jumpa lagi

Satu lagi.

Satu lagi yang mati.

Bunuh diri.

Bunuh. Diri.

Sekeping duit berwarna hijau dihulur kepada apek tauke kedai, harga untuk senaskhah akhbar dan setin pepsi. Bakinya yang beberapa sen itu tidak diambil. Dia mengangkat muka dari ruangan hiburan yang dibacanya dan mengangguk sebagai tanda bahasa yang paling mudah; terima kasih dan saya pergi dulu, jumpa lagi. Apek itu membalas dengan senyum paling lebar hingga menampakkan lekuk di pipinya yang cekung, kepada pelanggan setianya itu. Lelaki dengan rambut panjang yang diikat kemas itu melipat akhbar yang dibacanya sambil berjalan. Sekadar dikepit di bawah ketiak. Dia berjalan ke sebuah kedai menjual barang-barang untuk memperbaiki rumah di hujung jalan, sederet dengan kedai runcit apek tua itu. Dia memang selalu ke sana. Boleh kata dalam seminggu paling kurang mesti sekali dia akan ke sana.

Minggu lepas dia ke sana membeli barang-barang untuk memperbaiki paip di rumah. Beli kepala paip, gam, kunci getah paip dan lain-lain. Hari ini, sebenarnya dia tidak ada tujuan.

Dia melintas jalan dengan tenang selepas sebuah Kancil merah dan sebuah Persona melepasinya. Tak banyak kereta hari ini. Tin pepsi dibuka. Air soda sejuk itu diteguk rakus. Hari sudah menginjak tengah hari, badan dah mula berlengas. Apatah lagi dia memakai baju-T berlengan panjang, di tengah hari buta ini.

Kedai ini bukanlah terlalu dekat dengan kawasan perumahannya. Dia ada sebab kenapa dia selalu ke sana. Rambut bahagian depannya yang terjuntai dikemaskan kembali ke tempatnya. Kulitnya yang cerah itu kelihatan merah-merah kerana berpanas. Tin pepsi yang telah kosong dicampak ke sebuah tong sampah di tepi premis itu. Dia tidak terus masuk ke kedai itu. Dia menjengah kepala sekadar meninjau, memandang sekilas ke bahagian kaunter.

Entah mengapakah hatiku bergetaran, bila bertemu lagi oh kekasih lama..” Suara jantan Aris Ariwatan yang melagukan intro Lamunan Terhenti berkumandang di pembesar suara premis itu.

Tak ada. Dia tak ada.

Peluh yang sudah mula bermanik di dahinya dikesat dengan hujung baju.

Dia tahu kalau orang yang dicarinya itu tidak pernah cuti pada hari Sabtu. Dia selalu ke sana pada setiap hari Sabtu dan orang itu tidak pernah tidak ada.

Jangan-jangan.

Dia cuba membuang bayangan gila yang dah mula bermain di fikirannya sekarang. Tak mungkin. Mungkin hari ini dia tidak bertugas sebagai juruwang. Dia menapak masuk ke dalam premis yang berpendingin hawa itu.

Angin sejuk yang menerpa badan itu serta-merta menyegarkan batang tubuhnya. Tapi tidak hatinya. Tidak sehingga dia dapat melihat sosok yang dicari-carinya. Dia tidak mahu terlihat terlalu mencurigakan, walaupun matanya yang selalu tenang itu nampak sedikit terdesak. Dia berjalan di bahagian skru-skru sambil matanya meliar melihat orang-orang yang berseragam hijau dengan seluar hitam.

Tak ada.

Dia bergerak ke lorong berus cat dan varnis apabila seorang pak cik dengan wajah bengis melihat-lihat di tempat dia berdiri. Dia melihat jam di tangan kiri. Pukul 12.30 tengah hari. Mungkin sekarang adalah gilirannya untuk pergi makan tengah hari. Dia boleh tunggu sejam lagi.

***********

Lelaki itu mencapai sebuah kotak mentol di rak paling hujung kedai itu. Dia pasti orang yang dicarinya itu tidak ada hari itu. Dalam hati dia berdoa supaya orang itu masih ada. Di hari esok, esok dan esoknya.

Dia berjalan ke arah kaunter untuk membayar mentol yang tak diperlunya. Mungkin nanti-nanti ada gunanya. Kaunter baru sudah dibuka. Rezeki dia tidak perlu menunggu. Dia menunduk mengambil akhbarnya yang terjatuh ketika dia membuka dompet. Pekerja itu juga  sedikit menunduk mengambil plastik.

