Cerita di Pasar Seni

Dataran di Gerbang Pasar Seni hari itu seperti biasa. Sibuk dan padat dengan manusia berbilang bangsa dan warganegara. Sebut sahaja negaranya. Bangladesh? Myanmar? Semua ada di sini pada hari ini. Pelancong juga tidak terkira ramainya, walaupun sebenarnya melihat kelibat pelancong di Pasar Seni bukanlah perkara ganjil.

Pasar Seni, atau nama popularnya Central Market merupakan salah satu tarikan pelancongan bagi mereka yang mengunjungi Kuala Lumpur. Bangunan yang terletak di Jalan Tun Tan Cheng Lock itu ditubuhkan pada tahun 1888 dan merupakan hab bagi insan-insan mengetengahkan minat seni mereka kepada khayalak ramai. Di sinilah seniman tanah air seperti Pyanhabib Rahman dan Khalid Salleh mula bertapak sebelum mereka meneroka arus perdana. Bukan setakat menyanyi dan berpuisi, para artis juga giat merealisasikan gambaran minda mereka di atas kanvas putih menjadi karya agung.
Seorang anak muda, yang lahirnya dan membesar tanpa mengenali insan-insan hebat tersebut, leka memetik gitarnya mengikut irama lagu Pagi Yang Gelap dendangan Hujan. Orang ramai yang lalu lalang tidak menghiraukan figuranya yang tegak berdiri di tengah tengah dataran Pasar Seni itu. Beg gitarnya dingangakan luas terbentang di hadapan, untuk dicampakkan wang barang seringgit dua oleh insan yang bermurah hati. Baginya bukanlah duit menjadi keutamaan, tapi kepuasan menghiburkan khayalak sekitar, walaupun adakalanya dia terpaksa mengikat perut.

Usai mendendangkan lagu itu, dia meletakkan gitar di tepi bangkunya. Gitar berjenama C.F. Martin itu merupakan pemberian datuknya semasa umurnya baru sepuluh tahun. Kematian ibu bapanya dalam satu kemalangan jalan raya menyebabkan datuk yang mesra dia panggil Atuk itu mengambil alih tugas menjadi penjaganya. Atuklah yang mendidik dan mengasuh dia semenjak itu. Skil bermain gitar juga diajar oleh Atuk. Gelarannya Haji, tapi sebut sahaja apa jenis lagu, semua boleh dimainkan. Pernah dia tanya dari mana Atuk belajar memetik gitar tapi dia tidak menjawab. “Ilmu tu seperti hujan. Hanya perlu tadah kalau mahu,” balasnya pendek.

“Bila awak besar nanti, awak jadilah orang yang jujur. Tak kaya tak apa, asalkan hati jujur,” kata Atuk suatu petang. Mereka sedang duduk di pangkin di halaman rumah Atuk, menikmati susanana petang. Angin sepoi-sepoi bahasa meniup sayu ke wajah mereka.

“Tapi kalau kaya dan jujur, bagaimana?” tanyanya kembali. Pada umur sepuluh tahun, perasaan ingin tahu itu amat membuak dalam dirinya.

“Itu bonus. Tapi godaan untuk menjadi tak jujur itu lebih kuat bila kita sudah kaya.”

“Sebab?”

“Bila kaya, akan timbul satu perasaan tak puas. Apa yang kita peroleh, tak memuaskan hati kita. Mahukan harta yang lebih banyak lagi. Itu mendorong kita mengambil hak orang lain. Biar miskin, asalkan jujur. Tuhan sayangkan orang jujur. Ingat pesan atuk ini.”
Pesanan yang sentiasa tersemat dalam ruang ingatan otaknya.

Kini sudah empat tahun dia berkelana ke Kuala Lumpur. Empat tahun jugalah semenjak pemergian Atuk mengadap Ilahi. Dia mengambil keputusan untuk berhijrah ke kotaraya ini, kotaraya yang langsung tidak pernah dijejakkan kaki sepanjang hayatnya di atas muka bumi ini.

Tinggal di dalam rumah Atuk tanpa kehadirannya dirasakan amat perit untuk ditanggung. Geran rumah dikoyakkan dan cebisan-cebisan kertas berharga itu dibuang ke dalam sungai, dibawa arus ke hilir. Dia tidak mahu saudara-maranya mengambil alih hak pemilikan rumah itu. Entah apa jadi pada rumah pusaka itu sekarang. Biarlah kenangan dia dan Atuk bersemadi di dalamnya.

“Assalamualaikum.” Suara keras seorang lelaki memecahkan lamunan anak muda itu. Terpinga-pinga, dia kembali ke realiti.

“Waalaikumsalam.” Seorang lelaki berpakaian seragam pihak berkuasa tempatan berdiri terpacak di hadapannya. Lelaki itu berada dalam pertengahan umur, secara rambang dia meneka. Sambil mengukir senyuman, dia mengajukan soalan. “Boleh saya bantu?”

