulang lagi sekali, aku dari masa depan, lebih tepat lagi, tahun 2020. Kau pula yang membaca surat ini datang dari tahun 1969. Kalau tengah ternganga, sila tutup mulut. Macam mana aku boleh tahu? Selama ini aku berkawan dengan cucu kau, Orkid, yang kau sendiri hantar untuk bantu aku. Ya, kau dah ada cucu. Aku tahu waktu kau membaca surat ini kau baru berumur 20 tahun dan belum berkahwin lagi. Jadi pendek cerita, Orkid dah ceritakan segalanya. Tentang surat-surat aku yang kau simpan buat sekian lama dan bagaimana sepanjang hidup kau berusaha gigih mencari aku. Aku tak boleh nak cerita lebih sebab sekarang ada perkara yang lebih penting aku perlu kau buat secepat mungkin.

Mungkin perkara ini belum terjadi kepada kau, tetapi bagi aku kejadian ini dah berlaku hampir 60 tahun yang lalu. 13 Mei 1969. Rusuhan perkauman yang dahsyat sehingga Malaysia mengisytiharkan darurat. Aku tak nak bagi kelas sejarah dekat kau sekarang, tapi apa yang kau perlu tahu, keluarga kau akan amat terkesan dengan kejadian ini. Jadi aku perlu kau untuk meyakinkan keluarga kau untuk keluar dari kampung kalian secepat mungkin. Aku rasa kau sendiri telah mendengar ura-ura tentang perkara ini. Pasti di corong radio atau di siaran televisyen tengah hangat diperkatakan. Kau perlu cepat, Kuntum. Kau ada beberapa hari sebelum kejadian maha dahsyat ini berlaku. Mungkin sudah ditakdirkan surat-surat yang kita hantar selari pada tarikh yang sama.

Kalau kau perlukan bukti untuk meyakinkan keluarga kau, pergi ke dewan serbaguna kampung malam ini atau malam esok. Di situ, kau akan lihat sekumpulan manusia yang sudah bersedia untuk menumpahkan darah. Kalau itu tidak cukup, kau pergi ke kedai kopi di sebelah pejabat pos ayah kau. Di situ juga, akan ada lagi sekumpulan manusia yang sudah mahu meletus dengan kebencian. Dan keluarga kau tersepit. Darah campuran Cina dan Melayu keluarga kau tak akan diterima baik oleh dua-dua pihak. Jadi kau perlu bawa keluarga kau lari. Secepat yang mungkin. Tempat yang paling selamat kalian boleh pulang sekarang adalah ke Pulau Pinang, di rumah lama Atuk dan Nenek kau.

Macam mana aku boleh tahu semua ini? Susah aku nak jelaskan. Okay, Orkid yang ceritakan pada aku tentang kau yang menceritakan kepada dia tentang bagaimana aku yang memberitahu kau tentang perkara ini. Dan kitaran ini terus berpusing-berpusing dan berpusing. Aku harap kita tidak mencipta sebarang paradoks masa. Surat ini sendiri pun sebenarnya sudah melanggar peraturan ruang dan masa. Ah biarkan saja, pasti ada sebabnya Tuhan membenarkan surat-surat ini untuk berlaku.

Oh, tentang aku, kau jangan risau. Kau telah berjaya selamatkan aku Kuntum. Di saat akhir aku sudah hilang harapan dan sudah bersedia ingin membunuh Abah, Orkid tiba. Memang tak terjangka. Lalu dia ceritakan bagaimana sepanjang masa ini kau telah mencari aku. Malang sekali kita tak dapat bertemu. Tak mengapa, pasal aku, kau tinggalkan sebentar. Ada perkara yang lebih penting. Cepat, kau perlu selamatkan keluarga kau.

Sekian,
Malik.

Posts created 11

Leave a Reply

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top