PALAPES

“KAU memang perempuan tak guna!” Dia berteriak dengan penuh perasaan. Teriakannya kuat sehinggakan ada daun-daun yang berada di pokok berdekatan bergoncang hebat.

Seketul batu diambil lalu dicampakkan ke dalam tasik yang tenang airnya. Berkocak terus air tasik itu dek campakan batu daripada seorang lelaki bertubuh gempal.

Lelaki tersebut terduduk di situ sambil menangis teresak-esak. Malam yang semakin memekat tidak dihiraukan olehnya. Dia duduk di situ bersendirian sambil mengenangkan nasibnya yang sentiasa dirundung malang.

“Apa salah aku?! Apa salah aku sampai kau sanggup buat aku macam ni?!” Dia merintih, meraung dan menangis bagai orang gila. Seorang diri. Tanpa teman. Rambutnya dicarik-carik sehingga kusut-masai.

Pada waktu yang sama, air tasik itu beriak. Mulanya riak tersebut hanya kecil namun, lama-kelamaan semakin besar. Seperti ada seekor naga yang mahu keluar dari tasik tersebut.

Perubahan air tasik itu tidak disedari oleh lelaki malang tadi. Dia terus-terusan menangis seperti orang hilang akal.

Air tasik itu mula membentuk sebuah lubang. Semakin lama semakin besar lubang tersebut. Bagai ada sesuatu jauh dari dalam tasik yang ingin keluar dari situ, ada satu cahaya tiba-tiba muncul dari dalam lubang tersebut. Cahaya itu sangat menyilaukan pandangan dan serentak itu keluar seekor makhluk berambut panjang, berbaju putih compang-camping dari lubang air tasik tersebut.

“Apa benda ni, sial?!”

“NAMA AKU LAILA MAJENUN DAN AKU PENUNGGU TASIK NI!!!”

Dan lelaki itu pengsan sehingga orang-orang dari surau menemuinya.

 

********************

 

MALAM yang hening. Bertemankan lampu kalimantang yang bagai hidup segan mati tak mahu, membuatkan Syaffiq berasa bosan. Dia yang baru sahaja selesai mandi itu, dengan hanya bertuala mendekati Adha yang sedang leka menonton filem di laptop.

“Kau tak pishang ke Ad?” soal Syaffiq sambil membetulkan kedudukan tualanya yang hampir terlondeh itu.

Adha yang pada ketika itu terkejut pantas menjawab. “Ha? Pishang? Boleh tahanlah…” balasnya ala kadar.

Pishang merupakan terma baru untuk menggambarkan tahap kebosanan yang sangat melampau.

Syaffiq terdiam. Otak geliganya merencana sesuatu sambil Adha menyambung kembali menonton filem di laptopnya itu.

“Mana pergi geng PALAPES kita yang lain? Takkan tinggal kita dua je malam ni?”

Soalan daripada Adha itu terus sahaja mematikan lamunan Syaffiq. Syaffiq pantas bangun lalu terus sahaja mencapai singlet berwarna putih yang sudah dua minggu tidak dibasuh.

“Diorang pergi BBQ dengan Tuan Daud. Memang tinggal kita dua je kat level 3 ni.”

“Apasal kau tak ikut diorang, Capik?”

Syaffiq diam seketika. Dia menyarungkan singlet serta sweat pants ke tubuhnya. Tuala yang tadi membaluti bahagian pinggangnya ke bawah ditanggalkan sebelum disidai sahaja di kepala katil.

“Kau macam tak tahu, Ad. Aku kan anti dengan Tuan Daud tu. Eh, Ad! Aku ada idea baik punya nak hilangkan kepishangan kita malam ni.” Pantas sahaja Syaffiq menukar topik perbualan. Dia menepuk bahu Adha sekuat hati.

“Apa benda, Capik? Kalau iyapun tak payah pukul bahu aku macam nak bunuh. Sakitlah!”

“Eleh kau ni lembiklah, Ad. Kata PALAPES!”

Selamba sahaja Syaffiq mengutuk Adha ini. Adha sudah beri jelingan tajam. Bahunya yang terasa bisa itu diurut-urutnya. Tangan si Syaffiq ni macam pemukul besbol. Bisa yang amat bila terkena.

“Ha, apa benda yang boleh hilangkan bosan kita tu?”

