berlari ke pantai

Suara yang samar-samar itu mengejutkannya dari tidur yang lena. Dia sudah terjaga, tapi kelopak matanya masih terkatup. Tidur petangnya yang sebentar tadi begitu tenang, putih dan kosong. Tiada, walau satu gangguan pun, di dalam mimpinya itu, tidak seperti selalu, yang samaada diisi drama, keanehan atau paranormal yang menumpang lalu.

Dia kecewa. Alam mimpi yang damai itu tidak bertahan lama. Dia tidak mahu membuka mata. Atau telinga. Atau hati. Dia sudah puas memberi peluang dan kecewa. Memberi harapan kepada dirinya bahawa hari akan beransur baik hanya untuk dipatah-patahkan.

Suatu hari yang entah bila.

Suara ayah yang sedang menjerkah ibunya masih tidak lagi surut. Cacian yang bergema di seluruh kepalanya, bertahun-tahun ini telah mematikan segala rasa, segala kasih yang harus tersisa.

Dia sudah tidak tahu di mana harus dia letakkan lelaki itu di dalam hatinya dan juga hidupnya.

Sudah lima minit dia terjaga dan mereka masih berbalas pertengkaran.

Dia menyeka air mata panas yang berderai ke bantal.

Hatinya patah lagi.

Ah. Dia mahu hilang lebih lama ke alam mimpi yang putih dan tenang itu. Tiada satu pun suara, wajah, emosi dan perasaan yang hidup bahkan tumbuh di situ. Dia juga tidak wujud di dalam alam itu. Tempat itu hanya tempat persinggahan, tempat persembunyian untuk jiwa-jiwa sepertinya lari dari dunia realiti yang penuh malang. Maka, tidaklah dia dapat berlama-lama di situ, semahu hendaknya.

Air matanya diseka dengan hujung baju kurung sekolah. Dia bingkas dari birai katil. Kamus berkulit tebal di atas mejanya dicapai dengan sebelah tangan.

Kamus itu diangkat tinggi, melepasi kepalanya, pandangannya ditumpu tajam ke daun pintu kamarnya yang tertutup rapat itu.

Bangggg!!! Kamus itu terkulai di atas lantai setelah dilempar ke pintu dan meninggalkan gema yang kuat gempita.

“DIAMMMMMMMM!!!!!!”

Dan sesaat selepas itu, tiada suatu bunyi pun kedengaran di rumah banglo di dekat pantai itu, dan sekiranya ada sebatang jarum yang jatuh ke lantai, pasti kedengaran.

 

*************

Sepasang kasut sukan berwarna biru muda yang masih berbau harum kedai itu disarungkan ke kaki. Tocang ekor kudanya diketatkan. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Gadis beriak kosong itu menengadah langit yang mendung. Janganlah hujan, bisiknya dalam hati. Tangannya selesai mengikat kasut sebelah kiri. Siap.

Earphonenya sudah disambung secara bluetooth kepada telefon pintarnya.

Are you bored yet? nyanyian band dari Amerika bernama Wallows dah berbunyi menandakan peranti itu sudah aman disambung.

Dia mula berlari-lari anak sambil meregangkan bahu dan tangan.

“What’s wrong?”

“You’ve been asking but I don’t have an answer.” Mulutnya mengumat-ngamit lirik di permulaan lagu itu sambil langkahnya perlahan-lahan dibuka. Dia juga tidak punya jawapan.

Dia pernah membuka cerita kepada mereka yang sudi bertanya. Malangnya, mereka telah tersinggung oleh penderitaanya yang malangnya tidaklah sedahsyat mereka. Ampunkanlah aku dan perasaanku, bentak hatinya. Orang-orang inilah yang menyebabkannya merasa semakin sesak di dunia yang sedia sesak ini.

Untuk dimengertikan itu susah, untuk disalahertikan itu maha mudah. Bukankah susah itu susah? Sakit itu tetap sakit. Relatif itu neraca yang berat sebelah.

Rintik air malu-malu menimpanya. Dia mendongak ke langit. Awan gelap di atas kepalanya. Tapi langit di tempat yang mahu ditujunya terlihat cerah. Hujan angin, pasti akan berhenti sebentar lagi. Dia tidak berniat mencari teduh, hanya membiarkan dirinya disapa rintik-rintik hujan yang halus dan menyebalkan.

Dia berlari dengan langkah kecil yang berentak tenang dan kepala menghadap ke hadapan, tanpa memberi banyak perhatian kepada yang lain.

“ Wuhuuuuuuuu…”

Teriakan gembira di dalam hujan yang asing itu datangnya daripada sebuah van putih kekuningan dan sudah berusia, seperti van jualan sayur di pasar-pasar pagi yang melintasinya. Matanya mengekor dua orang kanak-kanak dalam seragam sekolah rendah, wajah berbelak begitu senang hati menadah muka ke luar tingkap menikmati hujan petang.

Dia tersenyum senget, sedikit senang dan banyak iri hatinya. Dia mahu merasai perasaan itu walau sesaat sahaja.

***********

Langkahnya terhenti di antara pasir-pasir pantai yang sedikit basah dan kering. Hujan sudah berhenti,  
benar-benar hanya menumpang lalu. Langit kelihatan luar biasa cerah. Deruan ombak menyambutnya. Tidak kasar, bergelora dan kacau seperti isi kepalanya.

Dia membiarkan bayu petang menampar-nampar lembut wajahnya. Rambutnya ikut terbuai. Lagu di telinganya sudah dimatikan. Dia hanya mahu ditemani suara alam. Tangannya didepangkan.

Pertama kali dia tersenyum semenjak pagi tadi.

Matanya singgah pada istana pasir yang sudah runtuh dan hilang bentuk setelah berkali-kali dihempas ombak milik anak kecil yang duduk tidak jauh darinya.

Tiada kesedihan di mata anak itu. Anak itu justeru berlari ke pantai dan menerjah ombak dengan pelampung lucu di tangannya. Berani.

Dia senyum pada matahari yang sudah mahu membenamkan diri ke garis laut.

Alam telah mengajarkannya tiga perkara hari ini.

Satu; awan kelabu mungkin hanya sedang meneduhnya, maka jika dia terus berjalan dia akan menemukan langit biru.
Dua; hujan bukanlah ratapan alam, tapi hujan adalah rahmat.
Tiga; kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.

Dia tidak boleh selalu pergi dan sembunyi dari masalah dan ketidakberuntungannya.

Dia bukanlah manusia yang tidak beruntung, alam hanya sedang mengajarkannya dengan cara-caranya yang tersendiri.

Terima kasih Tuhan!

Dan sekarang dia hanya mahu pulang ke rumah dan memeluk ibu.

f.h
sedang dimainkan are we bored yet?-wallows

 

 

 

 

 

Posts created 51

Leave a Reply

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top