Gelap

Aku menoleh ke belakang. Cuba mencari sumber bunyi ketawa tadi. Hatiku betambah gusar mendengar bunyi ketawa yang bagaikan menyindir itu. Mataku pula terasa pedih cuba mencari arah dalam kegelapan.

“ Siapa tu?” aku cuba bertanya. Mungkin pemilik suara tadi boleh menbantu aku keluar dari tempat gelap ini. Aku cuba menyemai keyakinan walau aku tahu harapannya tipis.

Bunyi ketawa itu bergema lagi. Aku menjerit sekuat hati melepaskan rasa geram. Sungguh, aku putus asa mencari jalan dalam kegelapan ini dan aku jelik dengan suara yang terus ketawa tanpa mempedulikan pertanyaan aku tadi.

“kau sudah lupa pada aku?” suara itu bertanya. Kali ini gelak tawanya sudah hilang. Nada suaranya cukup garang membuatkan aku sedikit takut.

Aku menggeleng namun bila menyedari yang aku kini berada di satu tempat yang cukup gelap aku menjawab soalannya. “ siapa? Aku betul-betul tidak tahu.”

“ betul kau tak tak ingat?” suara itu kembali bertanya. Nadanya cukup garang.

Aku cuba mengamati suara itu. Akhirnya satu bayangan wajah muncul di mindaku. Dari seorang anak muda  dengan wajah keanak-anakkan dan tutur kata yang lembut berganti perlahan-lahan dengan wajah yang tidak terurus. Keceriaan di wajah itu juga hilang dan berganti dengan riak bengis.

“ Shah?”

Diam. Aku pasti jawapan aku betul.

“apa yang kau buat di sini? Di mana kita sekarang? Kau boleh tolong aku keluar Shah? Kenapa tempat ni terlampau gelap?” bertubi-tubi soalan aku tanyakan. Kini aku amat-amat berharap Shah dapat membantu aku walau aku tahu Shah kini bukan seperti saat mula-mula aku mengenalinya.

Shah ketawa. “ tolong kau keluar? Kenapa mesti aku tolong kau? Aku patut ucapkan selamat datang kepada kau. Akhirnya kau juga jejakkan kaki ke dunia aku yang gelap ini. Dunia yang dulu kau caci.”

“ apa maksud kau, Shah?” aku cuba mendapatkan penerangan.

“Kau lupa? Dulu kau hina aku kerana kesilapan aku. Kau kata, kalau iman aku kuat aku takkan jatuh ke dunia gelap ini. Kau biarkan aku sendiri dan tak berusaha bawa aku keluar dari sini sedangkan kau orang yang paling rapat dengan aku. Sekarang aku dah sebati dengan kegelapan ini. Aku sudah tak percaya pada orang-orang seperti kau untuk tolong aku. Kau orang yang mementingkan diri. Sanggup lihat saudara seagama terperangkap di tempat gelap seperti ini. Sanggup biar mereka hilang arah. Kau bangga dengan amalan dan ilmu kau hingga kau lupa kalau Tuhan pusingkan hati kurang dari sehela nafas kau akan berada di tempat yang sama macam aku. Nah, sekarang kau sudah pun rasa apa yang aku rasa! Ini baru seksa terperangkap dalam kegelapan. Kau belum lagi merasa seksanya bila dihina orang. Sebentar lagi kau akan rasa bagaimana rasanya bila diejek kerana terjatuh ke tempat gelap ini.” Ketawa Shah berdekah-dekah sebelum akhirnya hilang.

Aku kini tinggal sendiri kembali di bilik gelap ini. Sungguh, aku tidak mampu lagi mencari jalan keluar. Nafas aku terasa sempit. Suara-suara mengejek yang dikatakan Shah mula menyapa telingaku. Ah, mungkin benar kata Shah! Aku juga akan terperangkap di sini. Aku sudah berputus asa mencari jalan keluar. Aku cuma mampu berharap akan ada yang menghulurkan tangan menarik aku keluar.

 

Posts created 7

Leave a Reply

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top