Dan Syaffiq hanya tersenyum sumbing…

 

********************

 

ADHA sudah pandang-pandang Syaffiq. Dia macam tak yakin. Lututnya kian lembik. Bulu romanya tak payah ceritalah! Memang sedari tadi tegak berdiri macam waktu geng PALAPES kawad!

“Capik…” panggil Adha dengan nada yang terketar-ketar.

Syaffiq sempat berdecit sedikit sebelum membalas panggilan daripada rakannya itu. “Apa dia kau ni Ad?”

Adha pandang sekeliling. Susana kian seram. Dalam kolej lelaki ini hanya tinggal mereka berdua sahaja. Yang lain balik cuti semester. Geng PALAPES yang lain pun belum balik-balik dari BBQ sedari petang tadi. Tidak tahu kenapa hari ini dia terasa semacam. Bulu romanya sedari tadi tak turun-turun. Tegak berdiri sahaja.

“Kau yakin ke nak pergi bilik 317 ni?” soalnya sambil menelan air liur. Entah kali yang ke berapa dia tanya soalan yang sama kepada Syaffiq.

“Memanglah! Kau ni kenapa? Takut? Kita PALAPES mana ada takut!”

Bongkak sungguh gaya Syaffiq bercakap. Dalam hati Adha sudah menyumpah seranah.

Sepanjang perjalanan mereka ke bilik 317 yang terletak paling hujung di level 3 bersebelahan dengan tandas, bunyi salakan anjing bersilih ganti. Membuatkan Adha semakin ketakutan. Dia membontoti sahaja Syaffiq yang terlebih dahulu bersemangat waja ke hadapan.

“317…” Syaffiq tersenyum sebaik sahaja tiba di hadapan bilik yang dikatakan berpenunggu ini.

Bilik ini dibiarkan kosong tanpa penghuni. Ada ura-ura mengatakan yang pihak kolej telah membuat perjanjian dengan makhluk ghaib ini agar bilik ini dibiarkan kosong tanpa penghuni. Dipercayai bilik ini berpuaka dan ada dalam kalangan pelajar di sini melihat kelibat aneh keluar masuk bilik ini pada waktu malam. Tetapi kesahihan berita ini tidak dapat dipastikan.

Bilik tersebut dibiarkan tidak berkunci. Pintu serta tingkap pula dibuka seluas-luasnya. Atas alasan senang untuk makhluk ghaib tersebut keluar masuk sesuka hati. Walaupun bilik tersebut tidak berkunci, tiada seorang pelajar lelaki pun yang berani masuk ke dalam bilik tersebut. Hal ini kerana, pernah ada satu kes di mana pelajar lelaki tersebut dirasuk oleh makhluk itu dan hampir sahaja mati kerana mahu terjun bangunan. Selepas kes itu, tiada sesiapa pun berani masuk mahupun lalu di hadapan bilik tersebut.

Syaffiq yang terlalu berani dan kurang percaya sudah pun masuk ke dalam bilik tersebut. Sementara Adha yang ketakutan masih lagi berada di luar. Sebaik sahaja Syaffiq masuk ke dalam, ada angin hangat dari luar berhembus kasar. Padahal, pada waktu itu cuaca di luar baik-baik sahaja. Tiada angin kerana daun pokok mangga yang berada di luar tidak bergoyang.

Namun, sedikit pun tidak menggetarkan Syaffiq. Dia dengan beraninya masuk ke dalam bilik tersebut lalu berdiri di tengah-tengah sambil memerhati kawasan sekeliling.

Walaupun bilik tersebut tidak berpenghuni namun, keadaan bilik tersebut seperti terjaga. Bau bilik tersebut juga harum seperti bau bunga melati. Cuma yang membezakan bilik 317 dengan bilik-bilik lain di kolej ini adalah, bilik ini kosong. Tiada katil, loker mahupun meja belajar. Sengaja dibiarkan kosong atas permintaan makhluk ghaib tersebut.

“Capik, jomlah balik. Kau nak buat apa lama-lama kat sini?” Adha yang sedang menggigil itu sudah tersandar pada daun pintu. Dia tidak tahan dengan ketakutan yang semakin membelenggu dirinya ini. Semakin lama dia berada di sini semakin seram jadinya.

Syaffiq ketawa halus. “Kau ni penakut sangatlah, Ad. Masuk jelah. Mana ada apa-apa pun. Mana ada hantu dalam dunia ni! Semuanya bohong!”

“Kau ni Capik. Jangan berani sangat. Karang kau yang kena baru padan muka!”

