biar dia pergi

Hari ini,
terkurung itu jadi yang paling aman,
bertebar, jangan!
merayau, tak hirau,
berketurunan disengat,
si jahat.

Hari ini,
menjauh itu jadi yang paling nyaman,
berdekat-dekat,
tak sadar,
dah ke mana ditebar,
ada yang bernisan,
kerana kita tak ikut pesan.

Hari ini,
kita sudah tak saling bertatap,
hanya berserah di bawah atap,
doa di hujung ucap, berharap.

Hari ini,
kita punya segala masa di dunia, nikmat dan bencana,
tuhan bagi dua-dua.

Masa beku,
perlahan berlalu,
periuk terkambus,
nafas atau perut
mana dulu yang putus?

Dua puluh paling tinggi,
mewah, melewah, ewah.
alah tak apa,
kau orang tak salah.

Tembok kebal,
pun boleh runtuh,
kekal berjarak,
senjata ampuh.

Segala sempadan dikunci,
diikat mati, rapi
tik tik tik tik
bom jangka kanan kiri
jangan pergi
jangan mari

Ekonomi merengkuh
HAH!
Siapa hari itu yang angkuh?

Ini perang masa,
siapa cepat dia selamat.

yang di depan,
hanya Tuhan melindung,
yang di atas,
jangan kelibut
mana yang nak diturut?
yang mengikut,
ikut!

Ini perang kita,
jangan tersia,
kita jaga kita,
moga Tuhan pelihara.

Bulan yang baik
bawa dia jauh–

Pergi
biar insan kecil hari ini,
aman menatap langit,
esok hari.

f.h

Posts created 45

Leave a Reply

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top