“ Tak apa. Tak apa.. tak payah..”

Dia cepat-cepat menghentikan pekerja itu.

Lelaki itu menghulur not bewarna jingga. Mata mereka bertatapan.

Dia. Bibir nipis lelaki itu tanpa sedar mengukir senyum. “ Lapan belas ringgit, lapan puluh sen.” Pekerja itu mengulang harga dalam bahasa Melayu yang sedikit kelakar, tapi boleh difahami.

Dia mengerling pergelangan tangan pekerja Myanmar yang terdedah itu. Pekerja itu mengambil wang kertas yang dihulurnya dan laju-laju membalikkan baki setelah nilai duit dimasukkan ke dalam sistem.

“ Terima kasih.” Lelaki bermata sedikit sepet itu memulangkan bakinya dengan mata yang sedikit bercahaya dari hari-hari selalu. Wajahnya yang selalu terlihat keruh itu nampak kemerahan dan hidup.

Pergelangan lelaki itu dilihat sekilas. Ada lilitan benang berwarna merah di tangannya, yang sebelum ini dia pasti tidak pernah ada. Mungkin ia adalah harapannya.  Dia tidak sedar yang sekali lagi dia sedang tersenyum. Senyum lega. Dia mengambil baki dan mentolnya. Dia mengangkat tangan sambil mengucapkan terima kasih. Jumpa lagi.

Syukur. Hujung lengan baju-Tnya yang sedikit terangkat itu ditutup. Di sebalik tali jam tangannya itu ada dua bekas torehan panjang yang sudah semakin pudar.
Lega. Dia lega kesan torehan yang dia pernah nampak di lengan lelaki bermata sepet itu tidak bertambah.

Akhbar berisi berita orang bunuh diri itu dia campak ke dalam tong sampah.

Semua orang akan mati. Tiada berkecuali.
Tapi biarlah bukan oleh tangan dan keterdesakan diri sendiri.

Dia pernah menginginkan mati. Tapi, tidak lagi.

Dia harap lelaki itu juga begitu. Dia berdoa untuk di dunia ini, tiada lagi orang yang ingin menghentikan nafas sendiri.

********

Harapan. Harapan adalah sesuatu yang kita tak nampak dengan mata kasar, ianya semacam entah semangat atau perasaan atau tenaga atau cahaya yang buat orang-orang tetap berjalan walau kaki mereka sebenarnya sudah sangat penat.

Harapan yang buat orang-orang tetap berkerja walau gajinya tak seberapa, berharap keadaan ini adalah sementara, nanti juga akan dapat kerja yang lebih baik. Atau kerana saja kita perlu terus tetap hidup untuk punya harapan yang lain. Harapan aku yang sedang menulis ini hanyalah supaya tulisan ini akan berakhir dengan baik, maka aku tetap menulis hingga aku menemui tempat yang paling bermakna untuk aku letakkan noktah terakhir. Aku selalu jadi berfikir, mungkin orang-orang yang mengambil nyawa mereka sendiri itu, sudah hilang punca. Sudah hilang harapan. Atau mungkin mereka bukan hilang harapan, tapi hilang sabar. Seperti semua perkara yang dijadikan berpasang-pasangan, harapan juga perlu pada pasangan. Banyak orang yang putus harapan kerana sudah tidak sabar. Tapi orang yang hilang sabar selalunya hanya akan marah-marah. Yang lebih menakutkan tentang mereka yang putus harapan ini, mereka sudah tidak marah. Mereka tersenyum, ketawa, dan menangis seperti kita.

Mungkin mereka tidak pernah didengari. Mungkin mereka sudah berjalan ke satu-satunya harapan mereka dengan sangat taat sehingga mereka menjadi begitu lelah dan marah. Akhirnya memutuskan sudah tidak ada harapan lagi di hujung jalan itu.

Aku berharap aku tidak akan lagi membaca berita tentang orang bunuh diri. Walaupun tiada satu pun orang-orang ini yang aku kenal, aku tetap merasa sedih atas pemergian mereka. Sebetulnya, aku patah hati. Patah hati untuk mereka dan orang yang berada di sekeliling mereka. Kerana di dunia yang sebesar ini, mereka tidak menjumpakan walau sedikit harapan pun untuk tetap bertahan. Mereka tidak semestinya orang-orang yang kalah. Mungkin sebenarnya mereka hanya orang-orang yang kita gagalkan.

Kita hanya ditinggalkan dengan satu persoalan.

Kenapa?

f.h

 

 

 

Posts created 51

Leave a Reply

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top