Pesan Ayah

Anakku ini terlalu mudah menangis

Setiap saat dia menangis

Kerana duka, kerana luka, kerana kasih, kerana rindu

Kerana cintanya padaku dia menangis

Kerana takut pada dasarnya dia menangis

Menangis dan terus menangis

 

Aku ingin dia menjadi kuat

Setegas ribut selembut pawana

Resah tidak terperi aku pendamkan

Pesanku: Berhentilah menangis duhai anak

Aku mahu kau jadi lelaki

Kita ini anak Banjar

Bangsa kita tidak menangis

Kita hidup dalam bakti

Mengalir deras darah perantau

 

Dia mengangguk faham tanda mengerti

Aku melihat susuk tubuh kecil itu

Kini aku perlu mendongak saat berbicara

Anak yang kecil  sudah sihat dewasa 

Tidak lagi mengalirkan airmata

Tidak lagi mengadu domba

Tidak lagi memegang tanganku

Tidak lagi menyatakan rindu

 

Benar-benar dia telah  menjadi seorang lelaki

Namun aku ini tidak buta mata hati

Aku masih lihat dia menangis

Tangisannya senyap tidak berbunyi

Aku dengar, aku lihat, aku tahu

Hanya hati boleh mendengar hati

 

Luluh hatiku melihat kau…nak…

Dunia kini terlalu perit bagimu

Jasad tuaku ini sudah lemah untuk membela

Sudah tidak mampu memukul pendosa

Sudah rapuh dimamah usia

Hanya menunggu detik dijemput Yang Esa

 

Pulanglah duhai anak

Menangislah di ribaanku

Engkau tidak perlu lagi menjadi lelaki 

Teruslah menangis sampai tenang hatimu

Maka ketawalah sesudah itu

Aku sentiasa ada disisimu

Kerana akulah ayahmu

Posts created 10

Leave a Reply

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top