Menangislah

Sering kali kita diyakinkan menangis itu sikap orang yang lemah. Benarkah?

Jika benar maka pastinya menangis itu tidak digalakkan di dalam Islam. Tapi, pernah kah kita berjumpa ayat atau larangan dalam Islam yang melarang kita menangis? Tidak bukan?

Islam sememangnya mengajar kita agar tidak menjadi lemah. Hatta, sebagai perempuan yang diakui fitrahnya lebih lembut dari lelaki tidak pernah diajar untuk menjadi lemah. Malah kita diperkenalkan dengan figura-figura hebat yang walau tak pernah disebut fizikal gagah namun mungkin beribu kali ganda lebih ‘kuat’ dari lelaki seperi Sumayyah.

Pokoknya, jika kita telusuri kisah-kisah tauladan dalam Islam belum pernah lagi kita menemui perkaitan antara kekuatan dengan tidak menangis. Jadi mengapa sering sekali masyarakat kita mengaitkan menangis itu sebagai tidak kuat?

Menganggap menangis sebagai lemah adalah satu kesilapan. Bagi ramai manusia, menangis hanyalah satu perlambangan jiwa. Dan kebanyakan mereka sememangnya punya jiwa yang lembut. Jiwa yang lembut bukanlah petanda lemah. Berbeza! Jauh berbeza jiwa yang lembut dan jiwa yang lemah.

Jiwa yang lemah itu tak bisa bangun disaat terjatuh. Jiwa yang lemah itu sekadar berserah dan kaku di tempat yang sama. Jiwa yang lemah terus-terusan menyalahkan orang lain.

Jiwa yang lembut mampu membaca disebalik setiap perlambangan. Jiwa yang lembut mampu merasa derita manusia lain. Jiwa yang lembut mampu bersimpati dan rasa kasihan namun tidak sampai menggadai diri. Jiwa yang lembut adalah jiwa yang insyaallah mahu dan berusaha meletakkan Tuhan dalam hati.

Tapi bukanlah ini tiket untuk menangis sesuka hati. Bukan sebagai sijil halal untuk menangisi perkara duniawi yang terang-terang ditegah. Bercinta bagai nak rak, kemudian kecundang lalu menangis separuh mati.

Ini bukan jiwa lembut. Ini sengaja mencari padah!

Moga saja kita mampu membezakan jiwa yang lembut dengan lemah. Dan moga saja kita mampu menangis untuk perkara yang benar. Bukanlah bermakna menangis itu sentiasa lebih baik tetapi dalam banyak masa tidak ada dosa, kesalahan mahupun kekurangan jika menangis.

Posts created 7

Leave a Reply

Related Posts

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top