“Biarlah! Aku memang nak jumpa sangat penunggu dalam bilik ni! Mana kau, ha?! Keluar! Jumpa depan-depan dengan aku sini! Hoii, keluarlah! Aku tak takut pun! Aku PALAPES! Aku tak takut apa-apa pun dalam dunia ni! Woiiii!”

Syaffiq bagaikan orang gila. Menjerit dan mencabar makhluk ghaib itu. Dia belum kena lagi. Sombong dan bongkaknya bakal memakan diri. Sementara itu, Adha sudah menggeleng lemah. Melihat perilaku sahabatnya itu boleh mengundang amarah makhluk ghaib tersebut.

 

********************

 

ANGIN hangat berhembus kuat dari luar mengejutkan Adha daripada kantuknya. Dia yang sedari tadi menahan kantuk terus sahaja segar sebaik sahaja dia terasa ada angin hangat menyapa pipinya. Saat itu baru dia teringat akan rakannya, Syaffiq. Terus sahaja dia menjerit memanggil nama sahabatnya itu.

“Capik! Capik!”

Laungannya tidak berjawab. Pada waktu itu baru dia sedar yang dia bukannya berada di luar bilik 317 tetapi dia berada di dalam sebuah tandas yang terletak di ground floor.

Macam mana dia boleh berada di situ sedangkan baru sekejap tadi dia terlelap dan pada masa itu dia masih lagi bersandar di luar bilik 317?! Dia bukannya sleep walking!

Enggan melayani perasaan aneh itu, Adha terus berlari keluar dari tandas yang berbau hancing itu dan menuju ke arah tangga. Lampu koridor yang semakin lama semakin malap membuatkan dia bagaikan orang hilang arah. Tangga yang menuju ke tingkat atas dirasakan semakin jauh. Puas dia berlari namun, tidak juga sampai.

Setelah hampir dua minit berlari, dia sampai ke anak tangga. Tangga dipanjat dengan laju tanpa mengira berapa anak tangga sudah dilangkahinya. Keadaan di kolej lelaki itu sungguh gelap dan bagaikan tiada langsung penghuni. Lampu koridor yang pada mulanya terpasang kini terpadam sebaik sahaja Adha melaluinya.

“BERANI KAU MASUK SINI MANUSIA!”

Dari jauh Adha sudah mendengar suara garau datangnya dari bilik 317. Bulu tengkuknya terus sahaja tegak berdiri. Jantungnya berdegup dengan lebih laju lagi. Hanya satu yang dia risau…

“Capik!”

Sebaik sahaja dia sampai di hadapan bilik 317, kelihatan Syaffiq sedang berdiri tegak di tengah-tengah bilik itu sambil bercakap dengan sesuatu yang sedang terapung di udara. Sesuatu tersebut berambut panjang, berpakaian serba putih yang compang-camping dengan kesan tompokan darah sana sini. Wajahnya tidak kelihatan memandangkan ditutupi oleh rambutnya.

Lutut Adha kian lembik. Lidahnya kelu sambil tubuhnya menggigil hebat. “Han… hantu…” Hanya itu yang sempat dia katakan sebelum dia rebah ke lantai.

 

********************

 

DUA hari telah berlalu selepas kejadian Adha pengsan serta Syaffiq berbicara dengan makhluk terapung itu, keadaan kembali seperti biasa. Adha kian pulih selepas diberikan minum air penawar oleh ustaz yang berada di situ. Tiada sesiapa pun yang tahu akan hal tersebut melainkan mereka berdua. Geng PALAPES yang lain tidak mahu ambil tahu memandangkan tinggal mereka sahaja yang menghuni kolej ini selama lima hari akan datang.

Syaffiq pula semakin berubah. Sejak kejadian itu, dia sentiasa bersendirian. Makan, minum serta tidurnya tidak terurus. Setiap malam, pasti dia menghilang. Tidak tahu ke mana arah tujunya. Ada yang mendakwa, pernah terlihat beberapa kali Syaffiq ke tasik berseorangan. Tidak dapat dipastikan tujuannya.

Namun, apabila Adha bertanya Syaffiq hanya diam dan tidak berkata apa-apa. Selepas kejadian itu, Syaffiq lebih banyak mendiamkan diri. Adha ada perasan yang dia bercakap seorang diri di dalam tandas. Adha yakin yang rakannya itu ada menyembunyikan sesuatu tetapi apabila ditanya, Syaffiq hanya diam membisu sahaja.

