Budi

Tuk! Tuk! Tuk! Ketuk Puan Ida pintu bilik anak perempuannya, Ani sambil menjerit untuk mengejut Ani bangun Subuh. Itu merupakan rutin setiap pagi Puan Ida. Jika Puan Ida di rumah, tepat jam enam pintu bilik Ani akan diketuk setiap hari dan secara tidak langsung turut menjadi petanda kepada Budi untuk bangun.
Masuknya hari ini sudah genap empat bulan Budi dijaga oleh keluarga Encik Jefri selepas Budi kehilangan ibunya yang digilis lori. Budi keseorangan tanpa adik beradik dan ayahnya pula tidak pernah Budi kenal. Selepas itu, Budi ditempatkan di pusat jagaan bersama sama entiti yang senasib dengan Budi. Di situ Budi dijumpai oleh Ani, anak perempuan Encik Jefri dan Puan Ida yang kemudian dibawa pulang untuk dijaga. Kehadiran Budi dilayan baik dan mesra oleh keluarga Encik Jefri yang pada anggapan Budi aneh. Namun, bagi Budi itu semua tak penting, apa yang penting ialah dia dapat menikmati rutin hidupnya dengan aman.
Setiap kali Ani habis mandi Ani akan peluk dan gomol Budi. Budi suka dimanjakan begitu lagi lagi oleh Ani kerana Ani telah berjasa kepada Budi sewaktu mengambil keputusan untuk bawa Budi pulang empat bulan lepas. Bukan Budi tidak suka berada di pusat jagaan itu malah disitu Budi mempunyai ramai kawan berbanding di rumah Encik Jefri. Tetapi kehidupan di rumah Encik Jefri lagi selesa dan pada Budi lagi sesuai dengan kedudukannya yang baka keturunannya dikatakan lebih istimewa.
Apabila isi rumah Encik Jefri semua sudah keluar menuju destinasi masing masing pada waktu pagi, tinggallah Budi dan Kak Siti, pembantu rumah Encik Jefri. Pada pagi hari Budi akan keluar berjalan jalan kawasan sekitar perumahan Encik Jefri. Walaupun baru empat bulan Budi disitu, Budi sudah membuat beberapa kenalan baru. Kehadiran Budi di penempatan itu senang diterima atas sebab baka keturunannya. Namun, tanpa pengetahuan Budi ada juga jasad jasad yang kurang senang dengan kehadiran Budi disitu yang dianggap sebagai pengacau.
Anak sulung Encik Jefri, Azroi kebiasaannya yang akan pulang dahulu ketika waktu tengah hari. Setiap kali Azroi pulang dia akan bawa makanan untuk Budi. Makanan yang dibawa Azroi selalunya lebih disukai Budi berbanding makanan yang telah disediakan Kak Siti. Kadang-kadang Azroi akan pulang bersama seorang lagi lelaki yang Budi anggap sebagai kawan Azroi. Azroi selalunya akan menghabiskan masa dalam bilik pada pemerhatian Budi. Encik Jefri selalunya akan pulang pada awal malam. Kehadiran Budi jarang diendah oleh Encik Jefri. Budi tidak begitu kisah asalkan dia masih lagi dapat menetap di situ. Apabila Encik Jefri pulang, mereka sekeluarga akan duduk di meja untuk makan malam bersama. Ketika waktu makan Budi selalunya akan duduk di sebelah kerusi Ani. Kak siti akan sediakan makanan untuk Budi sekali. Budi tak makan sebarang makanan. Cuma yang berkualiti tinggi saja yang menyelerakan Budi. Budi bernasib baik keluarga barunya tiada masalah untuk menyediakan makanan yang berkualiti tinggi.
Pada malam itu, Budi merasakan suasana di meja makan agak sedikit tegang. Puan Ida tidak kelihatan di meja makan. Budi perasan juga dari masa ke masa Puan Ida tiada di rumah untuk beberapa ketika. Malam itu, kedengaran Encik Jefri menaikkan suara kepada Azroi selepas dia berkata sesuatu yang Budi tak faham. Namun, suasana yang tegang itu tetap tidak dapat menghentikan Ani dari memberi lebihan makanannya kepada Budi. Gembira hati Budi.
Lewat malam itu Budi ada temu janji bersama teman barunya yang tinggal tidak jauh dari rumah Encik Jefri. Budi dapat rasakan sesuatu yang tidak pernah Budi rasa sebelum ini. Hati Budi berbunga dan Budi rasa sangat bahagia. Malam itu istimewa sangat buat Budi. Sesampainya Budi di perkarangan rumah Encik Jefri, Budi terlihat Azroi yang sedang berdiri sambil memegang alat di telinganya. Azrol seperti sedang bercakap dengan seseorang tapi Budi tak nampak sesiapa pun disitu. Hairan Budi ketika melihat tingkah laku Azroi di kawasan tempat letak kereta Encik Jefri dengan hanya berseluar pendek. Budi meneruskan langkahnya dengan laju tanpa menghiraukan Azroi menuju ke tempat Budi membuang sisa kumbahannya. Perut Budi penuh kerana banyak rezeki Budi hari ini. Sampainya Budi di bilik Ani untuk berehat, Budi terdengar Ani menangis sambil memegang sesuatu. Budi pergi menghampiri Ani untuk dapatkan perhatian Ani walaupun Budi tahu Ani sedang menangis tetapi Budi lebih utamakan kehendak dia yang mahukan perhatian Ani. Ani memeluk Budi tanpa melepaskan benda yang dia sedang pegang. Kelihatan gambar jejaka gelap yang gelap kulitnya. Ani mengusap Budi dengan penuh kasih sayang walaupun dia kelihatan sedih. Dengan perut yang kenyang, usapan Ani membuatkan hari Budi bertambah bahagia.
Pada keesokan harinya, ketika Budi pulang selepas penat meronda di taman sebelah, kelihatan Encik Jefri sedang duduk di kerusi sambil menonton sesuatu di kotak besar. Budi mengabaikan persoalan kenapa Encik Jefri tidak keluar pada hari yang kebiasaanya dia keluar tetapi Budi hairan kenapa Encik Jefri seperti memberi isyarat memanggil Budi. Selama empat bulan satu hari, ini kali pertama Encik Jefri membuat isyarat begitu. Oleh sebab Encik Jefri tidak dianggap sebagai ancaman, Budi pun bergerak ke Encik Jefri dengan perlahan. Encik Jefri membelai Budi sambil mengomel sesuatu yang Budi tak faham. Beberapa ketika selepas itu kelihatan Kak Siti dari dapur membawa dua cawan menuju ke Encik Jefri. Budi dibiarkan setelah Kak Siti hadir. Encik Jefri lebih memilih Kak Siti dari Budi untuk di belai. Budi tidak iri hati kerana petang nanti Budi akan bertemu semula teman dia tempoh hari. Budi merehatkan diri sementara menunggu petang tetapi malangnya rehat Budi berlanjutan hingga ke malam. Risau Budi memikirkan penungguan temannya petang tadi tidak disambut.
Tiga hari sudah berlalu Budi masih tidak dapat perhatian kenalannya semula akibat perlakuannya tempoh hari. Pada tengah hari itu, ketika Budi sedang berehat di hadapan pintu rumah Encik Jefri sambil menunggu Azroi pulang. Kelihatan sebuah jentera berhenti di hadapan rumah Encik Jefri. Puan Ida turun dari jentera itu ditemani seorang lelaki yang bukan Encik Jefri. Selepas menolong Puan Ida mengangkat beg, lelaki itu memeluk Puan Ida sambil memberi kucupan mesra kepada Puan Ida. Pada ketika itu, rindu hati Budi akan temannya yang lama tidak kelihatan. Beredarnya jentera itu dari hadapan rumah Encik Jefri tiba tiba muncul Encik Jefri buka pintu. Budi perasan sejak kebelakangan ini Encik Jefri banyak menghabiskan masa di rumah bersama Kak Siti. Laju Encik Jefri melangkah sehingga terpijak sedikit kaki Budi. Marah Budi buat seketika tetapi tidak dapat lawan kemarahan Encik Jefri yang dapat Budi rasakan melalui tenaga kemarahan yang menyelubungi tubuh Encik Jefri yang terus menampar Puan Ida tanpa sepatah kata. Budi terus masuk kedalam untuk mengadu sakit kakinya kepada Kak Siti kerana hanya Kak Siti sahaja yang kelihatan dalam rumah Encik Jefri pada ketika itu.
Pada waktu makan malam, suasana di meja makan sunyi tanpa suara hanya kedengaran bunyi sudu dan garfu. Malam itu juga kelihatan kawan Azroi di meja makan. Ani yang pertama bangun dari kerusi dan terus dia menuju ke dapur. Budi masih belum lagi menghabiskan makanannya pada waktu itu. Hari itu, nasib budi agak baik kerana Ani membeli makanan istimewa buat Budi. Selesai makan Budi mengambil keputusan untuk berjalan jalan di luar. Dalam hatinya mengharap dia akan bertemu temannya malam itu. Namun, nasib masih tidak menyebelahi Budi kerana masih juga tidak kelihatan kelibat temannya pada malam itu. Budi pun pulang dengan hampa. Setibanya Budi dipagar rumah Encik Jefri, kedengaran suara amukan Encik Jefri yang membuatkan Budi melajukan langkahnya. Terkejut Budi apabila Encik Jefri menumbuk kawan Azroi dan Azroi ketika itu sedang cuba memberhentikan perlakuan Encik Jefri. Takut takut dirinya tercedera tanpa sengaja seperti tempoh hari Budi meneruskan langkahnya masuk ke dalam rumah Encik Jefri tanpa masuk campur urusan dia. Dengan kesedihan di hati Budi tidur dalam pelukan Ani. Budi sedar ketika itu pipi dan baju ani basah dan ditangannya masih memegang gambar lelaki yang berkulit gelap itu.
Setelah sebulan Budi gagal menemui temannya tempoh hari akhirnya kelihatan juga temannya itu pada malam hari di taman berdekatan rumah Encik Jefri. Akan tetapi, bukan pertemuan sebegini yang Budi mahukan. Kelihatan teman Budi sedang bermesra dengan jantan lain. Dengan pantas Budi menuju ke arah mereka dan cuba memberhentikan perbuatan mereka. Namun niat Budi terbantut apabila Budi melihat si jantan itu turut bawa kawan kawannya bersama. Bersama perasaan akur dan kecewa, Budi beredar dari situ. Baka keturunan yang dibanggakan Budi tidak dapat mengalahkan status si jantan itu sebagai penduduk lama di kawasan itu yang Budi rumus berdasarkan hubungan si jantan itu dengan kawan kawannya.
Budi akan menuju ke bilik Ani untuk berehat cuma malam ini Budi ditemani oleh perasan kecewa. Ada kalanya Budi juga berehat di bilik Kak Siti. Namun, disebabkan oleh kehadiran Encik Jefri ke bilik Kak Siti pada tengah malam selalu mengacau rehat Budi, Budi lebih gemar berehat di bilik Ani yang tenang. Tambahan pula dengan perut Ani yang makin membesar dan makin selesa untuk Budi berbanding lima bulan lepas membuatkan Budi lebih suka tidur disitu.
Sudah seminggu Encik Jefri tidak kelihatan di rumah begitu juga Kak Siti. Ani dan Azroi pun jarang berada di rumah. Hanya Puan Ida tempat Budi peroleh perhatian itupun apabila Puan Ida keluar dari bilik.
Pada suatu hari, pagi pagi lagi rumah Encik Jefri sudah kecoh. Suara Puan Ida sudah Budi kenal akan kenyaringannya lagi lagi apabila dia menjerit. Budi cuba untuk bertahan dan teruskan tidurnya. Tetapi tiba tiba satu tubuh jatuh atas Budi yang sedang cuba hendak tidur. Terjerit kecil Budi dan terus lari ke penjuru bilik Ani. Kelihatan Ani terbaring menangis sambil menjerit kepada Puan Ida. Budi masih terpinga-pinga tidak mengetahui apa yang sedang terjadi. Namun, nyaringan suara Puan Ida tidak dapat Budi tahan lalu dia terus keluar dari bilik Ani.
Semenjak cinta Budi didustai oleh temannya, Budi sering tidak bersemangat. Perjalanan harian Budi tidak menentu. Budi tidak lagi bertemu dengan rakan rakannya di kawasan perumahan itu. Budi lebih suka menyendiri. Hati Budi terasa kosong. Tambahan pula dengan ketiadaan Ani sejak hari dia dimarahi oleh Puan Ida membuatkan Budi makin sedih.
Pada suatu petang, Budi pulang setelah penat berjalan merata. Dari jauh lagi Budi ternampak sebuah jentera tetapi yang ini beroda dua di hadapan rumah Encik Jefri. Semakin dekat kelihatan sepertia kawan lelaki Azroi. Kemudian muncul Azrol dengan membawa beg lalu Azrol membonceng rakannya dan terus beredar dengan laju. Budi meneruskan langkah masuk ke rumah dengan harapan ada makanan menanti. Sejak Kak Siti tiada, Budi bergantung kepada ihsan Ani dan Azroi untuk makan kerana tiada yang menyediakan makanan dia seperti Kak Siti selalu buat. Nasib Budi malang apabila di rumah Encik Jefri tiada makanan yang tersedia untuk Budi. Dengan lapar dan sedih Budi cuba untuk tidur dengan harapan dia akan dapat makan nanti.
Kehidupan di dalam rumah Encik Jefri Budi dapat rasakan sedikit berbeza sekarang jika dibandingkan dengan bulan lepas. Kini, hanya Puan Ida sahaja kelihatan di meja makan sewaktu makan malam. Ani sudah lama tidak kelihatan begitu juga dengan Azroi. Encik Jefri pula pulang pabila lewat malam dan itupun dia akan segera ke bilik Kak Siti. Tetapi bagi Budi tetap sama kerana semua itu tidak ada kesan bagi hidupnya asalkan saja dia diberi makan yang cukup.
Setelah sekian lama, Ani pun pulang ke rumah. Tetapi Ani yang pulang bukan sepertia Ani yang pergi dahulu. Budi tidak lagi dimanjakan dan digomol seperti selalu. Ani sudah berubah angin dari seorang yang ceria kepada seorang yang tidak banyak bercakap. Perut Ani pun Budi perasan tidak besar lagi. Jikalau dulu ada kalanya padawaktu malam Ani akan menangis, kini hampir setiap malamAni akan menangis.
Pada suatu hari, sekali lagi pagi pagi lagi rumah Encik Jefri kecoh. Seperti biasa suara Puan Ida lah yang paling jelas diselangi suara Encik Jefri. Ketika itu Budi sedang menikmati sarapan pagi apabila kekecohan tersebut berlaku. Kekecohan itu terhenti apabila Budi lihat Puan Ida sudah terbaring di lantai sambil mengalir cecair merah dari kepalanya. Ani yang dari tadi berada di dalam bilik, menjerit apabila dia keluar nampak Puan Ida terbaring di lantai. Pada ketika itu, Encik Jefri bersama Kak Siti sudah tidak kelihatan lagi di rumah.
Sejak kejadian itu tinggal Budi dan Ani sahaja di rumah Encik Jefri. Walaupun Ani sentiasa kelihatan sedih tapi dia tidak pernah lupa bagi makanan kepada Budi sampailah satu hari Ani tergantung di kipas. Budi hairan dan sedih kerana selepas Ani tergantung di kipas, Ani sudah berhenti memberikan makanan kepada Budi.
Setelah sekian lama berlalu, Budi yang yang dulu hanya berkeliaran di kawasan perumahan Encik Jefri. kini sudah boleh jauh merantau hingga ke kotaraya. Kehidupan di kotaraya sangat sibuk. Orangnya ramai sehingga membuatkanBudi kurang selesa. Tapi akibat kebosanan dan sifat eksplorasi Budi yang tinggi, Budi harungi jua. Tambahan pula, kini bersama teman barunya, Budi lebih bersemangat.
Budi sudah semakin matang. Dia tak perlu lagi menagih simpati untuk makanan kerana dia sudah pandai berdikari. Budi sudah semakin pandai membawa diri. Di rumah Encik Jefri tiada sesiapa lagi kecuali Ani yang tergantung di kipas. Budi juga tertanya tanya bilakah Ani akan turun dari kipas supaya Ani dapat mencium dan menggomol Budi lagi. Budi tetap akan pulang ke rumah itu walaupun lewat malam.
Pada suatu malam, selepas bertemu dengan buah hati Budi pun menuju pulang ke rumah Encik Jefri. Dari jauh Budi dapat lihat ramai orang di hadapan rumah Encik Jefri. Bercahaya cahaya rumah Encik Jefri pada Budi. Budi meneruskan langkahnya dengan perlahan tetapi dengan tiba tiba secara pantas Budi dilanggar jentera beroda empat yang dipandu laju yang juga sedang menuju ke rumah Encik Jefri. Budi dapat rasakan kesakitan amat dahsyat. Seluruh badannya bagai diremuk. Jantungnya bagai dicucuk dan matanya mulai merah dan gelap. Dengan lemah Budi terlihat sosok Encik Jefri dan Kak Siti keluar dari jentera empat roda itu. Kemudian pandangan Budi berlalih kepada satu tubuh yang Budi kenal sangat sedang menuju ke Budi. Kucing betina yang Budi paling rindu itu hampir ke Budi dan dengan penuh kasih sayang menjilat jilat Budi dengan penuh kasih sayang. Saat itu Budi tak pasti sama ada itu realiti atau mimpi tapi yang pasti Budi tahu Budi rindu sangat akan kucing itu..

Penulis

ben

Leave a Reply