Surat $4

Terima kasih Malik, terima kasih.

Sungguh, aku tak tahu nak bagaimana nak membalas jasa kau. Keluarga aku sudah berada di Pulau Pinang selama seminggu. Semua ini kerana surat kau yang sebelumnya. Atas amaran kau, aku dapat yakinkan Wali untuk ikut ke dewan serbaguna malam itu, kononnya aku ingin pergi rumah Salwa yang berada di sebelahnya. Pabila kami mendengar riuh dari dalam dewan, kami senyap-senyap mengendap dari celah tingkap. Panas telinga kami mendengar ucapan seorang lelaki bersongkok yang terusan menghina dan menaikkan kebencian kepada kaum yang satu lagi. Malang sekali, hadirin menyambut ucapannya. Dan di dalam keramaian itu ada jiran, kawan dan kenalan kami. Tak pernah lagi aku melihat aku melihat wajah-wajah yang aku sapa tiap hari, yang pernah aku bergurau senda, begitu bengis sekali.

Lantas, aku dan Wali berlari pulang ke rumah tanpa sepatah kata diucapkan. Malam itu, buat pertama kali aku rasa tidak selamat di dalam kampung yang aku panggil rumah selama ini. Bapa pulang menceritakan perkara yang sama. Ada beberapa rakannya mengajak dia untuk minum kopi sebentar. Jadi dia ikutkan saja. Ternyata, di kedai kopi itu pula seorang lelaki berpakaian merah lantang bersuara, mengeji pihak yang sana. Katanya perlu ada reformasi. Pihak sana yang asalnya dari tanah ini tidak memberi muka kepada pendatang seperti mereka. Maka terus bapaku meminta diri. Pada mulanya, bapa dan mak berkira-kira juga. Mungkin ini hanya perkara yang terjadi sekali sekala. Tapi setelah mendengar cerita aku dan Wali pula, mereka merubah fikiran. Malam itu juga, kami berkemas.

Alangkah terkejutnya apabila sewaktu kami dalam perjalanan keluar dari kampung, ada sekumpulan anak muda mengejar kereta kami. Mereka melontarkan kata-kata kemarahan yang aku tidak kira berasas. ‘Tahu pun nak berambus, pendatang!’, tinggal mahu melontar batu saja. Dari mana pun semua kebencian ini datang? Sepanjang perjalanan juga Nek Chu memandang sayu pemandangan kampung itu. Pasti dia sedih sekali. Hanya kerana warna kulit dan keturunannya dia dibenci? Aku tidak faham. Kita sudah merdeka bersama, jadi mengapa masih ada rekah? Mungkin aku masih naif. Mungkin ada agenda politik yang aku tidak faham. Mungkin tak akan faham.

Pabila kami melintasi kedai kopi itu pula, seorang lelaki dengan bandana merah menghentikan kereta. Kami sudah cuak kerana dia memegang sebatang kayu. Seorang rakannya menyuluh ke dalam kereta kami. Setelah melihat penumpang yang ada, dia melepaskan kami pergi. Apabila aku melihat cermin belakang kereta, aku baru sedar yang sekumpulan manusia yang ramai sudah berkumpul di tepi jalan. Dan mereka mula bergerak beramai-ramai ke arah kampung kami. Dengan niat untuk menumpahkan darah.

Sepanjang perjalanan ke Pulau Pinang, kereta kami senyap. Senyap yang menekan. Tak ada seorang pun yang mampu berkata apa-apa. Kami terlalu takut. Takut dengan apa yang bakal terjadi dengan orang-orang yang kami kenal. Atuk memujuk Nek Chu yang sudah mengalirkan air mata. Wali termenung memikirkan nasib kekasihnya yang ditinggalkan. Dan bapa terus memandang ke hadapan, memandu, dengan sebelah tangan menggenggam erat tangan mak.

Aku hanya mampu ucapkan terima kasih Malik. Dan kalau betul apa yang ceritakan tentang cucu aku, harapnya dia dapat membantu kau seadanya. Pasti ada yang tersirat dalam setiap yang tersurat. Aku bersyukur atas suratan takdir yang telah mempertemukan kita.

Terima kasih sekali lagi.
Sampai ketemu.

Sekian,
Kuntum.

Posts created 11

Leave a Reply

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top