” berakhirnya sebuah era ”

Aku ingin kisahkan tentang sebuah zaman di mana kita tidak memerlukan apa-apa yang gemilang untuk merasa senang. Era yang tak boleh diulang, walau hati sentiasa mengenangnya. Zaman yang membentuk aku. Zaman remaja yang paling dirindui.

Kisah indah, duka dan gila ketika zaman persekolahan hanyalah kerana adanya mereka-mereka ini yang meghidupkannya. Bercerita tentang mereka, sentiasa membuat aku merasa senang. Seakan aku bercerita tentang kebanggaanku. Semua hal tentang setiap mereka walau seremeh apa pun masih tersemat kemas dalam memori minda. 5 tahun yang aku melihat anak-anak polos, kosong, ini membesar menjadi remaja yang boleh dibuat tempat bergantung harap, tempat beradu sakit dan senang tanpa perlu dirisaukan walau sekelumit hal. Yang mendengar cerita dan buah fikiran remeh tapi begitu penting bagi seorang aku hanya kerana. Sebagaimana mereka adalah tempat aku boleh sentiasa kembali untuk melepas lelah, aku harap aku juga adalah tempat selamat dan selesa bagi mereka-mereka ini.

Hari terakhir aku bersama mereka, saat kita ‘dihalau’ pulang dan tak dibenarkan menghabiskan satu malam yang terakhir bersama, sekurangnya. Yang bermain di minda hanyalah adakah begini pengakhirannya? Bagaimana aku hidup tanpa mereka sedangkan lima tahun ini kita makan dan tidur sekali, menjalani kehidupan bersama siang malam. Aku harus pulang kembali pada keluarga dan berakhirnya sebuah era yang kita jalani bersama. Hilang dan risau, itulah apa yang aku rasakan ketika itu. Yang bermain di minda lurusku ketika itu hanyalah “kalau rindu, cane?”. Polos.

10 tahun. Jauh sudah kita menapak dari tempat kita sama-sama bermula. Sudah tentu keadaan tempat di mana kita berada sekarang sedikit berbeza dari apa yang kita angankan bersama suatu ketika dahulu. Sudah 10 tahun Situasi-Bunkface sejak ia mula hype di corong radio awal 2009. Sekarang budak-budak sekolah hanya mengenal K-Clique bukan lagi Bunkface pilihan utama. Nostalgia. Melihat foto-foto berharga kalian dengan segulung ijazah di tangan, segak & bergaya berjubah graduasi ahh membuak rasa bangga. Terima kasih untuk 5 tahun dan seterusnya yang sangat berharga. Terima kasih untuk layanan dan sayang yang tak pernah berbeza walau jarang bersua. Di saat dunia keliling melayan aku remeh dan tidak mustahak, aku tahu akan ada insan yang sentiasa melayan aku penting hanya kerana aku adalah sekadar aku; insan sama yang kau sapa 10 tahun dulu. Semoga sentiasa berjaya walau ke mana langkah kaki dituju.

ps: kahwin jemput

f.h (untuk L.O.L, 0913).

Posts created 51

Leave a Reply

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top