“Capik. Kau ada cakap dengan siapa-siapa ke kat tandas tadi?”

Diam.

“Capik, kau dengar tak aku cakap ni?”

Masih lagi diam.

“Kau bisu ke pekak?”

Senyap. Sunyi. Tiada perkataan pun yang keluar daripada mulut Syaffiq.

 

********************

 

KEPALA paip dipulas. Air yang keluar ditadah dengan kedua-dua belah tapak tangan. Dibasuh wajahnya yang kotor itu dengan air tadi. Terasa sungguh segar dan damai sebaik sahaja air paip itu menyentuh wajahnya. Sekejapan matanya terpejam sendiri. Cuba merasai kesegaran air setelah seharian berpanas terik di bawah sinar mentari. Inilah nikmat Tuhan yang kita selalu sia-siakan.

Wajahnya diraup seketika sebelum diangkat. Dilihatnya pada biasan cermin wajahnya yang basah itu. Serentak itu bibirnya mengukir senyum. Namun, senyumannya itu mati sebaik sahaja dia menyedari ada makhluk berambut panjang dan berwajah seram turut berada di biasan cermin tersebut.

Cepat-cepat dia berpaling ke belakang namun, makhluk tadi tiada. Matanya kembali memandang cermin di hadapannya, ternyata makhluk tersebut masih lagi ada. Matanya tajam merenung sambil menyeringai.

“SYAFFIQ… MANA NA’EM AKU?”

“Aku tak tahu! Itu bukan urusan aku!”

“BUKAN URUSAN KAU! KAU JANJI DENGAN AKU TIGA HARI TAPI MANA???”

Makhluk tersebut semakin mendekati Syaffiq berdasarkan biasan pada cermin.

“Na’em dah mati! Dia bunuh diri dua tahun lepas! Kau boleh tak jangan ganggu aku?!” ujar Syaffiq kasar sambil menghentak sinki tersebut. Kepala paip dibiarkan terbuka. Airnya laju mencurah-curah mula memenuhi sinki.

Kedengaran makhluk tersebut menderam sebelum berkata-kata lagi. “KAU YANG BUNUH DIA! KAU YANG BUNUH DIA! SEKARANG AKU NAK KAU JADI GALANG GANTINYA!”

“Aku tak tahu apa urusan kau dengan Na’em tapi yang pasti aku tak ada kena-mengena dalam hal ni! Kau boleh pergi sekarang!”

Makhluk tersebut mengilai lagi. “MANUSIA BODOH! AKU LAILA MAJENUN! AKU PENUNGGU TASIK DAN JUGA PENUNGGU BILIK 317! TIADA SIAPA BOLEH HALANG AKU! AKU NAK KAU JADI GALANG GANTINYA!”

Dan makhluk tersebut terus menerkam Syaffiq lalu membawa tubuh Syaffiq hilang ghaib bersamanya…

 

********************

 

SELEPAS kejadian Syaffiq ghaib dibawa makhluk itu, tiada sesiapa pun yang menjumpainya lagi. Puas sudah dicari tetapi menemui jalan buntu. Akhirnya, kes Syaffiq ghaib itu ditutup buat selama-lamanya.

Kes Na’em bunuh diri dua tahun lepas juga ada kaitan dengan Syaffiq. Ada berita mengatakan yang Syaffiq sebenarnya membunuh Na’em. Dia sengaja menggantungkan tubuh Na’em pada kipas dan berpura-pura seperti Na’em membunuh dirinya sendiri. Tidak dapat dipastikan motifnya namun, kehilangannya sedikit sebanyak membuka pekungnya sendiri.

Makhluk yang bernama Laila Majenun itu dikatakan sering mengganggu geng PALAPES yang berkawad dan melakukan aktiviti di situ. Makhluk tersebut sememangnya tidak berpuas hati dengan geng PALAPES yang berada di situ.

Namun, ada ahli baru dalam geng PALAPES menggantikan Syaffiq. Ahli baru tersebut memakai seragam PALAPES serta kadang-kala mengikuti geng PALAPES yang lain berkawad dan melakukan aktiviti tetapi ahli baru mereka itu tiada kaki apabila berada di dalam gambar…

“PALAPES takkanlah takut hantu!”

 

 

 

 

 

 

 

 

Posts created 3

Leave a Reply

Related Posts

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top