Seperti Semalam

Seperti semalam, jendela luas memberi pemandangan yang indah, di mana burung berkicauan dan angin membelai sayu.  Namun, angin tidak dapat dilihat tetapi dirasai. Sungguh indah deria yang dikurniakan Yang Maha Esa di mana manusia dapat membawa dirinya ke jalan kebenaran.  Dalam memahami keadaan diri dan hubungan antara manusia dengan manusia, manusia dengan alam serta manusia dengan Penciptanya.

Ungkapan demi ungkapan memenuhi alam maya, di mana pendapat disertakan pengalaman hidup, dalam menangani kemelut politik dan sosial; amat menarik kerana masalah yang sedia ada, tidak dapat difahami binatang, tidak dapat diselesaikan oleh haiwan, dan tidak dapat ditimba oleh Sang Serigala.

Manusia, dengan mindanya, dapat membezakan, yang betul, yang salah.  Matanya kabur dengan matlamat, dengan tujuan yang tidak boleh dilupakan; amat penting sekali bagi manusia mencapai hajat tersebut, atas sebab dirinya lemah sekiranya tidak tersampai.  Ya, matahari menjadi saksi apabila manusia sedar selepas lena, dengan menjalankan tugas memenuhi ruang bumi dengan kerja.  Yang mengorak langkah, dalam memperjuangkan hak, yang meningkatkan pengeluaran bahan mentah, yang mendidik anak-anak kecil di sekolah, dan yang bercucuk tanam di desa.  Setiap orang mempunyai tujuan masing-masing dan yang membezakan antara sata sama lain adalah kesedaran.  Setiap langkah yang diambil mendekatkan diri dengan mati kerana itu sahaja yang pasti.  Lagu puitis dan sajak bertenaga dan peribahasa mutlak, setiap ungkapan adalah untuk menyedari hubungan manusia dengan dirinya sendiri!  Apakah daya orang yang tidak memahami kepentingan itu?

Mengharungi hujan lebat, menangkis tohmahan dan cacian masyarakat, dia berjalan dan tidak berlari kerana sudah basah kuyup, bukan dengan air, tetapi dengan pengalaman.  Dia memahami bahawa pendapat lain hanya pendapat dan bukannya kepastian.  Sambil menghisap rokok, orang tua di bawah pokok itu melambai tangannya yang kurus dengan bertanya; “Hendak ke mana kamu?”  Dia menjawab dengan ringkas; “Saya ingin pulang ke rumah kerana ibu sudah masak makanan kegemaran saya.”  Orang tua itu hanya mengangguk dengan matanya yang tertutup sambil menghembus asap rokok.

Sudah pasti, apa yang digemari hanya dapat dihayati dengan deria.  Pengalaman yang ditimba dalam kehidupan ini merupakan anugerah yang membezakan manusia dengan haiwan, seperti yang telah diungkapkan.  Hasil nukilan para penulis hidup berzaman walaupun yang mengarangya sudah tiada.  Apabila perkataan dapat melahirkan perasaan yang amat kuat dalam sanubari, itu adalah tujuan penulis, sepertimana tujuan manusia untuk mengetahui apakah itu ‘tujuan’.  Persoalan yang sentiasa terngiang di telinganya.

Padi itu tunduk apabila isinya penuh.

Posts created 1

Leave a Reply

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top