Harun Rivelino

Izham Ismail

Nama aku Harun. Harun Rivelino.

Aku suka makan popiah. Hari aku tak ngam kalau tak makan popiah. Pernah sekali kawan-kawan aku panggil aku Harun Popiah. Aku gertak bunuh keluarga dia orang kalau panggil aku Harun Popiah. Biasalah budak sekolah rendah, gertak sikit dah kecut telur.

Biasalah budak sekolah rendah, bunuh keluarga pun boleh buat main.

Nama aku Harun. Harun Rivelino.

Aku nak jadi pembuat popiah terkemuka dunia. Aku mahu seni pembuatan popiah di abadikan. Kalau boleh, aku mahu popiah jadi warisan dunia. Pernah aku senyap-senyap kumpul duit supaya boleh beli tiket ke Fujian, tempat popiah dilahirkan. Aku ikat perut, RM1.50 yang Abah bagi tiap-tiap hari aku simpan elok-elok dalam kotak videotape. Aku label ‘Misi Fujian’.

Belum sampai lima ringgit, Farhan goda aku. Berlagak sungguh dengan kad-kad Pokemon baru dia. Paling aku tak tahan, dia siap beli topi merah-putih dan half-glove macam Ash Ketchum. Farhan selalu buat aku jealous. Nama abah dia Datuk Yunus Ahmad, anak kepada Tan Sri Ahmad Hashim yang terkenal dengan perniagaan rempah dan buah-buahan di Gombak. Abah aku Encik Zakaria Zain.

Aku tegas, aku ada misi perlu diselesaikan. Jadi aku buat-buat buta bila Farhan lalu depan aku masa main rounders petang-petang.

Hasilnya, dengan RM94.50, aku yakin aku akan ke Fujian. Aku hampa. Tiket ke Fujian sangat mahal – dan aku memerlukan passport untuk ke sana.

Nama aku Harun. Harun Rivelino.

Ini semua salah Abah. Abah memang hati batu, sampai bergaduh dengan Atuk sebab nama aku. Atuk tegas dengan nama Harun Idris, dengan harapan bila aku besar nanti, aku jadi macam Harun Idris, tokoh politik kegemarannya itu. Abah cerita Atuk pengikut setia Harun Idris walaupun seinci tanah pun dia tak pernah dapat.

Atuk kagum dengan semangat Harun Idris – pemuda Melayu contoh, katanya. Atuk sedih Harun Idris dipecat dari UMNO. Orang kata dia salahguna kuasa dan duit rakyat, Atuk tak pernah percaya. Pak Ngah selalu gaduh dengan Atuk sebab benda ini. Mungkin sebab itu Pak Ngah selalu tak balik kampung masa Hari Raya. Rugi lah, anak Pak Ngah si Hayati tu cun melecun, terlepas peluang mengendap dia tukar baju raya.

Abah pula memang minat Roberto Rivelino. Hero bolasepak Brazil yang terkenal dengan skill dan rembatan pisang yang sampai sekarang Abah tak boleh buat. Abah simpan misai sebiji macam Roberto Rivelino. Dia mahu tiru rambut sekali, tapi Mummy tak bagi, it’s too much katanya. Farhan selalu ejek aku sebab rumah aku penuh poster Roberto Rivelino, tak macam rumah dia yang penuh arca dan lukisan-lukisan pra-Renaissance yang dibeli ketika keluarganya melancong di Itali.

Paling aku ingat, Abah perdaya aku, katanya nak bawa aku tengok Power Rangers on Ice, sekali dia paksa aku main bola, supaya aku boleh main macam Roberto Rivelino. Aku mengadu pada Mummy. Mummy dan Abah bertengkar di meja makan. Abah tak mahu bertengkar depan aku. Dia ajak Mummy masuk bilik. Masalah selesai. Aku respect Abah, dia kata dia ada ‘magic’ untuk settlekan masalah dia dengan Mummy.

Atuk dan Abah bertengkar setiap kali nama aku dipanggil.

Rivelino! Idris! Rivelino! Idris!

Atuk ugut Abah guna tanah pusaka. Abah tersentak. Passion dia pada Roberto Rivelino diuji dan dipermainkan. Abah kata tidak. Namaku tetap Harun Rivelino, bakal pengganti Mokhtar Dahari. Aku akan membesar dengan skill rembatan pisang, seperti yang dibuat Roberto Rivelino pada Piala Dunia 1970 menentang Mexico, yang membawa Brazil ke final.

Atuk kesal Harun Idris tiada pewaris. Atuk kesal tiada siapa yang akan memperjuangkan ketuanan Melayu. Atuk kesal semangat Harun Idris akan lenyap. Atuk kesal masa depan bangsanya akan terus dipermainkan. Atuk kesal.

Aku membesar dan Abah tiada seekar pun tanah pusaka. Aku membesar dan Atuk ada lebihan tanah pusaka.

Dewasa aku bagi Abah ialah Roberto Rivelino. Dewasa aku bagi Atuk ialah Harun Idris.

Nama aku Harun. Harun Rivelino.

Aku baru pulang dari Fujian. Membawa rempah dan resipi asli untuk di-revolusikan. Aku mahu dunia tahu aku akan bawa pembaharuan pada popiah.

Ketumbar, timun, udang halus, bawang putih, lobak, kacang, telur, sos cili dan lada sulah ditemukan dan dibungkus dengan tepung gandum. Sos istimewa disapukan dan kacang yang ditumbuk halus diratakan. Magic.

Goi Seng Hui terpaku bila dia mencuba popiah aku. Ditanya bagaimana aku buat popiah sesedap ini, aku menjawab kasual, aku ada magic. Dua minggu kemudian, dia bayar tiket aku ke Singapura untuk tandatangan surat perlantikan aku sebagai pemegang saham Tee Yih Jia, syarikat pembuat popiah terbesar dunia.

Esoknya sepasukan wartawan dari kolum perniagaan akhbar Guardian terbang dari Farringdon Road, London untuk menebual aku, dan tak semena-mena, aku kini bergelar The Next Popiah King.

Nama aku Harun. Harun Rivelino.

Hari ini Hari Raya. Hayati kini seorang model, anggun mengenakan baju kebaya. Lebih manis bila dia menuangkan teh dan menghidangkan kuih dan popiahku pada tetamu. Farhan kini seorang arkitek, dan sedang cuba masuk line dengan Hayati. Dia ada BMW Z4 M Roadster untuk memikat. Pasti tiada masalah. Pak Ngah excited bakal dapat menantu kaya-raya.

Atuk dan Abah juga sudah berbaik-baik dan tidak bercakaran lagi.

Semua orang gembira di Hari Raya. Popiah magic karyaku jadi saksi.

Nama aku Harun. Harun Rivelino.

Aku mahu minta maaf pada Abah kerana aku tidak cukup skill untuk jadi Roberto Rivelino.

Aku mahu minta maaf pada Atuk kerana aku tidak cukup berani untuk jadi Harun Idris.

Aku harap mereka suka popiah magic aku. Kerana aku hanya tahu membuat popiah, dan popiah sahaja yang mampu aku tinggalkan.

Selamat tinggal Abah. Selamat tinggal Atuk. Moga ketemu di lain alam.

Nama aku Harun. Harun Rivelino.

Posts created 17

2 thoughts on “Harun Rivelino

Leave a Reply

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top
%d bloggers like this: