Maggi Semangkuk


“Maaf, awak.” Hakim berkata lembut.

“Tak apa, awak. Kita duduk makan dulu, ya? Jangan fikir. Dah sejuta kali dah ni awak minta maaf, jangan risau..” Hani membalas.

Hakim tahu didalam hatinya, sejuta maaf lagi tak akan menebus balik apa yang telah berlaku. Mereka duduk berdua didalam satu bilik yang bertilam tidak berkatil, beralas tapi masih terasa lantai simen, dan bercat tapi terlihat memori lama rumah yang disewa itu.

“Awak bila nak sambung cat rumah? Jom kita cat sama-sama..” Hani berkata sambil menghirup sup kari.


Hakim terlalu sayangkan Hani, mustahil dia akan benarkan tangan lembut Hani memegang berus cat dan memanjat sana-sini.

Hakim dan Hani merenung panjang mata masing-masing. Sejuta buah fikiran, cuma diterjemah menjadi hembusan-hembusan nafas yang hampa. Didepan mereka, maggi semangkuk. Dua pek maggi dalam satu mangkuk besar dicampur dengan telur dan sepasang sudu dan garpu untuk mereka.

Sudah genap sebulan mereka duduk dengan maggi semangkuk untuk makan malam, kadangkala ada juga nasi yang dimasak dan dicampur dengan kuah maggi tetapi agak jarang ada masa untuk Hani memasak kerana mereka berdua balik lewat malam dan malam itu hanyalah persinggahan untuk mereka bertemu lagi dengan sang suria.

Hani hanya makan sedikit malam itu, dia terlihat Hakim makan dengan semangat sekali. Lapar agaknya, suara hati Hani berbisik. Hani menyuapkan ke mulutnya yang terakhir untuk malam itu. Hakim juga menghirup kuah yang tinggal dan terus berdiri mencapai kotak dalam poketnya.

“Awak, berhentilah merokok tu, ya? dah hampir 15 tahun awak merokok..” Hani merayu.

Hakim cuma boleh mengangguk dan menahan batuk. Dia bagai hendak mengatakan “Saya akan cuba, sedaya upaya, untuk awak” melalui matanya tetapi dia tahu janji kosongnya itu cuma akan melukakan lagi hati Hani. Hakim berlalu pergi, menghampiri tingkap rumah mereka.

Telefon bimbit Hani berdering dan bergetar. Berat hati dan tangan Hani untuk menjawab panggilan ibunya.

“Ibu? Ya. Semua sihat. Hakim sihat, baby pun sihat. Mak jangan risau..” Hani agak tergesa-gesa.

Apa lagi mampu dicakapnya? Hendak beritahu Hakim kehilangan semua duit simpanan mereka dalam satu “Skim Pelaburan Emas Luar Negara”? Hendak beritahu Hakim dan dirinya sedang berkerja dua syif untuk menampung hutang menyewa rumah dan kereta yang mereka sangka mereka boleh langsaikan bila pelaburan itu mendapat pulangan? Tidak, hanya air mata dalam diam yang mampu membisukan nada kasih dalam suara ibunya.

Hani mengucapkan salam dan berdiri untuk membasuh pinggan.

“Ah, bil air.. Belum bayar lagi nampaknya..” Kata Hani apabila hanya beberapa titik air jatuh dari paip sinki rumahnya.

Hani meletakkan di tepi mangkuk itu dan mendekati Hakim. Hakim sudah mencapai batang rokok yang ketiga.

“Saya stress, awak. Sungguh.” Hakim terus bersuara tatkala melihat bayang Hani di sebelah.

“Simpanlah rokok tu.” Hani menjawab dengan nada tegas.

“Simpanan separuh habis semua di majlis kahwin, separuh lagi dalam skim bodoh tu.” Hakim marahkan dirinya sendiri.

Hani menenangkan Hakim dengan mengusap belakangnya. Dengan menahan air mata, Hani mengajak Hakim untuk berehat. Hani enggan lagi melihat batang-batang rokok di rumah bersepah di atas meja ruang tamu. Kalau ikutkan hati Hani, memang dibuangnya kotak-kotak rokok Hakim. Entah bagaimana kotaknya lain, rokok-rokok didalamnya lain jenis. Takkan Hakim meminta-minta dan mengumpul rokok untuk dihisap? Adakah Hakim mencampurkan sendiri tembakau untuk dijamah? Hani memberhentikan perjalanan akalnya. Hani risau. Hakim suka ambil risiko.

Masuk bulan kedua, Hani kurang berkongsi. Dia cuma duduk berdiam diri. Hakim perasan Hani banyak menulis dan mencatit, entah apa, dia tidak bertanya. Rutin tidak berubah. Hakim, Hani, maggi semangkuk, rokok, dan kepenatan. Yang penting kali ini, bil air sudah langsai.

Bulan keempat, Hani berkongsi satu idea bersama Hakim. Hakim mengangguk dan tersenyum. Katanya, Hani sudah cukup modal untuk memulakan perniagaan. Hani hendak membuka gerai ditepi jalan dihadapan rumah. Senang, dan Hani sudah mula berfikir tentang segumpal daging di bawah perutnya tapi tidak sesaat pun terlihat di mata Hakim. Hani bersembunyi.

“OK, saya berhenti satu kerja, tolong awak. Tapi ni kena jadi, tahu?” Hakim tersenyum dan memeluk Hani.

Dalam kekurangan, yang tinggal dalam hati mereka adalah kepercayaan. Itu sahaja yang mereka perlukan.

Hakim melihat Hani dan terlupa akan batang kanser berasapnya pada malam itu.

Bulan kesembilan: 

“Nak tiga mangkuk!” terdengar jeritan.

Hani berpeluh-peluh menyiapkan semangkuk mee, itu pelanggan yang seratus lima puluh pada hari itu, tapi Hani tidak sedar. Hani cuma memikirkan tentang mangkuknya. Gerai tepi jalan Hani sudah empat kali kenaikan harga tetapi masih tidak mempunyai nama dan pelanggan cuma makin lama makin ramai, begitu juga pekerja yang menolong Hani.

Tapi bukan Hakim, Hakim tiada disisi isterinya hari itu tetapi setiap nafas Hani bagai ingin memanggilnya. Belakang tapak tangan Hani masih terasa kulit Hakim memimpinnya mencampurkan bahan-bahan mentah.
Masuk tahun kedua, rumah sudah beralas dengan karpet dari Turki, dinding-dinding dihiasi kertas berwarna emas dan perabot semuanya kayu berkilat.

Kedai Mee Semangkuk Hani laris. Ada sesuatu tentang perkongsian satu mangkuk besar yang menarik minat orang dari setiap satu telunjuk kompas. Satu meja kecil dan panjang, atau satu meja yang bulat untuk keluarga. Sama-sama berkongsi, sama-sama bergelak ketawa. Semangkuk.

Semuanya lengkap, yang tidak ada cuma Hakim yang pergi meninggalkan Hani dan Irfan kerana kanser paru-paru yang meragut teman malam Hani dan yang tinggal sekarang cuma maggi semangkuk bercampur rempah air mata.

– tamat –
He spends waaaaaaaaay too much time on this, but he finds joy in nothing else. Go easy on him.
Posts created 731

16 thoughts on “Maggi Semangkuk

Leave a Reply

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top
%d bloggers like this: