garis mula

Dunia seakan senyap tentang kewujudan garis mula. Seringkali dunia berlaku kejam kerana memandang serong realiti garis mula seakan ianya hanya alasan mudah orang-orang yang malas berusaha. Hahah. Aku tergelak kecil dengan berat sebelah dunia. Malas. Mudah juga menjustifikasi. Mungkin kerana menjustifikasi lebih mudah daripada untuk merubah pokok pangkal permasalahan yang berakar rumbi dalam kehidupan kebanyakan.

Garis mula itu wujud. Garis mula tak pernah sama. Mana mungkin orang yang bermula dengan sudu emas akan sama dengan orang yang dilahirkan bersudu tembaga. Mungkin perjalanan yang harus ditempuh sama jaraknya, misalannya 10 km. Yang mengayuh basikal mungkin perlu sejam atau lebih untuk sampai ke destinasinya, yang menempuh jarak 10 km dengan berkereta mungkin sekadar mengambil paling lama 25 minit untuk sampai ke tempat tujuan. Jarak perjalanan yang sama, tempoh masa dan lelah yang berbeza.

Tiada siapa yang boleh memilih garis mula mereka, tapi kita sentiasa diberi pilihan bagaimana kita mahu mengolahnya.

Aku tak mahu membanding usaha, kerana usaha itu milik semua tapi itu tidak juga menggelapkan realiti pahit akan kewujudan garis mula yang kurang bertuah untuk sesetengah kita. Akan ada orang yang sentiasa bekerja lebih keras dari semua, tapi hanya mampu beratap rumbia sehingga ke akhir nafasnya. Akan sentiasa ada orang-orang tua yang bertangan kekar dengan urat-urat tua hijau yang kelihatan di balik kedut tangannya memangkas pokok untuk rezeki di hari tua selagi nafas masih ada. Seumur hidup dihabiskan dengan kerja kuat kerana garis mula tidak begitu menyebelahinya. Jalan yang dilaluinya lebih sukar.

Tak mungkin aku mempersoal takdir yang ditetapkan yang maha bijaksana (moga tuhan memelihara aku dari dosa ini) sedang aku juga hanyalah insan kecil yang berharap agar usaha-usaha yang aku kerahkan dari tempat aku bermula akan membuahkan hasil. Intinya, berlaku baiklah sesama manusia. Jangan terlalu berkeras kerana kita lebih di atas. Mungkin hikmah tuhan menjadikan kita bersuku-suku dan berbangsa-bangsa yang berbeda latar belakang dan garis mula agar kita dapat saling menghulur dan menerima. Dunia tidak sepatutnya tempat kau dengan megah berkata “itu bukan masalah saya” hanya kerana kau tak faham yang ada antara kita yang garis mula dan perjalanan hidupnya tak sebaik kita.

Hiduplah selayaknya manusia.
Selayaknya kita sebagai hamba.
Berusaha sehabis baik walau di manapun kita bermula.
Usaha memungkinkan segalanya.
Mengalirlah seperti air sungai, jangan bertakung bagai lopak hujan.
Apa ada dengan garis mula?
Sedang bagaimana pengakhirannya yang diambilkira?

f.h (3/12/19)
Indera Mahkota

Posts created 23

Leave a Reply

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top