cerita-cerita Ramadhan #1

Memori. Kepingan-kepingan kenangan yang boleh membawa kita merentasi masa, pulang ke suatu zaman yang tak mungkin dapat kita kunjungi lagi; masa lalu. Mengunjungi memori melalui gambar-gambar yang semakin berusia dan kian menguning, daripada tulisan-tulisan yang mengungkap perasaan hati, daripada nota kecil yang diselit di bawah meja bersama sekeping coklat, yang pembungkusnya masih tersimpan di kotak peribadi. Tapi, bukan begitu cara aku mengenangnya. Hanya melalui lintasan-lintasan memori yang sesekali menerpa mindaku; wajah tegang, suara meninggi dan kehangatannya. Dulu, aku merasakan rindu itu sebagai melankoli yang memedihkan. Kini, aku dapat melihat dunia dengan lebih baik, terima kasih tuhan kerana mengizinkan memori ini datang kepadaku, menghadirkan dia bila-bila aku rindukan keberadaannya.

Aku bangga, kerana lintasan memori yang datangnya dari belasan tahun yang lalu masih kemas tersimpan di kotak minda dan hati; bukti dia tidak pernah aku lupakan walau seberapa banyak pun masa yang telah berlalu di antara kita. Sudah tentulah. Sosoknya bukan sosok yang mudah untuk dilupakan, mana mungkin tangan yang menjaga bisa terlupakan.

Aku akan sentiasa mengenangnya, walau dalam garis masa manapun yang aku lalui. Ramadhan tahun ini yang begitu lain dirai. Biasanya aku jarang berpeluang meraikan awal Ramadhan di rumah, tetapi masih berkesempatan meluang masa di hari-hari akhir Ramadhan bersama keluarga. Tradisi sejak 10 tahun lalu sebagai anak rantau. Norma baru ini yang buat aku mengingatmu saat aku mahu membancuh air manis untuk berbuka. Masih aku ingat pesananmu, kalau berbuka minum air panas dulu, baru minum air sejuk (berais). Tak bagus. Jadi, kau akan menyuruh kami minum teh susu hangat dahulu. Pesanan yang tak perlukan ulasan, tapi tak luput daripada ingatan. Hal-hal kecil daripadanya yang semakin bermakna apabila kita sudah tidak bersama.

Ayuh, aku bawa kalian kembali ke saat kita adalah kanak-kanak girang yang tiada kerisauan, sekitar tahun 2005. Zaman yang kita masih berkurung putih, berkain/berseluar panjang biru tua dengan muka berbelak kerana bersidai mentari. Anak laki-laki dan perempuan masih tak kekok bermain ting-ting, cop tiang dan lari-lari bersama. Zaman di mana kartun yang tersiar di televisyen adalah Kluang Man, kacang, Shin Chan pada pukul 7 dan Doraemon pada pukul 7.30 petang, setiap hari Sabtu. Ya, ketika zaman kita sentiasa gembira dan masih polos itu.
Aku mula berpuasa penuh, semasa aku di darjah 4, jadi sebelum daripada itu, hanya berpuasa separuh hari atau hanya berpuasa di sekolah sahaja ^^”

Waktu itu, kami (aku dan sepupu) bersekolah di sesi petang, jadi kalau di waktu bulan puasa, seawal jam 6 petang, para guru dan murid dibenarkan pulang awal untuk membuat persiapan berbuka. Semua pun berkejar ke pagar sekolah apabila loceng dibunyikan, menuju ke van sekolah masing-masing. Sesaat sahaja kaki kami menjejak tanah, turun dari van Pak Talib, berwarna putih yang sudah luntur, dia bertanya kepada kami kalau kami mahu menjamah makan dahulu. Padahal, waktu berbuka lagi setengah jam, matahari masih belum terbenam, burung belum semuanya pulang ke sarang lagi.Kami pun menyengih mengiyakan, bukan main penat berlari di sekolah, tentulah laparnya mengalahkan orang yang berpuasa. Padahal.
Hari pertama aku berpuasa penuh, sepanjang hari dia bertanya sama ada aku boleh bertahan atau tidak. Sebenarnya, aku mencuri minum air sedikit, tapi aku harap tidak ketahuan oleh sesiapa. Juga pada Ramadhan tahun 2005, adik bongsuku dilahirkan lebih kurang jam 2-3 pagi, beberapa jam sebelum sahur. Malam sebelum mak dan ayah meninggalkan kami untuk ke hospital, aku menangis, deras sehingga aku tertidur. Dia mengejutkan aku sahur itu, dan menenangkan aku dengan perkhabaran bahawa mak sudah selamat melahirkan, seorang bayi lelaki. Dia kelihatan tenang dan lega.Kemudian, memberikan aku roti bersapu jem kacang dan beri untuk aku bersahur. Barulah dapat makan, setelah tertidur kerisauan. Aku yang sangat gembira, meminta izinnya untuk aku ponteng sekolah hari itu untuk menunggu adik baru pulang. Gembira.

Kenangan-kenangan kecil aku bersama dia, tidak mungkin aku gadaikan walau untuk dunia sekalipun. Berharga persis namanya.

Kau pasti akan kecut perut kalau melihat dia naik angin, tapi begitulah cara dia membesarkan cucu-cucunya.Walaupun dengan garis-garis usia di wajahnya yang berkulit cerah dan selalu terlihat keras itu, kau pasti tahu dia ialah wanita yang cantik di zaman remajanya.
Dia, yang baik hati meski lisannya tidak selalu mesra. Sangat baik, kebaikan yang tak akan aku lupakan sehingga mataku tertutup kelak.

Sebuah pertemuan adalah mustahil, melainkan di dalam mimpi dan
titipan doa yang lebih bermakna buatmu kini. Pertama kali aku menulis tentangnya yang aku tidak kalah pada emosi. Kerana kesyukuranku adalah lebih lagi, bahawa memori tentangnya masih menemani. Dan mengenangnya membuat aku merasa bahagia dan disayangi.

Al-Fatihah, Allahyarhamah Nilam Binti Haron, moga kau dimuliakan, diampunkan dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Buat mereka yang kehilangan, kelak kita pasti akan bertemu kembali dan waktu itu akan terhapuslah segala rindu.

Ps: now playing gereja tua-panbers

f.h

Posts created 40

Leave a Reply

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top