DOSA.

Hati aku mula rasa tidak senang. Sudah sejam berlalu, tetapi kelibat isteriku dan anakku tidak kelihatan sejak keluar rumah untuk ke kedai. Walhal kedai terdekat hanya 5 minit dari rumah. Hari mula senja dan kebanyakan orang yang kami jemput sudah menunggu di ruang makan untuk majlis makan malam kami sempena ulangtahun anak kami.

“Adakah dia bawa Aishah lari kerana dalam diam masih marah dengan aku?” desis kecil hatiku apabila mengenang balik dosa aku kepada isteriku.
Beberapa bulan lepas, aku curangi dia dengan rakan sepejabat aku. Hubungan intim itu berjalan selama nak dekat enam bulan. Namun, apabila dikantoikan oleh kawan baik aku, reaksi isteri aku tenang, seolah-olah dia tak kisah langsung pasal hubungan tu. Tetapi, aku memang tak boleh nafi bahawa hubungan kami sebagai suami isteri mula renggang sejak hari itu.
Aku cuba berprasangka baik dan memujuk hatiku. Manalah tahu kalau kedai Samad tu kehabisan ais. Aku cek balik mesej-mesej Whatsapp yang aku hantar. Satu tick semuanya. Cubaan aku untuk call dia pun hanya dibalas dengan voicemail.
Ketika aku cuba untuk call dia buat kali kesepuluh, ada tangan lembut menyapa bahuku, membuat aku tersedak. Aku pusing dan bertentang mata dengan ibuku, ekspresi mukanya penuh dengan kebimbangan. “Mama rasa tak sedap hati. Alan carilah isteri Alan, biar Mama layan tetamu.” Aku akur dengan cadangan ibu. Aku memeluk dan cium pipinya sebagai tanda terima kasih dan meminta diri.

 

Tidak ingin membazir sesaat lagi, aku pecut ke kedai Samad. Adrenalin mengalir di setiap inci badanku. Dari jauh aku nampak Samad tutup kedainya dan mula berjalan ke arah rumahnya. Aku memanggil namanya tanpa melambatkan langkahku.

“Alan! Kau dah kenapa lari-lari time maghrib ni? Buat terkejut aku je!” petah lelaki tersebut, dahinya berkerut melihat aku.

“Ada nampak isteri dengan anak aku tak? Dah sejam dah ni diorang tak balik-balik. Katanya pergi kedai kau”

“Memang dia singgah kedai aku tadi. Dia beli gula-gula dan mainan dari kedai aku. Lepas tu…….” Muka samad tetiba pucat, matanya terbeliak menunjukkan panik.

“Tapi apa, Samad?!” Kesabaran aku mula tipis. Ish, orang tua ni! Aku tengah panik dia boleh buat dramatic pause? Dia fikir aku nak bersinetron ke sekarang? “Tapi apa?!” aku ulang soalan aku dengan nada yang lebih tegas.

“Tapi, dia ada cakap kat Aishah nak bawa dia mandi sungai.”

Aku memandang jam aku, jarum pendek tepat pada angka 7. Adakah isteri aku sudah gila sampai nak bawa anak aku mandi sungai waktu macam ni? Air sudah semestinya deras, terlalu bahaya untuk anak sekecil Aishah yang hanya berumur 4 tahun. Bermacam kemungkinan lintasi fikiran aku, hati aku semakin gelisah. Kerana mengasihani keadaan aku, Samad tawarkan pertolongan dan ajak aku tumpang motor dia.

Tiba di Sungai Riba, aku dengan Samad terus bersama-sama bekerjasama dalam misi mencari anak aku. Setengah jam telah berlalu, namun usaha kami tidak membuahkan hasil. Aku menggigil kesejukan. Aku dapat merasakan badanku mula penat, tenaga aku semakin lemah. Suara kami memanggil-manggil nama Aishah juga mula ditenggelami suara-suara hutan. Bunyi cengkerik dan burung hantu di sekeliling kami makin kuat. Air sungai yang deras juga menyukarkan usaha kami. Harapan aku mula tipis, hari juga sudah gelap. Kebarangkalian untuk berjaya dalam pencarian kita apabila menjelang malam tidak banyak. Namun, sebaik sahaja aku mula melangkah kaki untuk pulang, kain berwarna merah yang terapung di permukaan air menangkap mata aku.
Tanpa berkata banyak, aku lari ke arah kain tersebut bersama Samad yang mengikut rapat di belakang aku sambil menyuluhkan jalan dengan flashlight fonnya. Hati aku hancur apabila melihat anak aku dalam pelukan erat isteri aku di dasar air. Satu tangan isteriku yang dikalungkan cincin nikah kami diletak erat di tengkuk kecil anak aku.

Mata Aishah terbeliak dan mulutnya ternganga. Manakala, dengan mata tertutup, wajah isteriku dihiasi dengan senyuman sinis yang seolah-olah mengejek aku. Kulit mereka putih, pucat tanpa darah mengalir. Lutut aku rebah ke lantai sungai. Tanpa hiraukan baju aku basah, aku melepaskan Aishah dari genggaman maut isteri aku. Aku memeluk erat jasadnya, membisik seribu maaf di telinga. Air mata mengalir tanpa henti apabila menyedari bahawa dosa aku telah menyebabkan aku kehilangan satu-satunya cahaya mata aku. Aku baringkan anak aku di pinggir sungai, menutup matanya dan mulutnya agar jasadnya nampak lebih tenang. Aku cium dahinya buat kali terakhir sambil mengusap rambutnya. Sesungguhnya aku takkan pernah memaafkan diri aku.

Samad berjalan ke luar hutan untuk mencari signal fon untuk hubungi polis. Apabila suara seraknya semakin sayup didengar, aku alihkan perhatian aku dekat isteri aku. Wajahnya masih mengenakan senyuman sinisnya. “Dasar perempuan tak guna!” aku jerit sekuat hati. Perasaan marah mengambil alih badan aku sehingga aku hilang kawalan, seolah-olah aku dirasuk. Sedar-sedar, aku tendang mukanya secara bertubi-tubi, melepaskan geram terhadap jasadnya sehingga air jernih sungai itu mula bertukar ke warna merah. Aku bangga dengan kerja aku. Senyuman dia sudah tiada.

Samad kemudian tarik aku kebelakang dan menampar aku dengan kuat. “Astaghfirullahalazim Shazlan! Bawa bersabar! Jangan jadi macam orang gila!”

“Mana tak gila kalau dah kena macamni, Samad.” Ekspresi mukanya berubah dari marah ke simpati. Tak lama kemudian, dinding pokok-pokok dihiasi dengan lampu merah biru.

“Encik Shazlan, saya Inspektor Rahim. Sila ikut saya ke pejabat polis. Kami ingin tanya Encik beberapa soalan.”

Penulis

sbrnmrzk
Lost in a daze.

Leave a Reply