gerhana

1994: 3.04 am

Petir yang sabung menyabung menakutkan si bayi kecil di atas pangkuan empuk ibunya. Nita membiarkan jari-jari si kecil menggenggam kelingkingnya seperti tempat pergantungan hidup. Melindunginya daripada mendengar selain bunyian petir di atas kerana ada guruh lain yang lebih kejam di bawah.

Ferhad memulas tombol pintu perlahan. Dia tergesa-gesa melangkah masuk ke dalam bilik sebelum menutup pintu kemas. “Nita, maafkan Ferhad lambat. Anggun baik?”

“Anggun ketakutan. Ferhad lambat.” ucap Nita sedikit kesal.

Dua bungkus makanan diletakkan di atas meja. Ferhad senyum pada rajuk juwitanya, berharap dia diizin Tuhan untuk merasa bahagia atas itu. Dia mendekati Nita dari belakang dan menyikat rambut isterinya dengan jemari kasarnya. “Atan ada beri Ferhad tugas tadi.” beritahu Ferhad.

Tiba-tiba Anggun menangis dengan mata tertutup. Nita dapat merasakan lingkaran jari Anggun yang menyimpul mati seperti tali. “Adakah Ferhad tahu, kata-kata Ferhad tadi lebih menakutkan daripada laungan petir di atas atap rumbia ini.” Air mata Nita yang mengalir berkocak tenang.

Ferhad memangku wajah Nita dengan kedua telapak tangannya dan melihat satu lohong kedukaan di dalam mata redup itu. “Ferhad lakukan ini demi Nita dan Anggun.” Dia menatap pula wajah si kecil yang tersenyum padanya bagaikan pelangi selepas hujan. “Tolong sampaikan pada Anggun di usia bunga mekar, bahagia itu bentuknya seperti dia. Aku melihatnya kecil seperti bintang, namun senyumannya mampu memancar ke dalam hidupku sejauh dua kota.”

Nita mengangguk perlahan. “Sebelum Ferhad pergi, menarilah dengan Nita dan Anggun. Nita ingin dengarkan padanya detak jantung kita ketika bersama.”

Ferhad menadah air mata isterinya yang semakin lebat. “Tapi bukankah Nita suka jika kita dapat menari di khalayak umum.”

Nita memaksakan senyum di bibir. “Bukankah dinding-dinding ini juga menyaksikan dan berkongsi rasa. Setiap malam Nita akan mendengar mereka melantunkan bicara rindu yang sama.” kata Nita. Dia mengangkat punggungnya daripada lantai yang beralaskan cadar nipis. Sebelah tangannya memegang Anggun erat.

Ferhad turut bangun dan langkah kakinya dihayun menuju ke arah radio lama di sudut kamar. Dia memasukkan sebuah kaset lagu dan suara Broery Marantika mengisi ruang di antara dinding-dinding yang memeluk mereka.

 

Ketika pertama ku jumpa denganmu

                                    bukankah pernah ku tanyakan padamu kasih

                                    takkan kecewakah kau pada diriku

                                    takkan menyesalkah kau hidup denganku nanti

                 

                 

 

 

                  Tanpa berkata apa-apa, Ferhad merangkul pinggang Nita bersama Anggun digendongan. Bagaikan satu, langkah mereka sehaluan mengejar rentak lagu. “Sepertinya hujan menyemburui kita Nita.” kata Ferhad. Nita memandang suaminya bingung. “Tapi Ferhad, bukankah hujan sudah semakin reda.” balas Nita. Ferhad kembali berkata, “Cemburu tanda sayang, bukan?” Nita tersenyum. “Adakala Ferhad sangat susah untuk Nita fahami. Tapi, senda seperti inilah yang akan Nita bawa tidur bersama di malam-malam dingin tanpa Ferhad disisi.” bisik Nita halus di telinga Ferhad.

 

Memang kau bukan yang pertama bagiku

                                    pernah satu hati mengisi hidupku dulu

                                    dan kini semua kau katakan padaku huuu

                                    jangan ada dusta di antara kita kasih

 

Ferhad mencium ubun-ubun Nita lama. Lalu dia mengucup kedua belah pipi Anggun. “Ferhad takut untuk menabur janji pada Nita. Suatu masa dulu, ada insan pernah melarang. Katanya berjanji itu seperti menelan paku.”

