jebat dan tuah

Dunia ibarat sebuah pentas lakon. Maka, ada antara kita yang akan menjadi pemain di atas pentas berhias itu dan tidak boleh tidak pasti akan dikritik, atau boleh jadi dilambung puji puji. Dan untuk selebihnya, kita duduk di kerusi penonton, memerhati, menghayati drama yang tersaji. Realitinya, sebaik mana pun kau berseni di atas pentas, pasti akan ada yang tidak memberi ulasan yang terbaik untuk hasil lakonanmu hanya kerana genre cerita itu bukan termasuk dalam kesukaan mereka. Buat yang betul-betul menghargai dan menghayati cerita atau sekadar fanatik pada pelakon wayang yang elok rupa, bintang tetap diberi tanda puas hati.

Maaf, sedikit panjang metaforaku yang entah kena entah tidak ini. Mudahnya, setiap drama ada seni yang cuba ditonjolkan dan kerana seni sifatnya berdimensi maka tak semua memandangnya melalui sisi mutlak yang sama. Begitu juga dengan pendapat yang berbentuk pandangan (bukan pendapat akademik tentunya yang bersandar fakta dan kajian). Ianya tidak bersifat mutlak, bahkan relatif mengikut acuan si pemikir yang berbeza latar belakang pelajaran, kecenderungan falsafah pemikiran, pengalaman dan pendedahan terhadap sisi kehidupan yang berkenaan. Usai menonton, boleh untuk sedikit lantang dalam memberi kritikan yang membina, tapi harus tahu bila untuk berhenti berlaung agar tidak pula melumpuhkan. Tak perlu terlalu larut dan taksub. Bersederhana saja. Dan untuk sang pelakun, jangan biar pendapat terlalu merasukimu. Pendapat harus kekal menjadi pandangan. Pendapat bukan fakta. Ambil yang baik dan membangun, manakala yang terlalu mematahkanmu jangan di simpan di dalam hati.

Mestinya, tidak salah berpendapat. Setidaknya itu tanda vital yang organ pengawal utama masih taat bekerja. Tapi malang sekali kalau semakin diasah minda semakin menumpul pula.

Pada akhirnya, mana-mana watak dan cerita yang dipentas pasti akan mengundang siulan. Seperti hikayat masyhur Tuah & Jebat, akan ada yang berhaluan Tuahlah yang benar tapi akan ada juga yang berhaluan ‘kiri’ dan berpendapat Jebat bukanlah penderhaka, tapi saudara yang setia. Dan setiap dari pendapat ini tidak juga menidakkan pendapat yang lain, semuanya tergantung pendirian dan sisi yang yang melihatnya. Persoalannya, adakah dunia ini perlu terbahagi antara orang yang mendukung Tuah, sang laksamana yang menamatkan riwayat saudara dengan Tamingsarinya atau orang yang menyebelah Jebat si penderhaka raja? Atau mungkin lebih baik kita biarkan sahaja Jebat dan Tuah kekal sebagai watak dalam sebuah hikayat agung walau kita di pihak yang mana-mana.

Santai. Berpendapatlah sekadar dan seperlunya, tidak semua perkara dalam kehidupan ini butuh dua kupang dari kita si para penonton. Tinggalkan pandangan-pandangan yang tidak menambah nilai atau membantu situasi kerana ia merugikan, masa dan neuron otak.

Berkata yang baik atau diam, menulis yang baik atau log keluar, kita boleh mengubahnya.

f.h

Posts created 51

Leave a Reply

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top