Bahagia Pergi

By: Epiclipse

“Malam ni kita lepak makan burger, nak?” Aku beritahu.
“Burger.. Rasanya Burger King dah tutup.. Dah lewat sangat ni..” Dengan jelas rasa tak mahu, dia menolak.
“Err.. Tak.. Bukan Burger King…”
“Jadi, McDonald’s?” Dia bertanya, Nampak macam beria-ia.
Aku tak mahu cakap, sebenarnya nak makan burger jalanan tu. Tapi aku fahamlah, dia bukan jenis macam tu. Kalau bukan tempat-tempat macam tu, memang tak makan burgerlah dia. Aku tahu, kalau aku ajak, mesti dia akan duduk sama dengan aku tepi parit tu, tapi tak mahu pula susahkan dia. Rasanya tak apalah, ada satu restoran ni buka sampai lewat malam. Kalau bukan burger pun, rasanya western mamak pun jadilah.
Aku ajaklah makan kat sana, tapi tiba-tiba dia pula tanya “Nak makan burger Hilmi ke? Jomlah..”
Burger Hilmi ni buger paling selekeh korang akan jumpa. Sos berterabur, daging gemuk, telur memang masak betul-betul. Selalunya Hilmi ni buat satu lubang kecil ditengah-tengah daging burger tu, letak telur. Telur pun, ada perencah rempah ratus yang aku tak tahu sihir apa dia guna.
Tapi macam benda-benda selekeh lain, memang selera. Pernah sekali aku makan satu untuk tahan dari malam tu sampai sarapan. Petang esoknya baru aku rasa lapar balik.
“Eh, awak, saya tanya ni..” dia menepuk bahu.
Dengan muka yang berpura-pura berfikir, aku pun tengoklah kiri kanan.
“Saya tak lapar sangatlah. Share burger nak?” idea yang agak bernas.
Dia ni, selera nak makan tinggi tapi bila nak makan tak pernah nak habis. Selalunya kalau aku buat tawaran macam ni memang dia akan tolak tapi buka makan habis pun lepas tu..
“Share? Kenapa…  awak yang ajak saya keluar makan tadi.. Awak mesti lapar kan.”
Aku pelik. Dia selalu kalau pandang aku, terus ke jiwa. Aku cakap aku dah buat assignment bila dia tanya, terus muka masam. Dia tahu, aku memang bukan jenis yang akan buat dua kerja sekali. Aku tak tahu menipu ke? Selalunya boleh je. Pernah sekali tengah tengok wayang, dia suruh balik pasal assignment kena hantar esok pagi. Aku tinggal buat muka surat, tapi dia tetap kira tak siap.
Tapi pagi tu, aku bangun lambat. Kalau aku tak buat muka surat tu malam tu juga, memang hilang 20 markah aku.
“Kenapa diam.. Ada tak kena?”
“Tak ada apa, saya tak rasa sangat nak makan dengan ramai orang. Kalau kita bungkus satu lepas tu kongsi?” Aku menjawab dengan satu nada bertanya.
“Boleh.. Tapi lepak jangan tempat lampu malap takda orang macam hari tu, janji?” dia suka buat macam ni, aku tak kisah pun.
Aku jujur sayangkan Saidah. Mula-mula aku kenal dia, aku siap kutuk nama dia. Klasik sungguh, kataku. Tapi tahu tak Saidah tu apa maksudnya? Maksudnya berbahagia. Maksud pun klasik juga.
Tapi betullah dia memang hidup dengan semangat Saidah. Belum pernah aku tengok orang sepertinya. Indah, aku tak perlu tambah apa-apa lagi. Mereka kata, nama itu doa ibubapa kita untuk kita bawa sentiasa. Tapi Saidah lain, bukan dia sahaja yang pegang maksud nama dia. Orang lain pun dia sentuh dengan bahagia dia. Seolah-olah setiap gerak-geri Saidah berkata kepada dunia “berbahagialah”.
Entahlah, aku dengan dia nak kata lain, susah. Dia belum pernah aku nampak pentingkan diri. Semua kalau dia buat tiada yang sepenuhnya untuk diri dia. Kadang-kadang aku hairan juga tahap kebaikan dia, sampai menyusahkan diri. Setiap kali dia keluar dari mengajar budak-budak tuisyen percuma atau berhenti dan turun dari basikal untuk usap kucing tepi jalan, lepas tu dia akan senyum. Budak-budak dan kucing-kucing semua tu tersenyum sekali agaknya. Yang aku tahu, aku pun senyum sama.
Lepas tu kami singgah Isyak di masjid besar. Kami biasa macam ni, aku dah janji dengan ayah Saidah. Dengar Azan terus ke masjid. Kami berpisah di masjid, macam biasa. Aku ke atas, dia ke bawah. Dia lambat sikit malam ni. Katanya jadi makmum, ikut pelancong dari Syria. Dia sempat duduk borak.
Kami pun sampailah dekat padang tempat remaja-remaja selalu lepak. Tempat ni bolehlah tahan bercahaya. Macam lampu stadium. Ramai lepak kat sini, aku dengan Saidah kadang-kadang tapi dengan kawan aku yang sama jantina setiap minggu paling kurang pun sekali.
Malam tu macam biasa, memang tiada apa pun yang menarik. Kadang-kadang tempat ni ada geng-geng motor gaduh, orang pakai serban kopiah datang meninjau, polis ronda-ronda. Tapi malam ni, macam tenang. Tenang sangat, tapi aku tak fikir sangat. Saidah kata itu rezeki.
Malam tu aku tenang. Borak dengan Saidah macam biasa. Senyum macam biasa.. Tapi tak tenang macam biasa. Malam tu macam terlalu tenang. Aku hampir lena dalam perbualan kosong kami.
 “Lain kali, ada apa-apa beritahu, OK?” dia tiba-tiba bersuara dalam kereta. Mungkin pasal burger tadi rasanya.
Dia senyum.
Sampai satu jalan panjang ni, aku tak ambil perhatian sangat. Aku cuma tengok Saidah. Aku perasan lampu kuning jadi aku tekan minyak macam biasa . Tiba-tiba lampu kuning tu bertukar merah. Aku tak nampak lampu merah tu.. aku tak nampak kereta laju sebelah Saidah.. aku tak nampak…
“Kau dah siap mimpi ke? Berpeluh-peluh aku tengok.” Bahu aku bergoncang.
“Dah.. Jomlah. Kau ada bawa Yassin kan?” aku menjawab sambil jari kecil mengesat titis air liur di hujung bibir.
“Tongkat kau jangan lupa kat belakang tu. Kaki kau tu liat sikit nak baik, jangan nak pandai-pandai nak jalan kaki. Aku patahkan lagi nanti.” Dia gelak.
Itu Amri, abang Saidah. Sejak kemalangan tu, aku tak tahu kenapa aku rapat pula dengan abang dia. Tapi yang aku tahu, kalau Saidah ada lagi, dia mesti akan nasihat aku macam abang dia.
Sudah setahun berlalu. Kenapa aku mimpi pertemuan kami terakhir aku pun tak tahu. Rahmat? Bencana? Yang aku tahu ada benda dia nak beritahu yang aku takkan tahu. Kalau sudah ditulis kegembiraan untuk aku, takkan siapa dapat rompak. Aku cuma harap, kegembiraan aku ditulis sekali dengan dia. Kalau bukan sekarang, mungkin suatu hari nanti.
Berbahagialah, Saidah. Sekarang giliran kamu.
He spends waaaaaaaaay too much time on this, but he finds joy in nothing else. Go easy on him.
Posts created 731

3 thoughts on “Bahagia Pergi

Leave a Reply

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top
%d bloggers like this: