senja bersama

cahaya jingga merekah.
membuat awan terlihat seperti pasir, butir-butir emas yang hangat.
langit menghampar bagai laut. membiru dengan buih-buih awan.
gumpalan awan berarak pelan-pelan bagai ombak menghempas bibir laut tanpa cemas.

burung-burung mengibas sayap mereka laju. merasakan angin.
kemudian, mendepang sayap tenang menikmati petang. bebas dan percaya diri.
mereka dalam perjalanan pulang. sebatang ranting digigit dengan paruh.
untuk dibina sarang, tempat bersenang, bertenang dan membangun keluarga.

apa mungkin dia si ayah? apa mungkin dia si ibu?
atau sang anak yang baru belajar berkepak. mandiri.

bicara pada langit petang. hanya dengan mata.
yang selalu tenang dan indah bagai hamparan dari sebuah lukisan yang aku khayalkan.
atau sekadar bayangan dari hasil seni Van Gogh yang aku lihat di carian maya.

tiga kata.
hangat. bahagia. senang.

aku rasa difahami apabila silau dari cahaya jingga dihadang gumpalan putih gebu. warna yang kusukai.

jingga itu aku. putih itu hatimu.
kau memeluk aku dengan bicara tak bernada.
aku lihat, langit jingga terbias di anak matamu; wajahku yang gembira.
berkilau. mencuri-curi pandang senyummu.
keindahan yang tak aku faham, tapi aku sudah lemas di dalamnya.
indah yang luar biasa.

apa aku lagi bermimpi? nanti, akan aku karang puisi dari warna-warna langit senja
sebagai dakwatnya untuk bertanya apa kau mahu menghabiskan seluruh senjamu bersamaku?

menatap langit. tanpa bicara. kita tak percaya pada hari esok.
kita yakin pada hari ini. aku duduk disisimu.
kita mendepang tangan hingga jemari kita bersentuhan tanpa sengaja.
aku biar dan kau tidak lari. hati kita menari.
bibir bernyanyi kecil.
suria tersenyum melihat kita.
angin menyentuh wajah.
rambutmu mengurai terbuai dalam irama yang mengasyikkan.
hati kita dekat.

kita pejam mata.
berpura-pura kita adalah burung-burung.
pulang ke sarang. sepuluh saat berlalu.
matahari sudah tenggelam, dan aku sudah di sarang.
tempat di mana kita adalah bersama menjadi sarang; rumah.

perlu apa kita pada yang lain?
tangan kita menyatu. kau senyum pada langit.
kita masih tidak bicara. tiada kicau burung. angin berhenti berdesir.
aku yakin kau mahu senja bersamaku.

f.h

Posts created 41

Leave a Reply

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top