seri pagi patah hati

Ketika tuan saja-saja menyamakan saya dengan kuntuman seri pagi,
saya fikir di mata tuan, saya terlihat menawan persis sekuntum kembang ungu yang lembut dan teguh.

Pertama kalinya saya jatuh cinta dalam pelukan syair tuan yang hangat dan mengasyikkan.
Tuan hanya tersenyum dalam dan manis sambil bercerita akan bahawa saya itu
bahaya seperti kembang pagi yang bergetah.

Awas kalau melekat pada jari-jemari, maka harus disunting dengan hati-hati dan rapi.

Hati saya hampir pecah kerana ada yang merenung saya hingga ke dasar dan akar,
sehingga tergugah pegangan saya,
pada kemanisan tebu di lekuk bibir tuan yang nipis.
Yang telah menjadi runcing dan menyiat-nyiat saya hanya dengan sebuah kucupan yang kejap dan sekejap.
Lukanya masih basah dan dalam.

Mana mungkin saya menjangka bahawa tuan akan mudah-mudahnya melepaskan saya?
Sedangkan saya adalah sekuntum seri pagi yang tuan belai dan hiraukan?

Tuan tidak layak menggelar saya semacam bunga yang hanya mekar kerana matahari.
Saya tidak tahu kalau mungkin maksud hati tuan itu untuk menghina keindahan saya.
Rupa-rupanya, tuan hanya meratib saya dengan kepalsuan. Hampir saya tersesat.

Pernahkan tuan melihat kuntuman seri pagi yang jatuh dan terkulai mati di atas tanah di hujung hari?

Tuan memang hanya mahir bercumbu dan tidak khatam kitab bahasa.
Walau saya pernah merangkul tuan dengan sangat erat,
tuan bukanlah pancaran matahari yang membuat saya mekar.

Dunia saya tidak berpaksi dan berkitar seorang lelaki.
Tidak pernah akan. Tuan bukanlah matahari saya.

Saya tidak akan hilang seri walau tuan akhirnya memutuskan pergi atau mati.
Saya tidak lagi mahu menjadi kembang pagi.
Saya tidak akan suka menjadi sekuntum bunga yang tuan maknakan dan lupakan.

Tuan tidak pernah benar mengenal saya, hanya saya yang terpana dengan orang yang
pertama kali menyentuh bunga liar ini
dengan sentuhan yang mengugah jati dirinya.

Saya adalah bunga hutan dengan batang yang ramping,
menumbuh dengan kelopak-kelopak bewarna tenang mendongak ke langit,
dengan akar yang teguh menjalar ke dalam tanah.

Anggun sebagai dirinya, walau tidak dirawat atau dihirau.

Tidak terikat pada pujuk syair seorang jejaka yang diulang-ulang pada setiap bunga yang dia hinggap.

f.h
Ogos 2020.

Posts created 51

Leave a Reply

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top