biskut marie

Hanis meletak kembali potongan kek batik yang baru segigit dimakan. Air mukanya tampak kecewa.

“Tak sedap jugak?” Najua merenungnya tak percaya. Sesuap kek batik laju memasuki mulutnya.“Tak sama.” Hanis mencebik dengan wajah kelat. Mocha ais dikacau perlahan sebelum disedut melepasi kerongkong. Rasa nyaman apabila rasa manis kek batik dapat dibilas dengan kelat kopi mocha. Amaranth- Chen lembut dimainkan melalui corong pembesar suara. Tenang. Nyaman petikan gitar dan tenang dipinjam pemilik suara mengurangkan sedikit kekecewaan hati.

“Serabutlah kau ni.” Mata mencerun tajam ke arah gadis cerewet bertentangnya. “ Kek batik ni sama je rasa dia mana-mana. Mahal kot kek batik kat sini.” Bla..bla..blahh.. Najua membebel. Kisah? “ Meh sini ko punya aku habiskan.” Hanis menyua pinggan kecilnya.  “Dah kau tak payah nak membebel macam mak nenek, makan je aku bayar.” Hanis membuang pandang pada pejalan kaki. Suara Chen dah berganti dengan suara James Blunt menyanyikan You’re Beautiful. Dia ikut bernyanyi kecil sambil mata tak lepas memandang pada gelagat seorang bapa memimpin anak lelakinya, mungkin si abang dalam lingkungan empat tahun dan si adik yang dikendong berusia kurang dua tahun. Comel.

“Jua, kau nak tahu tak fun fact pasal lagu ni?”  Tak perlu tapi saja. “ Tak nak.”  Selamba Najua menjawab dengan muka toya. Dasar. Heartless punya pompuan. “You’re beautiful..it’s trueeeee…” Sengaja Najua menyanyi, menyebalkannya. “Dia kan Jua..” Sengaja dia berhenti di situ. “Apa kau? Cepat cerita.” Tangannya laju melepuk Hanis. “ Dia kan Jua..lagu ni sweet kalau dia cakap pasal perempuan, maksud aku manusia…” Hanis buat-buat muka suspend.  “Habis tu lagu ni pasal hantu ke?” Hanis mengia.

“Lagu ni kan pasal lelaki yang jatuh cinta dengan hantu….hantu cantiklah tapi..” Hanis terangguk-angguk bercerita.“Sumpah? Hantu cantik?” Sedikit terbuntang mata gadis bermata bundar itu. Kek batik dah dibiar tak berusik. “ Cantiklah. Hantu minah salleh. Tak caya kau.” “Lepas tu..?” Soal Najua ingin tahu. “ Iyaaa..lepas tu  dia confess dekat hantu tu.. tapi hantu tu reject dia. The end. Siapa percaya dia bongok.”

Muka Najua kelam. “Bodo.” Gadis itu memukulnya geram.

Kek batik tak memuaskan hati tapi sekurangnya playlist kafe ni boleh ditoleransi. Dan adanya Najua bongok menemani petang sunyi, not half bad.

Kek batik.

Hanis sebenarnya bukan peminat tegar kek batik. Dia bukan pencinta manisan. Tapi entahlah, mungkin sebab kek batik antara manisan yang popular sekarang. Hampir ke semua majlis atau kenduri yang dihadiri akan ada kek batik yang dijamu. Makanya, dia dah rasa macam-macam kek batik, yang murah, yang mahal, yang dijual di kafe hipster atau di gerai pasar malam, dari yang guna milo pengganti koko pada yang guna coklat Hershey’s menambah manis dan harga, dari yang basic sampai yang paling fancy. Semua dia dah cuba. Sedap tu sedaplah tapi tak kena dengan selera dia.

Dia tahu rasa kek batik yang paling sedap yang dia pernah rasa dalam dunia macam mana. Lembut, tak keras. Tak terlalu lembut macam kek, tapi tak terlalu keras seakan biskut. Rasa lembap yang enak dan tak kering. Pahit koko yang diimbangi rasa manis yang secukupnya. Dan nisbah biskut yang tidak terlalu banyak daripada adunan koko menghasilkan tekstur yang tak terlalu padat. Bau harum semerbak bila adunan dimasak di atas api dan kemudian disejukkan sebentar di dalam peti sejuk sebelum dimakan. Ahhhhh..nikmat.

Biskut marie arwah nenek. Dulu, masa kecil-kecil, kami hanya mengenal kek batik sebagai biskut marie. Klasik dan ringkas. Bahan-bahan yang digunakan juga bahan yang ringkas, berjenama biasa, dibeli dari kedai di simpang empat berdekatan balai raya. Kami semua sepupu sepapat memang peminat tegar biskut marie. Akulah yang selalu pergi membeli bahan-bahan yang diperlukan. Semangat berjalan kaki ke kedai. Serbuk koko yang dipakai pun cuma koko timbang saja, baru berapa ringgit. Tapi rasa kalah kedai hipster yang guna koko Van Houten.

Tak guna pun kalau Hanis meneruskan kek batik hunting. Tak akan ada yang sama. Dan sekarang dia tak ingat semua resipi biskut marie nenek. Ada beberapa bahan yang dia betul ingat. Serbuk koko dibancuh dengan air panas, telur, gula pasir, biskut marie, rasanya macam kena cairkan mentega dulu atas api entahlah dia terlalu muda untuk menghafal resipi ketika itu. Rasanya, resipi nenek ada menggunakan telur, sebab itu teksturnya ringan dan tak padat. Dia ingat samar-samar tapi tak berapa pasti sama ada apa yang diingat betul atau tidak. Dia nak cuba buat biskut marie yang sama rasa macam air tangan nenek. Dibesarkan dengan air tangan tukang masak kenduri kendara, dia memang memilih dalam rasa.

Walau dah lebih 10 tahun semenjak kali terakhir merasa biskut marie nenek yang enaknya buat hati terkenang-kenang, Hanis tak pernah lupa akan rasa dan aromanya. Sebagaimana dia tak pernah lupa riak tegang dan suara garang seorang nenek yang mustahil menyatakan sayang. Tapi masakannya cukup menggambarkan kehangatannya. Sekurang-kurangnya biskut marie atau kek batik adalah kenangan eksklusif dia tentang masakan nenek. Mungkin sudah tiba masa untuk melihat sejauh mana bakat seorang tukang masak mengalir di dalam darahnya.

Dia akan cuba sampai jadi.

f.h

Al-Fatihah, Nilam Haron

Posts created 51

Leave a Reply

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top