Ekspresi wajah lelaki itu pegun. Seperti sebuah patung mannequin yang sememangnya akan sentiasa static ekspresinya. Anak muda itu menjeling ke arah tanda nama lelaki itu. ‘Izham’.

“Ada permit persembahan?” suara lelaki berpakaian seragam lebih keras daripada tadi.
“Tak ada, encik. Lagipun saya dah menyanyi di sini empat tahun, tak pernah pun orang beritahu kena ada permit,” jawabnya perlahan. Dia harus menggunakan diplomasi untuk berhadapan situasi sebegini. Api yang kecil jangan sesekali disiram dengan minyak. Marak tidak tentu hala akibatnya nanti.
“Ni peraturan baru. Minggu lepas baru berkuatkuasa. Awak pergi alamat ni, nanti mohon permit. Kalau tak ada permit, nanti awak boleh dikenakan denda.” Sehelai kertas yang tertera alamat pejabat pihak berkuasa tempatan dihulurkan Izham kepadanya.

“Baiklah encik. Terima kasih,” katanya sambil tersenyum. Senyuman tidak lekang di wajahnya. Senyum sentiasa, kerana senyuman boleh menjadi senjata dan penawar, pesan Atuk. Lelaki itu berlalu pergi, dan masih tidak tersenyum.

Tangan anak muda mencapai beg gitarnya. Dikutip dan dikira duit-duit diberikan orang ramai yang berasa terhibur dengan nyanyiannya. Dua belas ringgit. Boleh tahan, bisiknya sendirian. Cukuplah buat tambangnya esok untuk pergi ke pejabat pihak berkuasa dan memohon permit persembahan jalanan yang disebutkan oleh si Izham tadi.
Jauh di sudut hatinya, timbul sedikit hiba. Apakah patut, ahli muzik jalanan sepertinya dikenakan cukai? Apakah tiada cara lain untuk pemerintah mencari untung selain daripada memeras keringat pemuzik marhaen seperti dia?

Banyak lagi cara yang boleh untuk menambah pendapatan negara. Kenakan cukai pada yang kaya. Kurangkan elaun para wakil rakyat. Sebenarnya bukan lulusan universiti seperti dia pun boleh fikir perkara seringkas itu. Tapi dia bersangka baik. Mungkin menteri kelulusan universiti luar negara dengan CGPA 3.85 lebih nampak apa yang terbaik untuk negara.

Atuk pergi tatkala dia sedang mempersiapkan diri untuk melanjutkan pelajaran ke sebuah universiti. Surat tawaran telah diterima, yuran telahpun dijelaskan. Tapi seminggu sebelum tarikh dia sepatutnya pergi, atuk meninggal dunia akibat sakit jantung. Doktor kata terlampau kuat bekerja punca jantung atuk jadi penat.

Pemergian Atuk mengadap Ilahi menyebabkan anak muda itu membatalkan hasratnya untuk menjadi mahasiswa. Tiada sesiapa yang sudi membiayai perbelanjaannya sepanjang tempoh pengajiannya, terutamanya pakcik dan makciknya. Pelbagai alasan dicipta untuk mengelak daripada menanggung nafkahnya.

Dia kembali berdiri, bersedia untuk memetik gitar kembali. Otaknya ligat memikirkan lagu apa yang patut dimainkan. Dia merenung ke langit, cuba meraih ilham dari Pemiliknya. Terlintas satu lagu di fikirannya. Jari jemarinya mula menari menghasilkan irama, manakala kaki kanan dihentak seperti memijak pedal drum. Suara anak muda itu mula bergempita di tengah-tengah lautan manusia, mengalunkan lagu berdasarkan puisi yang ditulis oleh Atuk;

***

Kaki anak muda itu berhenti melangkah. Terasa lenguh sekali sendi-sendinya pada petang ini. Kesan dehidrasi mungkin, ucapnya kepada diri sendiri. Dia melihat kawasan sekitar. Kepalanya ditoleh-toleh mencari sesuatu. Ada satu perhentian bas tidak jauh dari tempat dia berdiri. Rasanya itulah tempat rehatnya bagi malam ini. Esok dia akan mandi dan solat subuh di Masjid Negara sebelum kembali memetik gitar Atuk. Malam ini cukuplah sekadar bersejadahkan dan bertilamkan tikar mengkuang lusuhnya.

Anak muda itu mendongak ke arah langit. Matahari kian terbenam, tanda pengakhiran satu lagi hari. Senyuman lesu terukir di wajahnya. Perjuangannya atas muka bumi masih belum selesai.
“Moga esok baik baik sahaja,” bisik anak muda itu sendirian.

Love is not my forte.
Posts created 4

Leave a Reply

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top