langit telah runtuh

Lelaki di awal 40-an berkopiah lusuh mengangkat tangan menyapa si orang tua apabila motosikalnya melintasi beranda rumah separuh kayu separuh batu bercat biru itu. Si orang tua membalasnya. Juga dengan senyuman. Walaupun separuh wajah lelaki berkopiah itu terlindung di balik kain yang dijadikan pelitup muka, orang-orang pasti tahu yang dia sedang tersenyum lebar dan mesra.

Si orang tua kembali ‘memberi makan’ pokok-pokoknya dengan kulit telur yang dijadikan baja. Di luar beranda rumahnya itu ada beberapa jenis tumbuhan seperti daun kunyit, daun kari dan cili padi yang ditanamnya di dalam pasu. Senang orang rumahnya nak memasak.

Lama juga si orang tua tak berjumpa dengan si bilal kampung bersuara hebat itu kerana sudah tidak ke surau. Lelaki berkopiah itu ada saja di surau, lima waktu sehari menjalankan tugasnya. Seruan azannya hanya disambut di rumah saja. Hanya ahli surau yang dibenarkan berjemaah, sekadar untuk memenuhi fardhu kifayah di samping mengutamakan maqasid syariah.

Sepasang mata yang kelihatan hampir tenggelam, terperosok ke dalam soket matanya yang cekung itu beralih pandang dari pokok cilinya ke arah jalan yang riuh rendah. Mata redup dengan garis-garis usia yang jelas itu asyik melihat anak-anak bermain di jalan. Mereka saling berkejaran. Tawa mereka sesekali meledak. Orang tua ikut tersenyum. Azam, yang selalu mengisi masa dengan membantu ibunya berjualan kuih, juga ada ikut bermain.

Si orang tua menggulung selembar rokok daun dengan sedikit tembakau. Sebatang mancis digesek pada kotaknya. Apinya diacu pada hujung rokok yang bergantung di antara bibirnya yang gelap. Asap kecil mula mengapung ke udara pagi.

Kulitnya yang gelap, kasar, berkedut dengan bintik-bintik pigmentasi akibat terlalu lama berjemur di bawah terik mentari sejak muda itu membuatkan dia kelihatan lebih tua dari usianya. Apapun, matahari dan langit cerah adalah temannya.

Langit pagi itu nampak biru dan aman.

Sudah dua minggu semenjak gerai-gerai pacak tidak dibenarkan berniaga. Tiada lagi teriak Azam, anak Bedah, ibu tunggal yang berniaga nasi lemak di simpang jalan itu memecah subuh di setinggan ini. Semua servis dan premis perniagaan di seluruh negara ditutup melainkan yang benar-benar perlu. Jadi, anak-anak sekolah ini betul-betul menikmati cuti. Mereka masih belum bosan bermain nampaknya. Cuti sekolah yang panjang. Cuti yang tidak siapa tahu bila akan diumumkan berakhir. Kerana rumah mereka yang hanya terpisah sebatang jalan, dia dapat melihat wajah si Bedah yang sugul di muka pintu. Pasti susah hati mengenangkan mata pencarian yang dikambus si korona padahal masih banyak tanggungan.

Nyawa, perut, nyawa perut.

Nyawa atau perut mana dulu yang putus?

Asap rokok dihembus. Berkepul. Orang tua itu terbatuk-batuk. Dia memegang dadanya yang tidak beralas itu. Dadanya sedikit ketat, dua tiga hari ini. Entah kenapa. Apa mungkin dia sudah patut kurang-kurangkan tabiat merokok.

Anak-anak kecil itu sedang ligat bermain ting-ting pula, di atas laman kecil yang sekadar cukup untuk tapak-tapak kaki kecil itu melompat dan menapak. Para penguasa belum datang meronda lagi, kalau tak habis budak-budak ini dihambat untuk masuk ke rumah-rumah yang sempit itu. Rokok daun itu sudah tinggal separuh. Kopi o kosong yang sudah sejuk diteguk. Tak ada rasa.

Melodi halus dari petikan gitar menangkap perhatian si orang tua.

Anak bujang si Rahim sedang bersidai di luar rumah dengan kawan-kawannya. Si bongsu sedang tekun membasuh motor kapcai cabuk yang tetap saja terlihat kusam itu untuk membiarkan masa berlalu. Harga minyak murah tapi tak dapat nak meronda kampung. Mati kutulah budak-budak itu tak dapat merambu.
Mamat, si ‘artis’ kampung setinggan itulah yang sedang memetik gitar kapoknya sambil menyanyikan lagu jiwang yang tidak dikenal si orang tua. Bersedih tak dapat jumpa mata air agaknya.

Masih santai juga melepak di luar rumah budak-budak ini. Padahal di televisyen sudah berbuih pak menteri menyuruh untuk duduk di rumah. Dah orang kata jangan berkumpul.
Nanti orang-orang miskin ini juga yang dikata tak faham bahasa. Para penguasa dengan topeng muka dan seragam pun dah dua tiga hari istiqomah menghalau orang-orang yang masih berkeliar di luar rumah.

Memanglah. Rumah sekangkang kera dengan paling kurang lima enam orang isi rumah itu bukan tempat yang paling selesa untuk berhimpit setiap masa. Privasi itu adalah kemewahan yang mereka tak mampu. Anak-anak ini hanya mahu bernafas.

Mereka itu duduk di deret-deret buah setinggan di tengah bandar, yang menunggu hari diambil kerajaan. Kalaupun nanti rumah buruk tempat si orang tua berteduh diambil kerajaan untuk dimajukan, harapnya dia dan isteri sudah tiada keperluan untuk berumah lagi ketika itu.
Anak-anaknya ada, tapi orang tua itu tidak berharap kepada duit anak-anak yang juga makan gaji. Biaya makan, pakai, tinggal di bandar bukannya murah. Anak-anaknya juga seperti dia, bekerja keras untuk mencukupkan keperluan.

Suara Mamat yang lirih itu jadi bersaing dengan suara pemberita di televisyen yang sedang ditonton orang rumahnya. Hari ini tiada terdengar hingar jiran sebelah bertekak laki bini. Bagus juga kalau aman sekali sekala. Dia tak suka nak ambil tahu hal tepi kain orang lain, tapi bak kata pepatah orang putih, dinding pun ada telinga. Apatah lagi kalau dinding nipis dan dekat.

Bergaung. Jadi ketahuan juga. Orang tua itu mengerling paparan nombor sambil mematikan rokoknya yang sedikit tersisa. Banyak juga kes hari ini.
Bilalah bala ini nak habis.

Si tua itu menyandar badan pada kerusi rotan. Dia sama sahaja dengan orang kebanyakan yang terkesan dengan perintah kerajaan yang menyekat pergerakan ini. Itulah dirinya; orang kebanyakan. Pada hari-hari biasa dia adalah seorang merdeka yang tak pernah berharap kepada sesiapa, melainkan kepada Tuhan yang maha Esa. Kini, mana mungkin dia dapat mencari nafkahnya di hari-hari kebebasan bukan lagi suatu keistimewaan untuk semua?

Dengan tulang empat keratnya yang sudah tak sekuat dulu, dia masih boleh memangkas pokok. Pokok-pokok yang dijaganya sentiasa sihat dan indah menyapa mata yang memandang. Seindah hati si orang tua itu yang tak mengeluh tentang kemewahan dunia yang belum pernah dijamahnya. Walau dunia sudah tidak lagi berlapang dada dengan dengan kecukupan, itu bukan halnya buat si orang tua. Kerana dia telah dikurnia Tuhan dengan kemewahan hati, syukur pada segala apa yang diberi dan juga aman pada apa yang tidak dikurnia Tuhan.
Syukur badan sihat, syukur tidak sendiri, syukur dapat melihat langit hari ini.

Bantuan daripada pemerintah dapatlah membantu dia dan orang rumah untuk tempoh tak terjangka ini. Seribu ringgit untuk sebulan itu bukanlah jumlah yang terlalu banyak. Tapi, masih banyak berbanding gaji hari-harinya bekerja di rumah orang kaya itu. Digaji murah untuk memenuhi keperluan harian yang tidak murah. Tiada kerja, tiada gaji. Kerana duit, ada yang menjadi tuan. Kerana duit ada yang menjadi budak. Dan dia adalah budak yang semakin dimamah usia.

Sedang orang yang berduit pun mengeluh tak dapat berkerja apatah lagi mereka orang-orang yang tak berduit ini?

Nasib adalah kesunyian masing-masing,1 dia berkongsi sentimen ini dengan pemuisi Indonesia, Chairil Anwar. Tidak mengeluh, hanya menyatakan kebenaran pada hidup.
Mana mungkin dia boleh lama-lama berehat, kan masih ada mulut dan perut yang perlu diisi.
Tapi, dia juga tahu kalau dia keluar, dan pulang ke rumah dengan penyakit durjana itu, bahkan akan menambah malang. Dia tidaklah pandai, tapi dia faham si korona itu jahat dan tak mengenal tua atau muda, kaya atau miskin, alim atau jahil. Tiada diskriminasi dan toleransi. Tiada pilih-pilih bulu seperti manusia. Menakutkan.

“ Bang, saya dah siap memasak ni.”

Si orang tua menyahut panggilan isterinya. Nasi yang masih berwap disenduknya ke dalam dua pinggan. Makan bersila di depan televisyen. Paling aman. Isterinya menghidang lauk paling mudah, tapi kalau bertambah nasi paling kurang dua kali. Ikan caru goreng, air asam dan ulam raja hasil tanamannya. Panas-panas.

Bismillah. Ketukan pintu dan salam menghentikan orang tua di pertengahan bacaan doanya. Dia cepat-cepat menghabiskan doanya. Amin. Orang rumahnya mengangkat kening bertanya. Belum ada jiran yang suka-suka berkunjung musim-musim ini.

“ Orang hantar bantuan agaknya.”

“Wa’alaikumsalam.” Pintu yang berselak ala kadar dibuka. “ Encik Ya’akob bin Selamat?” Lelaki yang langsung tak dikenalnya itu bertanya.
“Iya saya encik.”. “ Saya Ahmad, pegawai kesihatan dari hospital besar. Pak cik kenal Encik Kamarul?” Lelaki yang berselubung dengan baju seperti baju hujan itu bertanya.

Orang tua itu merasa kacau. “ Iya, itu majikan saya. Kenapa encik? ” Dadanya terasa sendat.

“Minta maaf pak cik. Encik Kamarul sudah disahkan positif Covid-19, dan pak cik adalah salah seorang kontak rapat……

Tiada sepatah perkataan dari lelaki itu yang didengarnya selepas itu.
Matanya jatuh pada orang rumahnya dan makanan yang belum sempat dijamah.

Langit telah runtuh di bahunya.

f.h

for wake me up when this is over/gtlf 2020

Posts created 50

Leave a Reply

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top