kamu yang tak pasti

Masa lalu tidak boleh diubah. Titik. ‘Kalau’ sepatutnya tidak perlu digunakan untuk hal-hal yang sudah berlalu kerana ia membuang waktu dan memuruk kesal. ‘Kalau’ adahal kebarangkalian yang seharusnya dihidupkan maka gunakan ia sebaiknya untuk menciptakan keadaan yang lebih baik. ‘Kalau’ seharusnya menjadi cerminan usaha bukan kata-kata kesal percuma.

Dalam kehidupan yang tidak boleh diputar saat atau detik adalah suatu pembaziran untuk mengesali sejarah yang tak mungkin diubah. Adalah lebih bijak dan selayaknya kita belajar darinya dan menghidupkan masa kini yang kita punya dan merancang masa depan dengan kalau bukan galau. Masa hadapan adalah ketidakpastian. Adakah kita masih ada untuk melihatnya? Adakah kita mampu menikmatinya kelak, bersama?

Dan dalam secebis kehidupan yang singkat, kau adalah kalau. Dan aku yang mengimpikan kepastian pada hal-hal yang boleh aku usahakan. Kalau kau dan aku mahu kekal dalam hari depan yang sama, kita boleh untuk usahakan. Kita punya masa dan kita punya cinta. Tapi kalau engkau adalah jiwa yang tak pasti, bagaimana aku mampu untuk menghambat jiwamu yang ragu?

Aku tak mahu berlaku tidak adil kepada seorang engkau. Untuk berada dalam masa hadapan yang sama, kita perlu dua jiwa yang  kepingin menghidupkan hari itu. Tunggu, kalau tak jemu. Usaha, kalau kau mahu.

Pilih aku tapi jangan dilepaskan hal-hal yang kau perlu dan memaknakanmu.

Kita bisa jadi kebarangkalian kerana kita sama-sama berusaha ke arahnya atau kita boleh jadi sekadar kalau dan kekesalan.

Masa hadapan adalah kalau yang boleh kita usahakan.

Sekurangnya, jangan letakkan aku dalam relung ketidakpastianmu.

f.h

Posts created 51

Leave a Reply

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top