Mamihlapinatapai

Maksud Mamihlapinatapai: Menurut definisi dari Internet (dan setelah diterjemahkan kepada bahasa Melayu oleh seorang penulis jalanan separuh masa yang kini berada di usia senja) boleh disimpulkan sebagai “suatu pandangan di antara dua insan, di mana kedua insan ini mengharapkan salah seorang daripada mereka untuk bertindak terhadap sesuatu yang mereka berdua inginkan, tetapi masing-masing tidak mahu memulakan.”

Bukan maksud: Memilih sama ada tapai pulut ataupun tapai ubi untuk dimakan.

Penulis tadi meneruskan analisa beliau di mana perkataan daripada bahasa Yaghan yang hampir pupus di Tierra del Fuego ini adalah perkataan yang paling sukar untuk diterjemahkan oleh para akademik dunia, walaupun dalam realiti, bahasa cinta adalah bahasa yang paling sukar untuk diterjemahkan.

Tekak penulis itu terasa kering dan sudah tiba masanya untuk dia minum kopi di kafe kegemaran di kawasan perumahan pinggir kota X seperti kebiasaannya, setiap hari, kecuali pada hari Sabtu dan Ahad. Pengunjung kafe nanti terlalu ramai dan dia pula seorang claustrophobic yang amat menghargai ruang lapang dan suasana damai. Suasana damai itu hanya boleh dirasai pada hari biasa, semasa waktu orang bekerja sebelum mereka berbondong-bondong keluar untuk lunch. Perfect timing.

Kafe kegemaran si penulis telah dikategorikan sebagai hipster oleh para pengunjung di laman media sosial, tetapi dia hanya datang untuk minum kopi (kalau hari baik, cappuccino atau skinny latte, tapi kalau hari tak berapa baik, espresso double shot) sambil memerhati gelagat di kalangan pekerja kafe dan pengunjung yang datang. Penulis suka mencipta naratif dalam minda untuk orang-orang yang tidak dikenali setiap kali dia berkunjung ke kafe itu sebab manalah tahu, ilham tiba-tiba menerpa dan dia boleh mula berkarya. Dia mengeluarkan buku nota merah kereta bomba tertulis ‘Carpe Diem’ di kulit buku dari beg galas, kemudian meraba-raba pula untuk mencari pen dakwat hitam Pentel EnerGel 1.0. kesayangannya. Dia membuka buku tadi untuk menyambung penulisan. Kalau ada golongan millennial yang sedang memerhatikan dia, sudah tentu mereka labelkan dia seorang psychopath kerana menulis dalam buku nota dengan pen, dan bukan menaip di atas laptop seperti kebanyakkan orang, hanya duduk minum kopi sambil memerhatikan gelagat mereka. Tetapi, golongan itu belum keluar dari pejabat masing-masing jadi dia abaikan sahaja kerana proses penulisan dia memang old school. Old school is cool. Dia tersenyum sinis, dan terus memulakan cerita terbarunya.

Aditya

Kisah ini bermula dengan seorang wanita pra-menopaus yang masih gigih berpaut kepada mimpi-mimpi zaman kegemilangannya ketika dia muda. Sayangnya, hampir kesemua mimpinya tidak tercapai dan dia nekad untuk mengembalikan semula zaman tersebut dengan membuat senarai setiap satu perkara yang harus dia lakukan. (sebelum dia “kick the bucket”, dia mesti tulis bucket list) Di dalam sebuah buku nota yang sentiasa dibawanya bersama, wanita ini meluahkan isi hati kerana dia berjiwa romantik. Perkara yang pertama dan yang penting sekali untuk dirinya ialah untuk menemui seorang lelaki yang akan jatuh cinta dengan dirinya sepenuh jiwa dan raga dan tidak hanya melihat faktor luaran sahaja. Perkara yang pertama ini memang sahih amat rumit kerana tiada manusia, baik lelaki, mahu pun wanita, yang tidak akan mempertimbangkan faktor luaran dahulu sebelum jatuh cinta dengan seseorang. Tetapi, wanita itu percaya, dan percaya itu kuasa yang akan membawa kejayaan dan cinta. Dia tersentak seketika apabila barista kafe tersebut datang membawa cappucino pesanan biasa, berserta senyuman. Dia hanya mengangguk sambil ucap terima kasih dan menulis semula dalam buku notanya.

Emil

Barista lelaki di kafe itu tadi dalam lingkungan umur lewat 20-an berkulit putih melepak (tidak perlu ditempek foundation atau bedak untuk efek 360 darjah seperti dalam telefon pintar) tinggi dan tampan, sedang sibuk menyediakan secawan cappuccino panas pesanan biasa setiap hari daripada seorang pelanggan wanita yang selalu duduk di meja yang sama (meja 11) pada waktu yang sama (antara 11.00 hingga 12.00 tengahari), kecuali hari Sabtu dan Ahad. Wanita itu selalu menulis sesuatu di dalam sebuah buku nota dan akan hanya mengangguk mengucapkan terima kasih semasa cappucinonya dihidangkan. Si barista pula selalu mengabadikan perasaannya untuk wanita tadi melalui coffee art yang menarik dan halus buatannya bersama buih susu skim (atas permintaan wanita tadi) yang berbentuk tulip, heart atau rosetta. Sayangnya, hampir semua karya kopi barista itu tidak mendapat penghargaan yang dia harapkan daripada wanita tersebut, melainkan ucapan terima kasih seperti selalu.

Encik Din

Encik Din, penyelia kafe hipster yang berperut buncit mirip seorang wanita yang sedang mengandung dalam trimester kedua itu selalu memerhatikan tingkah laku anak buahnya yang seringkali mengambil masa lebih semasa membancuh kopi untuk pelanggan meja no 11 (setiap hari, kecuali hari Sabtu dan Ahad). Konsentrasi semasa mencipta coffee art memang sah lebih cantik dan halus daripada biasa untuk pesanan daripada pelanggan tetap kafe itu. Dia juga perasan apabila si Emil itu sedang tunduk sibuk membancuh kopi untuk pelanggan seterusnya, wanita di meja 11 itu akan berhenti menulis seketika untuk memandang tajam ke arah Emil, tanpa berkelip, renungannya mengundang seribu persoalan. Apabila wanita itu tunduk kembali menulis, Emil pula akan merenung dia dengan tajam dan adakalanya, berahi. Encik Din tidak mahu sebarang perkara buruk i.e. skandal berlaku di antara pekerja dan pengunjung kafe kerana kafe ini telah diamanahkan oleh Datin Seri Paduka untuk dijaga dan ditadbir sebaik mungkin oleh dirinya.

Ikmal

Selepas tamat sesi di gim melatih senaman untuk seorang wanita pertengahan umur bergelar Datin Seri Paduka, yang juga merupakan teman peribadi terbaru Ikmal, tekak personal trainer itu dahagakan ice latte di kafe hipster selang dua blok dari gimnasium tempat dia bertugas. Walaupun menjadi penasihat dan pengamal gaya hidup sihat, pengambilan tujuh atau lapan batang rokok sehari sudah menjadi amalan Ikmal yang tidak dapat dibendung. Dia percaya bahawa sedikit hipokrasi itu perlu untuk mempertingkatkan harga diri. Selepas memparkir motosikal berkuasa tinggi miliknya di hadapan kafe, Ikmal terus duduk di meja 13, selang satu meja sahaja berhadapan dengan meja 11. Wanita lanjut usia berpakaian serba hitam itu sentiasa ada. Entah apa yang selalu ditulisnya, kalau dilihat betul-betul, semasa mudanya memang wanita itu hot, tetapi sekarang sudah dimamah usia. Kalau dia ke gim mungkin masih boleh diselamatkan. Wanita itu juga perokok sepertinya tetapi tidak chainsmoke, hanya sebatang dua sambil menulis dan menghirup kopi. Selepas Emil menghantar ice latte kegemaran Ikmal, dia menghirup bancuhan enak lagi sejuk itu dan tekaknya terus lega. Dia perlukan nikotin pula kerana kafein adalah sahabat akrab nikotin. Sambil meraba-raba kocek seluarnya, Ikmal baru teringat kotak rokoknya tertinggal di dalam loker di gim tadi. Dia terus merenung wanita di hadapannya dan mengambil keputusan untuk meminta sebatang rokok kerana dia pasti wanita itu akan anggap permintaan itu biasa daripada seorang perokok yang kehabisan stok. Mungkin juga dia akan bertanya kepada wanita itu samada dia seorang penulis dan jikalau ya, buku jenis apa yang dia tulis.

Aditya

Walaupun dia agak terkejut dengan sapaan Ikmal yang datang secara tiba-tiba, Aditya terus mencapai sebatang rokok dan memberikannya kepada Ikmal. Lelaki itu bertanyakan kenapa nama wanita itu begitu lain bunyinya dan Aditya terpaksa memberikan penjelasan pendek kenapa dia dinamakan sedemikian. Dahulu, arwah datuknya telah ditugaskan ke Myanmar untuk menubuhkan sebuah syarikat bertaraf dwi negara. Jodohnya dengan seorang wanita bernama Aditya tidak kesampaian kerana perbezaan agama dan budaya, jadi nama wanita itu telah diabadikan kepada cucu sulungnya. Ikmal mengangguk tanda faham. Dia tidak sedar yang dia telah duduk semeja dengan wanita itu selama beberapa minit kerana semasa wanita itu bercakap, seakan suatu kuasa telah terpancar daripada sepasang mata wanita itu yang ternyata masih cantik, berwarna coklat cair. Jelas masih ada kesedihan di situ, walaupun semasa wanita itu tersenyum.