Nita mengelus lembut pipi Ferhad. “Ferhad tidak perlu berjanji apa-apa. Nita akan setia menunggu selama dua purnama sehingga Ferhad kembali.”

“Dua purnama pun belum tentu Ferhad pulang, sayang.”

“Nita hargai kejujuran Ferhad. Tapi janganlah Ferhad bimbang kerana dua purnama itu letaknya pada Anggun. Melihatnya tumbuh, aku pasti segala penantianku nanti akan berhujung bahagia. Sepertimana Ferhad meletakkan bahagia itu padanya.”

 

Semua terserah padamu aku begini adanya

                                    ku hormati keputusanmu apapun yang akan kau katakan (kau katakan)

                                    sebelum terlanjur kita jauh melangkah, kau katakan saja

                                    Dan katakan padaku

                                    jangan ada dusta di antara kita

 

Suara Broery dan Dewi Yull tidak kedengaran lagi selepas itu. Langkah kaki mereka turut terhenti. Begitu juga, sentuhan Nita dan Ferhad masih tidak lepas daripada satu sama lain. Hanya suara angin yang mengambil alih ruang di antara mereka dan mungkin juga kematian. Ternyata dinding yang berbicara itu wujud. Mereka seakan-akan mendengar suara asing mengadu tentang beratnya perpisahan dan beban rindu di sebalik kamar itu.

Dahi bertemu dahi, Nita dapat melihat melalui pandangan kaburnya, ada segunung sesalan di dalam mata Ferhad. Dia juga melihat satu kebenaran yang sedang lari menyembunyikan diri. Simpan Nita. Kau tak perlu tahu. Bisik hatinya. “Bila Ferhad akan pergi?” tanya Nita.

“Lepas subuh Ferhad akan berangkat.”

Nita memeluk Anggun semakin erat dan dekat dengannya. “Ferhad…” seru Nita perlahan. Air matanya kembali bertakung.

“Ya sayang…”

“Ferhad. Nita akan merindui nama itu.”

“Nita dan Anggun. Ferhad juga akan merindui dua nama itu.” Ferhad menghadiahkan sebuah senyuman paling manis untuk isterinya. “Ferhad akan pastikan ada surat-surat yang diutus buat Nita.”

Air mata Ferhad tumpah jua.

“Jangan kejutkan Nita jika Ferhad hendak pergi. Ketika pagi datang, tarian ini bakal menjadi mimpi indah tentangmu.”

 


 

6.30 am

Buat Nita,

Langkah kakiku saat ini terasa begitu berat kerana hatiku penuh dengan kau. Cinta dan rinduku ini aku timbang pada awan-awan di langit. Dan seperti hujan yang jatuh pada tanah, aku turut jatuh lagi dan lagi padamu. Usahlah kau takut akan cerah dan gelap. Aku yakin suatu saat mentari dan bulan akan bertemu.

Buat sementara, aku titipkan kau dan Anggun pada Tuhan. Doa itu wujudnya seperti jambatan gantung yang kukuh. Aku berharap doa dan ingatanku ini dapat menyelimutkan kehangatan pada tubuh-tubuh yang kucintai.

Mengertilah sayang, tugasku ini terpaksa aku sorok simpankan di bawah lidah yang kelu. Biarlah rahsia. Iramanya tidak asing lagi seperti lagu kegemaranmu.

Nita, kau bukanlah bunga yang kupetik dan kubiar layu. Kau adalah sumpahan abadi yang mengunci hati.

 

Aku yang selalu merindu,

Ferhad

 


 

2019: 3.04 pm

Gadis berkurung kuning terjun ke dalam sungai yang dalam. Membasahkan seluruh tubuh dari hujung rambut ke hujung kaki. Lalu dia memanjat batu berkembar dan bersidai di bawah matahari terik, sebelum sinaran terang itu bertukar gelap dan semakin gelap. Wajahnya mendongak melihat sebuah pertemuan. Matanya bersinar seperti mentari yang terbit di waktu pagi.

Tiba-tiba gadis itu mendengar derap kaki yang berhati-hati mengorak langkah di belakangnya. Satu suara asing menyapa, “Nak. Nama kamu siapa?”

Gadis itu menoleh pada insan yang bertanya. Dia tersenyum saat mengenali seraut wajah itu.

“Nama saya Anggun.”

 

 

good girl stays at home kindaaa
Posts created 3

Leave a Reply

Related Posts

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top