Pelancong Masa

Pelancong Masa

Cahaya mentari jingga serta beberapa garis pelangi menerangi langit Tanjung Lipat pada petang itu. Suasana tepi pantai itu sunyi, hanya kedengaran bunyi ombak jinak menghempas darat dan kicauan burung-burung kembali ke sarang. Sejak Bahran dilahirkan, dia selalu menghabiskan masa petangnya di pantai jauh di pedalaman itu. Memori zaman kanak-kanak mulai menusuk kembali ke mindanya tatkala melihat persekitaran dimana dia dibesarkan. Dan kini anaknya yang baru dilahirkan semalam akan melalui pengalaman yang sama.
Dari dulu lagi Bahran suka melihat matahari terbenam sehinggakan ayahnya sanggup membina pondok kecil di atas pokok hanya untuknya menikmati panorama senjakala. Secara automatik dia terbayangkan wajah ayahnya. Ya, seperti pondok itu, ayahnya juga telah tiada. Pondok itu telah dirobohkan kerana pokoknya yang semakin mereput. Ayahnya pula telah meninggal dunia pada usianya sepuluh tahun kerana diserang strok. Kehilangan seorang figura ayah semasa masih kecil memberi impak yang besar dalam hidupnya dan dia berdoa agar perkara yang sama tidak akan terjadi kepada anaknya.

Lamunannya terhenti apabila terdengar telefonnya berbunyi. Panjang umur, getus Bahran selepas melihat nama yang sedang memanggilnya
“Hello, ayang! Macamana anak kita?” kata Bahran seraya mengangkat panggilan itu. Terukir bibit senyuman di wajahnya.
“Hmm…” kata isterinya, Wardah dengan nada suram. Muka Bahran bertukar menjadi sugul. “Ada komplikasi sistem pernafasan…peri..perinatal…perinatal asphyxia..” sambung Wardah terketar-ketar. Kedengaran suaranya seperti sedaya upaya menahan tangisan.
Seluruh badan Bahran juga mula memberi reaksi yang sama seperti isterinya. Walaupun dia tidak tahu apa komplikasi yang baru disebut Wardah sebentar tadi, tapi dia pasti ianya adalah sesuatu yang amat membimbangkan.
“Kata doktor, anak kita kekurangan oksigen time ayang lahirkan dia…sebab kandungan oksigen dalam darah ayang masa nak beranakkan dia tu sikit sangat. Jadi sekarang dia disambungkan ke mesin ventilator. Doktor cakap dia ada…” percakapan Wardah terhenti mendadak.
“Ada apa ayang? Ada apa?!” jerit Bahran sehingga memeranjatkan burung yang hinggap berhampirannya. Wardah yang dihujung talian juga terkejut, namun dia faham akan reaksi suaminya itu.
“Ada 50-50 peluang untuk hidup,” jawab Wardah, ringkas namun cukup untuk membuatkan Bahran longlai tidak bermaya. Roh Bahran seperti keluar dari jasadnya. Badannya lantas terlabuh di pasir pantai dan air mata jantannya mulai mengalir.
“Hello….hello? Abang?.. Hello?”
Bahran masih tersungkur sepi. Dua lopak air kecil terbentuk di pasir akibat matanya yang deras mengeluarkan tangisan. Wardah mematikan panggilan setelah dipanggil doktor yang ditugaskan merawat bayinya. Dia cuma berharap agar suaminya itu tidak berbuat sesuatu yang bodoh.
Tidak tercapai dek akal Bahran jika anaknya pergi sebelum sempat dia melihat wajahnya. Semuanya gara-gara lokasi hospital yang jauh di tengah bandar, dan kerjayanya sebagai nelayan yang memaksanya untuk melihat isteri dan bayinya hanya ketika mereka sudah pulang hospital. Namun kini dia sedar itu perbuatan yang dungu, kerana sekarang ada kebarangkalian jika dia hanya dapat bertemu isterinya sahaja nanti. Dia memukul kepalanya tatkala memikirkan tentang kebarangkalian itu.
“Encik!” satu suara tiba-tiba menerpa dari arah belakang Bahran. Dia segera berpusing dan mengusap air matanya. Dia tidak ingin orang tahu akan masalah yang dihadapinya. Dia bukanlah seorang yang gemar meluahkan masalahnya dengan orang lain.
“Hai encik!” seorang gadis remaja menegurnya sambil melambaikan tangan. Dia memandangnya dari atas hingga ke bawah. Pemakaiannya bukan seperti orang lain, tapi Bahran yakin dia adalah seorang manusia, namun dia kelihatan lebih moden dan ranggi.
Pakaiannya berwarna perak berkilat membuatkan mata Bahran sedikit silau. Busana di bahagian bawah badannya memunjukkan corak galaksi berwarna ungu yang menunjukkannya seakan-akan hidup. Seperti imej GIF bergerak sedang terpampang di skirt labuhnya. Gadis itu juga memakai tudung, namun jauh lebih elegan berbanding fesyen hijab masa kini.
Tiba-tiba Bahran teringat akan berita tular yang kerap dia terbaca dan terdengar sejak dua bulan lalu. Tapi kini dia melihat sendiri di hapadan matanya. Gadis itu bergerak perlahan menuju Bahran namun kakinya pula seakan-akan terapung. Nike HoverShoeTM terpateri di kasutnya yang sedang terangkat sekurang-kurangnya tiga inci dari permukaan tanah.
“Saya Raxquille Amira Alicia Herdaniah Xerneas binti…” dia berenti seketika sebelum menyambung “tapi panggil saya Raxquille je.”
“Pelancong masa!” sahut Bahran laju. “Awak..awak pelancong masa kan?”
“Macamana encik tahu saya ni pelancong masa?” soal Raxquille. Dia berasa lega lelaki itu mengetahui siapa dirinya. Dia pernah terdengar khabar angin ada pelancong masa di USA yang dibunuh kerana pihak kerajaan masih belum tahu siapa diri mereka. Mungkin kini pelancong masa bukanlah sesuatu yang asing lagi.
“Errr…pakaian awak sama macam yang datang kat KL haritu. Dan portal tu,” kata Bahran sambil menunjuk ke arah sebuah portal bujur yang bergelinang sinaran warna kuning. Di dalam portal itu terlihat hitam pekat, seolah-olah cakerawala. Portal itu sama seperti di dalam video yang dia lihat pada tahun lepas semasa pelancong masa melawat Kuala Lumpur untuk melihat momen pembentukan Malaysia Baru.
“Opps,” kata Raxquille lantas menekan sebuah butang kecil di alat kawalan jauh yang dipegangnya. “Lupa off portal”
Zuupp!
Portal itu hilang sekelip mata. Mulut Bahran ternganga luas.
“Okay Raskuil Amira err”
“Panggil Raxquille je ”
“Okay ‘Raxquille’. Mana kawan awak yang lain? Bukan selalu pelancong masa datang dalam kelompok ke?” tanya Bahran setelah melihat di sekeliling gadis itu.
“Oh..yang tu…” Raxquille cuba memikirkan alasan yang logik dengan pantas. Dia tidak ingin Bahran tahu tujuan sebenar dia datang ke sini, “Rombongan tu esok sebenarnya. Saya datang awal sebab…saya tak dapat nak ikut..ada urusan sikit”
“Oh macam tu..” kata Bahran masih lagi terpegun melihatnya.
Nasib baik, getus hati Raxquille.
“Kau buat apa sini? Selalunya pelancong masa datang ke peristiwa bersejarah ataupun jika ingin melihat bangunan yang tiada pada lagi masa hadapan,” kata Bahran. Dia berminat membaca hal-hal berkaitan Pelancong Masa ketika masa lapangnya atau msementara menunggu hasil tangkapannya.
“Well..sebenarnya…err kenapa encik menangis tadi?” Raxquille cuba untuk mengalihkan topik.
Riak wajah Bahran bertukar semula menjadi masyghul. Dia teringat semula tentang nasib anaknya sehingga terlupa dengan soalan yang diajukannya tadi.
“Come on sir. You can tell me.” kata Raxquille dengan nada memujuk.
Bahran termenung sebentar. Kemudian dia mengajak Raxquille untuk duduk di batang pohon yang telah reput berdekatan.
“Bayi saya..dia ada komplikasi pernafasan. Dah dua hari dia ditahan kat hospital. Saya takut saya tak sempat tengok dia. Semua ni salah saya,” Bahran menahan tangisan. Matanya sudah pedih mengeluarkan air mata sejak dari tadi.
“Salah encik? Kenapa pula?” tanya Raxquille. Ingin sahaja dia menenangkan Bahran yang sedang berduka. Namun dia tahu polisi pelancong masa. Sebarang sentuhan fizikal terhadap manusia atau benda pada masa lalu adalah dilarang semasa melancong masa. Hal ini kerana ia dikhuatiari akan menganggu kontinuum ruang masa. Sebarang perubahan samada kecil atau besar akan mempengaruhi fabrik masa dan menyebabkan alterasi pada masa hadapan.
“Saya yang tak mau ikut bini saya untuk bersalin di hospital. Perjalanan ke hospital mengambil masa dua hari, jadi saya suruh dia tinggal di rumah saudara saya di bandar seminggu awal sebelum due date. Takut kalau dia stay sini, tak sempat nak bawak ke hospital. Lagipun saya tak ada kenderaan nak bawak dia nanti,” jawab Bahran panjang. Dia terasa lega dapat meluah akhirnya walaupun dengan seorang perempuan asing dari masa hadapan.
“And semua tu salah encik sebab?”
“Sebab…kami ada bergaduh pasal benda ni. Mungkin sebab tu dia stress. Mungkin itu yang menyebabkan komplikasi time dia beranak,” jelas Bahran. Imbasan kembali dia menaikkan suara dengan isterinya mulai bermain di minda.
“Tapi encik buat semua ni sebab encik sayang isteri encik kan?” kata Raxquille.
Bahran mengangguk perlahan.
“Dan sebab saya nak kumpul duit lebih umtuk tampung anak kami nanti. Ye la. Dua minggu tu tempoh yang lama untuk saya tinggalkan pekerjaan saya,” jelas Bahran lagi.
“Encik percaya Qada dan Qadar?” soal Raxquille.
“Percaya,” jawab Bahran bingung. Dia tidak sangka soalan itu akan datang dari manusia masa depan seperti Raxquille.
Alat kawalan portal masa yang dipegang Raxquille mulai berdetik, menandakan masa melawat dia sudah hampir tamat. Raxquille mulai memandang tepat ke arah muka Bahran dan memegang erat tangannya, tidak mempedulikan tentang undang-undang pelancongan masa.
“Encik tahu tak, walaupun kami sudah ada teknologi merentas masa, kami tidak menggunakannya untuk menghalang sesuatu yang buruk terjadi?” kata Raxquille. Bahran mendengar dengan teliti. “Seperti perang dunia, pembunuhan mahupun…bencana?”
Bahran cuma menggeleng.
“Kerana semua perkara yang berlaku itu sudah ditakdirkan oleh Tuhan. Semua yang terjadi itu ada sebab dan akibatnya. Jika kita mengganggu masa lampau, masa hadapan mungkin akan menjadi lebih teruk. Seseorang mungkin tidak akan dilahirkan, atau mungkin sesuatu bangunan atau struktur itu tidak akan wujud,” terang Raxquille panjang.
“Jodoh, ajal, rezeki..itu semua ketentuanNya. Dan tiada manusia, tak kira secanggih manapun, kita masih tak mampu melawan takdirNya,” sambungnya lagi.
Lampu merah mulai berkelip di alat kawalan jauhnya.
“Masa untuk pergi?” tanya Bahran. Di mindanya masih memikirkan kata-kata Raxquille sebentar tadi.
“Yup,” Raxquille bingkas bangun dan menekan butang “Open” di remote masanya. Portal masa mulai terbentuk di tempat yang sama seperti tadi.
“Cantiknya,” Raxquille ssempat melihat matahari yang sedang terbenam. Dispersi cahaya matahari pada petang itu menghasilkan spektrum warna yang unik dan luar biasa. Sedikit ungu, sedikit merah, sedikit kuning dan sedikit biru, semua warna harmoni menjadi satu
“Ya. Saya harap anak saya dapat menikmati pemandangan indah sama seperti yang ini,” kata Bahran, sugul.
“Percayalah encik. He will,” jawab Raxquille sebelum meminta izin untuk mengundurkan diri. Di sebalik senyumannya, terpalit perasaan sedih.
Bahran melambai pada Raxquille dan dia mulai hilang ditelan portal itu.
xxxxxxxxxx
Seperti hari biasa, Bahran memulakan rutin kerjanya dengan turun ke laut pada awal pagi. Kepalanya migrain kerana tidak dapat melelapkan mata semalaman akibat memikirkan perihal anaknya yang masih lagi dibawah bantuan mesin pernafasan. Dia juga memikirkan tentang Raxquille dan pelancong masa yang akan melawat Tanjung Lipat pada hari ini.
Keadaan pantai pada pagi ini sedikit aneh dari yang biasa. Selalunya air akan memenuhi sehingga separuh dari pantai, tapi pada pagi ini air di tepian pantai itu seperti ditarik semula ke lautan. Bahran mulai merasa tidak sedap hati.
Seraya itu, satu portal besar terbentuk di langit, sebuah kapal angkasa yang sedang membawa beberapa penumpang diatasnya mulai terapung di atas Bahran. Di sebalik jendela kaca kapal itu, terdapat sebuah kelompok yang kelihatan seperti keluarga besar. Wajah mereka mirip antara satu sama lain. Mirip seperti wajahnya dan isterinya. Ada bayi, kanak-kanak, remaja dan orang tua. Semuanya sedang melambai ke arah Bahran. Seorang lelaki tua, berkemungkinan berusia lebih 80 tahun, mulai mengalirkan air mata deras. Dia ditenangkan oleh cucunya yang lain.
Raxquille! Bahran mengecam Raxquille di sebalik kelompok itu. Raxquille hanya mampu menggeleng-geleng dan menahan tangisan.
“Maafkan saya, moyang!”
Bahran mengangguk faham walaupun tidak mendengar apa yang dituturkan Raxquille. Dia tersenyum, yakin bahawa anaknya yang sedang bertarung nyawa di hospital itu akan selamat.
Tatkala itu, ombak besar setinggi bangunan mulai menerpa ke arah Tanjung Lipat dan menelan segala apa di dalamnya.
”Selamat tinggal, keluarga…” kata terakhir Bahran sambil membalas kembali lambaian mereka.

Leave a Reply

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top