Bulan, Bintang dan Kegelapan

Malam. 3 pagi.

Bantal ditepuk perlahan, diulang tiga kali. Menjenguk ke luar bukaan jendela, ada dua butir bintang berkerlipan terang. Gelap likat malam cuba menelan cahaya dua bintang itu, tapi mereka seakan melawan. Terus bersinar.

Henfon berdering. Notifikasi WhatsApp masuk, namun bukan daripada dia. Ucapan selamat malam yang diberikan masih belum dibalas, dibiar bersendiri seperti Bintang yang bersinar tanpa Bulan. Ke mana Bulan? Mungkin mati ditelan gelap. Tidak, tidak mungkin mati ditelan gelap kerana kegelapan bukan tanah perkuburan. Kegelapan merupakan tempat persembunyian untuk jiwa-jiwa yang kesunyian dan kehilangan.

Fon telinga disumbat ke dalam telinga sambil belakang badan dilabuhkan ke atas katil. Perbetulkan posisi baring, butang play ditekan. Muzik sayu mula menyiram hati yang layu. Kepala menoleh, sebutir Bintang kelihatan malap manakala sebutir Bintang lagi masih menyala terang.

Kelopak mata berciuman seiring nafas berhembus tenang, setenang silir di pantai. Tilam keras yang mengalas tubuh bertukar menjadi hamparan butir halus pasir. Terasa kasar namun empuk. Dibiarkan lagu yang bermain memandu fikiran, dibiarkan pantai yang terhasil menjamah badan. Siling bertukar menjadi tikar langit, dengan dua butir Bintang yang sama. Beberapa kepul awan nipis berarak perlahan, bergerak ditolak hembus angin.

Dan kemudian hujan. Namun air yang gugur bukan dari langit atau siling bilik, tapi dari ekor kedua biji mata. Satu demi satu sebelum bertukar mengalir laju. Egonya runtuh. Dan Bintang yang bersinar malap menggugurkan titisan cahaya kuning, meresap ke dalam pasir pantai. Ianya seolah-olah tahi bintang turun menghujani Bumi. Dikesat air mata, dikesat rindu yang ada.

Bintang makin malap. Lagu diulang main semula, kali ini dengan volume maksimum. Laut yang tenang mula bergelora seiring angin kencang secara tiba tiba. Butiran pasir menari menari di udara mengikut rentak guruh memecah langit. Pokok kelapa yang tadinya berdiri tegak kini ditundukkan oleh angin kencang. Air mata masih mengalir membasahi memori lama tentang si dia. Sedikit demi sedikit, tubuhnya ditelan pasir.

Bintang mula dipeluk gelap malam, sinarnya makin pudar. Kilat memancar terang disusuli guruh tanpa berhenti. Ombak laut menghempas ganas persisiran pantai, semakin lama semakin tinggi. Separuh ditelan pasir, henfon berdering. Lagu berhenti. Ribut yang hampir menjilat pantai juga berhenti. Butiran pasir kekal membatu di udara. Ombak mengeras persis ais. Nama pemanggil diperhati. Masih bukan si dia.

Panggilan diangkat.

“Kau masih belum tidur?”

“Belum. Kau?”

“Aku dah nak tidur. Kau okay?”

“Okay, kut.”

“You want to talk to me about it?”

“No, not now. Sorry.”

“It’s okay. I’m always here for you if you need me.”

“Thanks.”

“Baiklah, aku tidur dulu. Selamat malam, aku…”

Sunyi.

“Aku sayang kau,”

Panggilan dimatikan.

Ombak setinggi pokok kelapa bergerak pantas ke tengah lautan semula sebelum pecah menjadi percikan air. Pancaran kilat yang dipaku ke langit tadi terus mengecil, hilang di balik awan. Pokok kelapa yang tunduk kembali berdiri tegak. Butiran pasir di udara mendarat semula ke pantai dan angin kencang bertiup melawan arus. Badan yang separuh ditelan diludahkan semula ke permukaan pantai.

“Aku sayang kau,” suara tadi bergema.

Ilusi pantai tadi terhapus. Mata kembali menikam siling, badan kembali mencium tilam. Kepala menoleh ke luar tingkap, dua butir Bintang bersinar terang menghiasi langit Malam. Yang satu tadi mahu bersembunyi, tapi bukan itu yang ia perlu. Ia cuma perlukan yang satu lagi untuk terus menemaninya, untuk memberitahunya bahawa sekalipun tanpa Bulan dia akan ada sebagai peneman.

“Sayang kau jugak.” bisiknya perlahan sebelum mencium skrin henfon.

Mungkin bukan Bulan yang melengkapi Bintang tapi sebutir Bintang melengkapi Bintang yang lain. Dan mungkin Bulan bersembunyi kerana jiwanya hilang, jiwanya hidup hanya ketika siang.

Posts created 1

Leave a Reply

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top