Aurora Borealis, cahaya utara

Adakah memenangi seseorang itu suatu kemenangan? Dan tidak memenangi seseorang itu sesuatu kegagalan? Kalau iya. Ah, dunia memang tidak pernah adil dan aku sudah pun ditertawakan. Dan kalau jawapannya tidak, kenapa aku berasa kalah?

Tidak semua orang layak diperjuangkan. Atau kerana kita sentiasa berjuang untuk orang-orang, siapa yang akan berjuang untuk kita; pejuang yang gagal ini?

Setiap keinginan, mimpi, dan cita-cita layak diperjuangkan, walau sekali. Hanya kita yang perlu tahu bila harus kita berhenti berlari dan kembali berjalan dengan langkah yang tidak tergesa-gesa dan itu tidak bererti yang kita sudah putus-asa untuk mencapai maksud dan gemintang-gemintang yang bertaburan; walau jauh dari gapaian.

Aku hanya mahu menjadi berani. Jadi, aku berlari, berlari, berlari dan menjerit pada langit. Langit hanya membalas dengan mendung dan hujan yang berangin. Awan kelabu berarak melalui kepalaku. Aku tidak resah. Tapi guruh berdentum dengan sangat lantang (marahkah dia padaku?) dan menyambar pucuk hatiku. Seolah-olah mahu membuat aku berasa tidak bertuah dan menyumpah bahawa langitku tidak akan beransur cerah. Aku terjelepok, tiada berteduh. Sungguh, benar, aku yang tidak tahu diri.

Kerikil aku lemparkan ke anak sungai yang mengalir damai menuju tujuannya. Aku melontarkannya sebutir demi sebutir,tanpa sedar yang banyak masa sudah berlalu, dan ia menghilang ke dasar sungai, seperti orang-orang dan janji yang dikhianati. Aku sudah tidak punya rahsia. Ceritaku hanya punya satu watak dan seorang penonton. Mungkin penonton itu sudah tidak gemar pada cerita-ceritaku yang hanya punya satu warna; biru langit yang sudah gelap. Apa dayaku? Ada yang dipaksa menghilang dariku.

Layaklah aku dipersalahkan. Aku tidak menghalangnya bangkit dari kerusi, kerana aku tahu dia sudah tidak mahu bersorak. Tepukan yang gemuruh itu telah menyesakkannya. Jujurnya, aku juga terbeban. Aku hanya mahu berhenti mengarang. Aku tidak mahu menang lagi. Sudah tiada sebab untuk selalu menang.

Jadi, ke mana pula selepas ini?

Aku mahu menjejak aurora, setelah itu, aku tidak akan menjawab apa-apa persoalan lagi.

Akan aku senyapkan andai mereka tidak mampu menghayati keindahan dan kegemilangan cahaya utara itu. Dan bukan pula tugasku memahamkan mereka; merugilah atau terpulanglah.

Bukankah kecantikan itu terletak pada sepasang mata yang memandangnya?

Langitku akan bersinar dengan cahaya terang yang berwarna angkasa.

Aku tidak mahu memenangi banyak orang.
Aku hanya mahu bernafas. Aku tidak mahu berasa kalah lagi.

Ceritaku akan bermula lagi kerana harga seni atau perasaan itu terletak pada yang mengenal dan menghargainya; tidak pernah pada yang tidak menghargainya.

Benarkan?

f.h

Posts created 50

Leave a Reply

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top