SEPETANG DI PERHENTIAN BAS

Basah belakang T-shirt biru tuaku akibat mekanisma penyejukan badan lantaran hangat mentari petang. Rambutku yang disikat rapi dengan gel itu tak terusik apabila sesekali ditiup angin sepoi bahasa yang menyamankan. Di sudut kanan perhentian bas, wanita anggun, di pertengahan 40-an, berpakaian seragam kerja itu, kulihat sudah lama terpacak di situ. Di tangannya sebagaimana kebiasaan, menjinjit satu atau dua bungkusan plastik kecil, berisi kudap-kudapan yang dibelinya dari deretan kedai di seberang perhentian bas. Wajahnya tampak tegang, memang riak wajahnya selalu begitu. Wajah yang dioles bedak tipis dan gincu bernada lembut itu tampak berseri walau sepasang matanya tak dapat menyembunyi penat. Kakinya menapak perlahan menuju ke bas kilang pendek yang baru sahaja berhenti di hadapan perhentian bas itu. Mungkin apa yang lagi diimpikannya hanya sekejap tidur yang lena tapi apa pilihan yang dia ada, walau hanya dibayar gaji minimum yang minima, itu pun berebut tempat dengan lambakan pendatang asing yang mengalahkan cendawan tumbuh selepas hujan, semuanya kerana, everything needs money.

Di seberang jalan bertentang dengan perhentian bas itu ada barisan gerai menjual makanan. Nasi lemak, ayam goreng, cendol, putu bambu, pisang goreng dan banyak lagi makanan dijual yang selalu menjadi pilihan orang yang lalu lalang di situ. Di hujung deretan gerai itu ada sebuah gerai menjual ayam goreng. Kerap juga aku membeli rangka ayam dan kulit ayam di situ apabila sesekali mengidam daripada nak menunggu pasar malam terdekat yang selalunya seminggu sekali, hari Selasa setiap minggu. Di saat harga barang-barang seakan berlumba-lumba mencanakkan harga jualan, gerai kakak bertudung bawal, berapron bercorak buah-buahan itu, masih lagi tenang menjual seketul ayam goreng crispy dengan harga RM2.50 di tengah kesibukan bandar atas dasar pecaya pada pelanggan setianya barangkali.

Aku? Aku pula hanya seorang belia di awal 20 puluh-an yang lagi sedang dalam perjalanan mengambil pengangkutan awam, menuju ke tempat mencari rezeki hari ini. Dah seminggu motosikal buat hal, dapat duit hasil kerja sambilan ini nanti baru aku bawa ke bengkel. No money, no talk kan? Aku sering mengambil kerja sambilan apabila ada masa-masa lapang yang tak memerlukan aku menghadiri kelas dan tiada sebarang group discussion yang urgent.

Ada saja kerja-kerja yang berdekatan universiti aku sebat, kadang-kadang kerana kelapangan masa tapi selalunya kerana kesempitan ringgit. Dibayar RM5 atau RM6 sejam ditolak dengan tambang pengangkutan, syukur pada Tuhan hatta bukan untuk bermewah sekurangnya cukup. Dilahirkan tak berenang dalam emas, apatah bersayap wang kertas, bak kata Zainuddin dalam karya Buya Hamka, bekerja keras bukanlah pilihan bahkan mandatori untuk kelangsungan.

Sedang aku ralit membuang pandang pada sebuah lagi kompleks beli belah baru yang megah berdiri diseberang jalan besar, sebuah Proton MyVi putih memberhentikan kereta di hadapanku. Cermin di sebelah tempat duduk penumpang diturunkan. Wajah ceria Aliff menyapa medan penglihatanku. Ayahnya di tempat duduk pemandu mengangkat tangan menegurku yang sempat aku balas dengan lambaian sebelum kenderaannnya berlalu pergi. Sengaja ingin mempamit aku barangkali kerana dah lama tak berjumpa.

Aku memang bercadang hendak berziarah apabila berkelapangan untuk bertemu Aliff, anak 6 tahun yang meghidap cerebral palsy setelah jatuh di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak sewaktu berusia 5 atau 6 bulan. Kali terakhir aku berbual dengan salah seorang petugas di bahagian universiti asrama itu, khabarnya mereka akan ke Hospital Kuala Lumpur untuk pembedahan membetulkan juling keluar (exotropia) anak sulungnya itu. Dedikasinya dalam membesarkan anak kelainan upaya itu cukup aku kagumi.

Jam tangan Q&Q aku tilik buat kesekian kalinya. Lambat pula bas 666 ni. Beginilah trafik di kota raya sibuk ini ditambah lagi pekerja-pekerja 8-5 dah mula berpusu-pusu untuk pulang. Harap sempatlah aku sampai sebelum jam 6 petang. Tanganku menyeluk telefon pintar di kocek belakang jeans, jemariku pantas menari membuka laman media sosial Twitter untuk menghilang bosan. Tiada isu-isu baru yang menarik perhatianku. Masih saja isu yang tak bekeperluan dibincang tak berkesudahan, membicara aib tanpa sedar kerana malu bukan lagi pakaian, gosip murahan dan baru-baru ini minuman bergula pula mejadi gilaan. Serabut kepalaku mengenangkan sensasi yang menarik perhatian masyarakat kini.

Story Instagram seorang rakan aku buka, gambarnya berlatarbelakangkan Sydney Opera dan keindahan alam semula jadi di sana saat musim panas itu memang saujana mata memandang meskipun hanya dapat ditatap melalui kaca telefon sahaja. Wah makan besar seorang lagi teman media sosialku ini. Terliur juga aku melihatkannya. Hanya mampu memasang niat sahaja buat masa ini kerana keperluan hidup harus mendahului keinginan. Kalau dapat mengalas perut dengan nasi bujang selepas habis kerja malam ini pun sudah syukur.

Bunyi keriut pintu bas yang dibuka mencuri perhatianku. Sampai juga bas bercat kuning ini. Keringat di dahi yang hampir mengalir aku lap dengan belakang tangan. RM2 aku keluarkan dari poket hadapan. Telefon pintar aku simpan sambil mengatur langkah menuju ke bas bernombor 666, kembali ke realiti kehidupan yang tak seindah dan tak sewangi secebis kehidupan di dunia maya.

Saat aku cemburu pada secebis kehidupan media sosial yang dipertontonkan, sengaja aku biarkan kaki ini lenguh menunggu di perhentian bas sibuk ini, agar dapat menatap lebih lama gelagat dan mengenal cerita-cerita manusia kental yang berjuang untuk kehidupan sebenar.

f.h

Posts created 51

Leave a Reply

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top