Ding!

“Teh ais satu, bang. Bungkus.”

Dari luar, tampaknya hujan masih rakus menghempas tanah. Sudah tibanya musim tengkujuh. Sesekali ditekup kedua-dua tangannya rapat ke mulut, satu hembusan dilepaskan untuk menghangatkan tangan yang semakin kesejukkan. Hujan yang semakin lebat di petang hari melarutkan fikiran Azura.

Ah! Sudah enam bulan rupanya. Tanpa dapat dikerah, perakam mindanya kembali mengenang memori persekolahannya. Tercarik senyuman halus di sungging bibirnya. Indah.

Ding!

Bunyi loceng halus kedengaran, mengembalikannya ke meja nombor 13, Restoran Rasa Tomyam. Satu notifikasi Facebook terpapar di skrin telefon pintarnya yang diletakkan bersahaja di atas meja kayu beralas plastic kuning berkotak itu.

Today’s Awin Ismail birthday. Wish her a happy birthday now.

Seulas senyum terlukis di wajahnya. Telefonnya diraih, dibuka aplikasi Whatsapp. Satu status dimuatnaik Azura. Berharap agar ianya dibaca Awin.

“Happy Birthday. Moga yang baik-baik sahaja untuk kamu.”

***

Sensasi dingin tiba-tiba terasa begitu mencengkam derianya.

“Kak. Kak. Teh aisnya siap.”

Setelah menyedari akan kehadiran abang pelayan dek kerana disuanya bungkusan air ke tangan Azura, segera dia bangun, disambut minuman pesanannya dan not seringgit lima puluh sen bertukar tangan.

Seusainya urusan urus jualnya, derap kakinya yang baru cuma setapak dua terhenti. Matanya memandang sekumpulan gadis sebaya umurnya. Cukup kenal sekali akan mereka semua. Segera dia memusingkan badan, bimbang disedari mereka.

Azura melangkah menjauh daripada kumpulan tersebut, menapak dia ke arah keretanya yang terparkir sedari 15 minit yang lalu. Hujan yang sudah mula merenyai bukan lagi kerunsingannya. Hajatnya yang utama agar keberadaannya di situ tidak diketahui sesiapa.

Enam bulan dah berlalu semenjak Azura mula mengasingkan diri daripada sahabat-sahabatnya, didiamkan diri hatta daripada sahabat baiknya. Segala panggilan telefon, mesej bahkan pesanan di media sosial pun tiada dibalas. Dibiarkan saja, dirinya dicari orang sambil berharap mereka akan penat dan berhenti. Sebab dan alasannya biarlah dia sendiri yang tahu, tiada hasratnya untuk dikongsi kepada umum.

“Best of luck, girls. I’m so proud, that each of you did so well in your life. I’m truly happy for you.”
Azura berkata di bawah nafasnya. Gembiranya dia melihat bagaimana rakan-rakan seperjuangan di alam persekolahan mereka dulu telah begitu banyak berubah, menjadi orang-orang berpelajaran dan bijaksana.

“Kenapa tidak sampaikan ucapan itu terus di hadapan kami?” Satu suara menyentaknya.

Seraya itu, dia berpusing ke belakang. Benar tekaannya.

“Awin.”

Memang rezeki Awin bertemu di lot parkir kereta ini. Awalnya dia kesal kerana terpaksa pulang ke kereta mengambil dompet yang tertinggal. Rupanya jodoh yang dirancang Allah lagi sempurna.

“Mengapa kau hilangkan diri begitu sahaja? Kami mencarimu, menelefonmu, meninggalkan pesan pada ibumu, satu pun tiada jawapan yang pasti. Marahkah kau pada kami sehingga sebegininya kau menghukum kami?” Ada getar dalam kata-kata Awin. Entahkan geram, entahkan kecewa.

“Tiada salah kamu semua padaku. Aku cuma sibuk, dan sedang berehat, seperti pernah kutulis dulu. Oh ya, selamat hari lahir Awin. Kita sudah sebaya sekarang.” Azura cuba bermadah-madah.

“Bagaimana keadaan…”

Belum habis soalannya, Awin menerpa kepada Azura, dirangkul kuat rakannya yang begitu lama menghilangkan diri.

“Dirimu?” Azura menghabiskan soalannya dalam rangkulan Awin. Dihalang hatinya daripada lembut, ditahan air matanya daripada berbening.

“Mengapa ditinggalkan kami? Kembalilah, Azura. Lupakah dikau akan persahabatan kita?”

Meskipun berat hatinya, dilepaskan rangkulan Awin dari dirinya. Dipandang wajah rakannya yang sama-sama menuntut ilmu di sekolah, sama-sama memimpin badan pelajar, sama-sama menuang kelas itu, diseka air mata Awin yang terbit dari tubir mata budarnya.

Azura menggapai tangan Awin, diusap lembut sebelum berkata,

“Kita sudah jauh membesar, dan berubah. Hidup kita juga sudah berbeza laluannya, Awin. Dari itu, ku berharap kalian meneruskan hidup kalian, akan ku selalu doakan yang terbaik untuk kamu semua.”

Seusai kata-katanya, Azura mengenggam erat tangan Awin kali terakhirnya, sebelum dileraikan.
Tapi tidak dibenarkan Awin.

“Janganlah kau pergi. Paling tidak pun, temuilah mereka semua dulu. Ayuhlah.” Awin merayu.

Azura cuma menggeleng.

“MANA PERGINYA AZURA YANG SETIA PADA SAHABATNYA DULU?” keras suara Awin kali ini.

“Aku yang dihadapanmu, bukan lagi diriku yang kau kenali lima tahun dulu. Sampaikan salamku pada mereka ya.”

Diberikan senyum manis kepada Awin sambil kejapan kemas genggaman Awin dilepaskan.

Azura masuk ke perut kereta dan pintunya ditutup. Enjin dihidupkan, setelah linangan jernih di wajahnya diseka, dengan pantas keretanya meluncur laju meninggalkan Awin di situ dan juga, sahabat-sahabatnya yang lain, tanpa mereka sedari.

***

Moga yang baik-baik sahaja buat kalian. “Cuti” ini tidak ku tahu entah berapa lamanya, harapanku moga kalian gembira selalu – Azura.

Posts created 1

Leave a Reply

Related Posts

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top