Emil

Emil mengelap cawan dan piring porselin yang baru dibasuh dengan kasar, sambil menjeling memerhatikan kelibat Ikmal sedang berbual mesra dengan wanita di meja 11. Hatinya sakit kerana sebagai pekerja di situ, dia tidak digalakkan untuk terlalu mesra dengan mana-mana pelanggan kerana itu polisi syarikat yang perlu dipatuhi bagi mengelakkan sebarang perkara buruk i.e. skandal daripada berlaku. Ketenteraman awam perlu ada untuk meramaikan lagi pengunjung kafe. Tetapi soal hati dan perasaanya tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Emil sekarang berada di antara “what if” dan “fuck it”. Kalau dia tidak cuba berkenalan dengan wanita meja 11 yang sudah lama menjadi igauannya, dia mungkin tidak akan mengenal cinta. Atau patut ke dibiarkan sahaja perasaan yang dia anggap cinta tetapi rupanya bukan. Cuma suatu Freudian slip atau kesalahan memiliki tarikan luarbiasa kepada seorang wanita yang sudah berumur, yang mungkin sebaya dengan ibunya sendiri.

Encik Din

Encik Din agak terkejut melihat Datin Seri Paduka muncul tiba-tiba, berjalan melenggang-lenggok masuk ke kafe, lengkap berpakaian sepersalinan jenama-jenama hebat dari hujung kaki hingga ke hujung rambut yang tidak boleh dia sebut tanpa lidahnya terpintal. Datin Seri Paduka tersenyum manis ke arah Emil dan terus memesan affogato kerana dia perlu mengembalikan kalori yang telah hilang semasa latihan di gim tadi. Dia agak meluat melihat Encik Din dengan perut buncitnya yang seakan mengganggu suasana hipster kafe miliknya itu. Tetapi kerana Encik Din cekap mentadbir, perut buncit itu terpaksa dia abaikan. Giliran Datin Seri Paduka pula terkejut apabila dia ternampak jurulatih peribadinya (dan sudah pun menjadi teman peribadi) sedang merokok nun di meja 11 sambil berbual mesra dengan seorang wanita tua dan hodoh. Dia terus berjalan pantas ke arah mereka untuk mendapatkan kepastian.

Ikmal, Datin Seri Paduka, Emil & Aditya

Ikmal terus mematikan rokoknya apabila tiba-tiba ternampak muka Datin Seri Paduka yang berkerut dan mula menyinga bertanyakan kenapa dia merokok sedangkan dia sepatutnya mengamalkan tabiat hidup sihat. Siapa pula perempuan di sebelah Ikmal itu? Ikmal terus mencapai tangan Datin Seri Paduka dan menariknya ke meja 13 untuk menenangkan hati dan perasaan client termahal di gimnasium kota X sambil cuba menerangkan bahawa dia hanya perokok sosial, dan bukan tegar. Perempuan meja 11 hanya pengunjung biasa yang telah berikan dia sebatang rokok gratis. Di masa yang sama, Emil pula sedang berjalan menuju meja 13 sambil membawa affogato yang dipesan oleh Datin Seri Paduka tadi. Dia sempat menjeling kepada wanita di meja 11 dan kali ini, wanita itu tidak tunduk tetapi merenungnya dengan renungan seribu satu persoalan. Akhirnya, Emil dapat melihat sepasang mata coklat cair terang bersinar yang sedang membuat jantungnya berdegup kencang ketika itu. Terketar-ketar tangannya semasa meletakkan pesanan Datin Seri Paduka sebelum dia berpaling semula kepada wanita di meja 11.

Encik Din, Emil & Aditya

Aditya bangun berdiri dan berjalan menuju tandas wanita di hujung kafe itu. Dia tersenyum sendirian kerana geli hati melihat Ikmal yang kantoi dengan teman wanitanya yang penuh glamour tetapi panas baran tadi. Buat pertama kalinya, Encik Din tersengih kerana wanita meja 11 itu seakan memberikan senyuman kepadanya dan dia pun senyum kembali. Kasihan Encik Din, akhirnya dia dapat rasa kewujudannya dihargai. Setelah berpusing untuk kembali semula ke belakang kaunter, perasaan ingin tahu Emil meluap-luap tiba-tiba kerana wanita meja 11 itu sudah meninggalkan tempat duduk dan sedang ke tandas. Buku nota wanita yang merah warna kereta bomba itu sekarang terbuka, luas, seakan menyeru Emil untuk mengintai dan membaca apa yang tertera di mukasurat buku itu.

Aditya

Senyuman Aditya semakin lebar dan bermakna apabila dia tahu selepas barista kacak yang bernama Emil (tertera di tag nama pada kemeja) itu membawa pesanan untuk teman wanita Ikmal yang glamour tetapi panas baran di meja 13, dia dan aku baru sahaja berkongsi suatu pandangan di mana aku dan dia mahu memulakan sesuatu yang amat kami inginkan, tetapi antara aku dan dia, tidak seorang pun yang mahu memulakan.

Aku yakin Emil akan tertarik untuk pergi ke mejaku dan membaca perenggan pertama aku ini kerana buku notaku sengaja aku buka kerana aku sudah tulis perkataan Mamihlapinatapai sebagai tajuk ceritaku supaya dia akan tahu maksudnya, dan harapanku supaya dia akan memulakan sesuatu…

Posts created 3

Leave a Reply

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top