sebuah kisah bahagia

apa itu bahagia?
bahagia itu mudahnya rasa yang bikin senang. rasa yang membunuh sulit dan risau. rasa yang bisa menumbuh bunga dalam hati, memekar senyum di pinggir bibir yang memeluk jiwa dan memberi hangat.
tapi, bahagia juga tiada pengukurnya, begitu subjektif, begitu luas, tak adil untuk aku memaknakannya sekadar dari kaca mata aku.

mungkin bagi seorang yang lelah, satu pelukan hangat sudah melerai dan memujuk penat.
mungkin bagi anak kecil, sebuah mainan baru dari kedai RM2 cukup untuk memujuk amuk.
pernah sekali seorang anak kecil berbangsa India, dalam usia 3 tahun, bergaun merah hati dengan senyum tak lekang, mata bersinar menyapa aku, seorang yang tak dikenali, dalam bahasa bayi yang tidak aku fahami dengan mainan baru di tangan menyatakan perasaan hatinya. hari itu aku faham, bahagia itu tidak punya bahasa, bahkan ia bukan perkataan, ianya perasaan yang akan sampai ke hati mereka yang ikhlas menyebarkannya. sekarang kau sudah tahu bahawa bahagia boleh jadi sekecil dan semudah itu, maka jangan kita memperkecil sekelumit bahagia dari orang lain hanya kerana bahagia kita terlihat lebih mahal harganya.

bahagia boleh jadi diletak dalam bentuk figura kenaikan gaji, hasil lelah sepanjang tahun, walaupun kecil tapi memungkinkan keselesaan di masa hadapan untuk orang-orang yang berteduh di bawah kita. bahagia juga mungkin adalah ucapan terima kasih kerana berusaha dan atas kerah tenaganya walaupun masih belum cukup memuaskan. bahagia boleh juga jadi kata-kata yang baik dari jalanan setelah seharian berpenatan dengan kerenah manusia yang terasa dunia ini berkeliling dia sahaja. bahagia juga mungkin melihat orang-orang yang dekat dengan kita menapak ke fasa yang seterusnya dalam kehidupan.

bahagia itu apa sahaja sebenarnya. moga kita menjadi orang-orang yang berani untuk mengimpikan bahagia walau serapuh mana tanah dan sesukar mana keadaan di mana kaki kita berpijak ketika ini. bahagia itu boleh jadi percaya yang keadaan akan jadi lebih baik, setidaknya. barangkali perkataan lain bagi bahagia adalah harapan, moga tidak gentar untuk berharap, wahai hati-hati manusia yang mengangankan sekelumit rona bahagia dalam dunia yang sebentar. tuhan bersama setiap langkahmu, kalau kau percaya. dan harapan tidak pernah mati bagi mereka yang percaya.

f.h

Posts created 23

Leave a Reply

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top