Pistol, Perempuan dan Gelas Kaca berisi Fulfilment

Anton Chekhov kata, buang segala yang tidak diperlukan dalam sebuah cerita, jika ada sepucuk pistol yang tergantung di dinding pada bab 1, pistol itu patut digunakan pada bab 2 atau bab 3. Jika ia tidak akan digunakan, ia tidak sepatutnya ada di situ.

Meraikannya, aku keluar rumah pada suatu hari dengan meninggalkan semuanya. Dompet masih di dalam laci, telefon bimbit masih bersambung dengan wayar pengecas, malahan pintu rumah aku biarkan ternganga sahaja. Aku memandu sehingga minyak keretaku kehabisan dan ia juga aku tinggalkan, dengan pintu terbuka dan lampu kecemasan yang masih lip lap lip lap di bahu jalan raya.

Buang segala yang tidak diperlukan.

Ya, ya, aku tahu Anton Chekhov cakap kata-kata itu sebagai petua menulis fiksyen tapi bagi aku, ia juga boleh digunapakai dalam kehidupan. Maksud aku, semua ini untuk apa? Duit, telefon bimbit, kereta dan lain-lain, untuk apa? Ia sekadar memberi ilusi bahawa kita sedang menjalani kehidupan. Seperti ada mata ketiga di dahi aku yang mampu melihat di sebalik semua material dan yang tinggal hanyalah kekosongan.

Kosong.

Aku adalah gelas kaca yang menagih fulfilment untuk mencapai maksud kewujudan aku. Apalah makna gelas jika ia tidak berisi, bukan? Dan maaflah, aku tidak rasa fulfilment itu datang dengan kemampuan untuk membeli barangan, alat untuk berhubung dengan manusia lain dan kemudahan untuk bergerak ke suatu tempat. Aku sendiri tak tahu apa sebenarnya yang mampu mengisi gelas kaca itu tapi aku tahu, yang ia semestinya lebih besar daripada duit, telefon bimbit dan kereta dan untuk ke arah itu, aku hanya perlu tinggalkan semuanya agar aku tidak terperangkap dengan ilusi lalu perlahan-lahan, mula content dalam sebuah buih rapuh yang dibina daripada material.

Aku menyelusuri denai renek dan melangkah perlahan ke rumah Juli. Juli seorang perempuan cantik. Sebelum memulakan perjalanan ini, aku perlu berjumpa dengannya dulu, mungkin kerana nilai sentimental kerana aku kenal dia sejak kecil lagi. Lagipun, dia perempuan cantik. Ada terlintas di fikiran untuk mengajaknya pergi sekali dengan aku, bersama dalam road trip mencari fulfilment tapi aku risau yang mungkin bila tiba masanya, aku perlu meninggalkannya. Seperti pistol yang tergantung di dinding dalam kata-kata Anton Chekhov, lambat-laun ia akan mencapai tujuannya.

Apatah lagi, Juli dengan sepucuk pistol hampir tiada bezanya. Kedua-duanya membunuh.

Aku disambut dengan senyuman dan bau teh panas yang melingkari ruangan rumah Juli. Aku duduk di sofa empuk sambil menikmati pemandangan menyenangkan; Juli menyanggul rambut panjangnya dan anak rambutnya dibiarkan dua-tiga helai bermain-main di dahinya. Dia tersenyum ketika aku mengalihkan pandangan setelah aku matanya bersua dengan mataku. Maaflah, dia memang cantik.

Apa tujuan kau ke sini, tanya dia sambil menuangkan teh panas kepadaku.

Aku ceritakan semuanya, tak bertapis. Walau sedikitpun.

Ini Juli, budak perempuan yang mempertahankan aku ketika aku dibuli budak-budak jahat ketika kami masih bersekolah dulu. Ini Juli, gadis muda yang menyanyikan lagu hari jadi di atas talian telefon ketika aku berseorangan menyambut hari jadi kedua puluh tahun di atas meja belajar. Ini Juli, perempuan yang pernah katakan padaku “aku tak mahu melihat kau pergi menyelamatkan dunia bila ia mahu berakhir, cukuplah kau di sisi aku untuk kita menikmatinya bersama”.

Ini Juli, perempuan cantik yang aku percaya dengan nyawa aku sendiri.

Kau ajak aku, tanya Juli.

Aku mengangguk.

Kau mungkin akan tinggalkan aku lagi, seperti yang kau lakukan berkali-kali sejak dari dulu lagi, Juli memprovokasi.

Aku mengangguk.

Tapi akhirnya, aku akan cari kau semula, sekali lagi. Seolahnya aku tak pernah meninggalkan dirimu. Aku cuma pergi, dan kembali kepadamu. Berulang kali, harapnya selama eterniti, aku kata pada Juli.

Juli tersenyum sebelum menghirup teh panas dan berlalu keluar dari  rumahnya. Aku lihat api di dapurnya yang masih menyala, tingkap-tingkap yang masih ternganga dan teh yang masih panas ditinggalkan begitu sahaja olehnya.

Cepatlah, bisik Juli.

I tried to change my profile picture but this thing won't let me.
Posts created 1

Leave a Reply

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top